Kata orang iman tak dapat diwarisi, tapi iman boleh disuburkan dalam hati anak-anak melalui ibu bapa yang ada JIWA YANG BESAR. Tokoh ibu bapa Malaysia iaitu Sulaiman Saipin (Tokoh Maulidur Rasul 2006) dan Eshah Din (Tokoh Ibu Mithali 2007) antara bukti kecemerlangan keibubapaan yang nyata. Keduanya mempunyai 17 orang anak dan 15 daripadanya lulusan universiti.
Ini perkongsian terdahulu yang dicatat Dr Shukri Abdullah, pengasas Amalan Belajar Sdn Bhd. Pakar Motivasi terkenal ini banyak berkongsi rahsia kejayaan dengan pelajar dalam siri ceramah dan seminarnya.
Ketika beliau berpeluang menziarahi keluarga tokoh ibu bapa, Wak Sulaiman dan Mak Esah pada tahun 2009, beliau peroleh tips berguna untuk ibu bapa.
Biarpun ia sebuah kisah terdahulu, namun tips yang dikongsikan Dr Shukri begitu dekat dengan apa yang ibu bapa lalui hari ini. Panduan mendidik anak ini begitu bermakna sekali. Lagi-lagi ketika ini terlalu banyak isu berbangkit berkaitan sistem pendidikan kita.
Apa pun, segalanya perlu bermula daripada ibu bapa juga. Bagaimana mereka menyantuni pendidik yang mengajar anak-anak mereka tanpa jemu.
Sejarahnya, Wak Sulaiman cuma seorang buruh estet (penoreh getah) yang ketika itu sudah punyai 100 orang cucu dan 12 orang cicit. Bapa ini tak pernah bersekolah secara formal tapi bagaimana anak-anak Wak Sulaiman Dan Mak Esah cemerlang dalam kehidupan.
Ini panduan mendidik anak hasil bicara hikmah Tokoh Ibu Bapa Malaysia. Yang mana setiap tip ini perlu generasi muda fahamkan agar tidak tersasar dari landasan.
6 Rahsia Tokoh Ibu Bapa Mendidik Anak Hebat
1. Kenal Guru Yang Mengajar Anak-anaknya
Walaupun dihimpit tekanan kewangan malah kedua-duanya tidak pernah bersekolah secara formal tetap mengambil berat soal pelajaran anak.
Mereka kerap ke sekolah mengenali dan bertanya khabar dengan guru tentang kemajuan pelajaran anak mereka. Kata Wak Sulaiman “Saya tidak faham Mak bapak yang langsung tidak mengenali guru yang mengajar anak mereka“.
2. Mencari Rezeki Tanpa Kenal Erti Penat
Selain bekerja di estet mereka akan membuat kerja lain untuk mencari nafkah tambahan bagi menyara anak yang ramai bersekolah. Kerana tidak mengenal erti penat lelah atau ikut istilah Wak “tak tau dok sengap, kena kerja selalu“, Allah murahkan rezeki mereka untuk membantu anak mereka bersekolah hingga ke peringkat universiti.
3. Sentiasa Semak Buku Anak-Anak
Wak memberitahu beliau tidak mengenal abjad rumi tetapi sentiasa menyemak buku anak-anak. Dia pantang melihat report card anak-anak yang ditulis dengan markah warna merah. Itu saja petunjuk yang dia faham anak-anak bermasalah dalam matapelajaran berkaitan.
Anak-anak pun faham akan pendirian Wak dan akan berusaha untuk mengelak mendapat markah yang menyebabkan bertanda dengan warna merah. Satu tindakan yang simple dari seorang yang tidak ke sekolah formal, namun cukup menyengat. Itu salah satu petanda beliau “ambil peduli” kemajuan pelajaran anak.
4. Bapa Tegas Tanpa Pilih Kasih
Wak juga tegas ke atas semua anak tanpa memilih kasih. Sebagai contoh mana-mana anak yang pulang ke rumah selepas jam 7 malam terpaksa kena rotan dan tidur di luar rumah. Itu tiada kompromi.
Dia berbuat demikian kerana mahu mendisiplinkan anak-anak agar pulang ke rumah on-time dan tidak membuang masa dengan kawan-kawan yang tidak ambil berat dengan pelajaran.
5. Prinsip Inilah Rahsia Besarnya
Prinsipnya kata Wak “Biar mak bapak bodoh, anak jangan jadi bodoh juga” Maksud beliau, biar dia dan isteri tidak bersekolah, anak-anak jangan juga begitu. Ketika mereka remaja di zaman dulu bukan sahaja kemudahan persekolahan sukar malah Wak terpaksa membantu bapanya menoreh getah di estet sehingga tidak berpeluang ke sekolah.
6. Mak Ayah Jangan Sampai Abai Amanah Mendidik Anak
Dia juga rimas dengan ramai ibu bapa sekarang yang asyik tonton TV dan lain-lain kelekaan sehingga mengabaikan tugas mendidik dan memantau anak dalam pelajaran.
Wak juga risau melihat pelajar sekolah yang kini terlalu bebas diberi motosikal dan ke sana ke mari tidak kira waktu. Kekadang bersama teman lain jantina merayau-rayau entah ke mana!
Sudah fahamkan 6 tip mendidik anak cemerlang yang dikongsi tokoh ibu bapa ini? Ternyata tip yang dikongsikan ini tetap relevan untuk menjadi amalan ibu bapa muda zaman ini.
Sumber/Foto : Facebook Page DrShukri Abdullah
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI