Tip Lelaki Ini Selalu Murah Rezeki, Bila Nak Bercuti Ke Mana-mana, Bawa Ibu Dan Ibu Mentua Bersama
Ibu kandung dan ibu mentua, kedua-dua insan istimewa ini perlu disayangi dan dilayan dengan baik. Jika boleh jangan ada ‘pilih kasih’ antara keduanya. Layanilah dan santunilah mereka dengan sebaik mungkin.
Berkat doa kedua-dua insan istimewa ini membuatkan rezeki anak menantu sentiasa mengalir dan dipermudahkan. Jangan lokek atau rasa rugi bila membelanjakan mereka. Walau sedikit yang anda belanjakan untuk meraka namun ganjarannya datang berlipat ganda.
Saya kongsikan kisah saya ini sebagai inspirasi kepada sahabat semua.
Tiap kali nak berjalan ke mana-mana, ma dan ibu takkan pernah tercicir. Mesti ajak dua-dua pintu syurga saya yang masih ada di dunia.
Ibu dan ma selalu cakap, banyak abih duit nanti. Tapi saya bagitau ma dan ibu, tiap kali saya belanja untuk ibu dan ma, tak penah lagi duit saya abis. Yang lagi saya syukur sangat-sangat, rezeki tiba-tiba melimpah datang tak disangka.
Ma pun dah sebulan kat rumah saya. Memang saya siapkan bilik untuk Ma tinggal dengan saya lepas abah meninggal dunia masa Raya Haji baru-baru ni. Ma risau nyusahkan saya.
Ads
Kata saya, tiap kali ma datang, ma bawak rezeki, berkat. Kalau anak tak korban untuk ma, takkan orang lain nak korban pulak kan.
Buat anak-anak, sementara ibu ayah masih hidup, berkorbanlah buat mereka. Kalau nak berjalan ke mana-mana, ajaklah mak ayah dulu. Kalau mak ayah tak dapat ikut, takpe.
Setidak-tidaknya kita tak lupakan mereka. Kalau nak pegi dengan famili memasing je, tak yah la plan macam-macam depan mak ayah, tanpa ajak mereka. Ada mak ayah nak sangat ikut, tapi takut anak tak mampu nak bawak. Terasa hati mak ayah.
Ads
Saya syukur dan sangat beruntung sebab ma (mentua) saya sangat baik. Dan ma pun beruntung sebab dapat menantu yang baik. Hihi…(jangan marah). Moga Allah kurniakan kesihatan yang baik buat ibu dan ma.
TIP MENGAMBIL HATI IBU MENTUA:
Belikan buah tangan/hadiah
Bawalah buah-buahan, kek, kuih-muih atau hadiah berupa tudung atau apa yang dirasakan sesuai untuk mereka. Pemberian itu sebenarnya akan membuatkan mereka rasa dihargai oleh menantunya.
Rajin membantu
Bantu mertua seperti memasak atau menyapu sampah bila berada di kediamannya. Tunjukkan diri anda seorang yang rajin dan mahu menolongnya meskipun anda bukan seorang kaki masak.
Ads
Jaga tutur kata
Berhati-hati ketika menuturkan sesuatu, jangan sampai menyinggung perasaan mertua dan keluarganya.
Jangan marah suami/isteri depan mertua
Pasangan akan berasa tercabar jika anda memarahinya di khalayak ramai lebih-lebih lagi di hadapan ibu bapanya. Tolong jaga aib pasangan. Berbincanglah secara tertutup.
Jangan berkira
Layan mereka sebagaimana anda melayani ibu bapa sendiri. Jangan berkira dari segi masa dan tenaga.
Jangan hanya terperap di dalam bilik
Sebagai menantu, janganlah hanya terperap dalam bilik tidur. Bantulah apa yang patut.
Selain menyebarkan ilmu, segala tingkah laku guru akan menjadi contoh teladan kepada para pelajar. Ikuti kisah personaliti guru Bahasa Inggeris yang bernama Norhasyikin Abdul Wahab, 40 yang kini sedang menaburkan bakti di Sekolah Kebangsaan Seri Indah.
Guru yang berkhidmat selama 10 tahun ini pernah mengajar di Sekolah Menengah Chocrane Perkasa (2008-2009) sebagai guru sandaran dan dari tahun 2011 hingga kini setia mengajar muris-murid di Sekolah Kebangsaan Seri Indah.
“Selepas tamat mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda di Universiti Tun Abdul Razak dalam bidang Pengurusan Perniagaan saya melanjutkan pelajaran pula peringkat Diploma Pendidikan (KPLI) TESL di Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Antarabangsa.
“Selepas itu saya menjadi guru sandaran selama setahun dan bermula tahun 2011 hingga kini saya menjadi tenaga pengajar di SK Seri Indah. Saya mengajar subjek bahasa Inggeris. Sememangnya banyak kenangan indah yang saya perolehi. Paling istimewa apabila ada murid yang pada mulanya tak boleh membaca dan memahami bahasa Inggeris, akhirnya di tahun akhir semasa Tahun 6, mereka lulus dengan baik. Detik itu cukup indah pada saya,” ungkap Norhasyikin memulakan bicara.
Memegang prinsip menjalankan tugas dengan penuh dedikasi di dalam bilik darjah Norhasyikin juga cukup gembira sebagai penyelaras program kecemerlangan sekolah, pada tahun 2015, dirinya berjaya membantu sekolah mendapat tempat ketiga dalam Zon Bangsar Pudu menerusi keputusan UPSR.
“Alhamdulillah dengan mematuhi masa dalam jadual waktu serta melaksanakan pengajaran dan pembelajaran mengikut kaedah dan teknikyang berkesan pada tahun tahun 2017, kami guru-guru berjaya membantu sekolah mendapatkan keputusan murid menguasai 100 peratus dalam semua mata pelajaran UPSR. Bukan itu saja, malah kami juga mengekalkan peratus murid menguasai Bahasa Inggeris dalam 90 peratus.
“Menjadi kebanggaan kami apabila ada murid-murid yang berjaya memasuki sekolah yang baik selepas UPSR seperti Kolej Melayu Kuala Kangsar,Victoria Institution, Sekolah Berasrama Penuh dan lain-lain,” ungkap Norhasyikin.
Ubah Ke Arah Yang Lebih Baik
Sebagai seorang pendidik sudah pasti ada pengalaman pahit yang tersendiri. Namun Norhasyikin sangat positif dan berusaha untuk mengubah yang pahit menjadi positif.
“Pada saya yang pahit tu asam garam dalam dunia pendidikan tapi saya ambil sebagai motivasi untuk berubah ke arah yang lebih baik,” ujar Norhasyikin ringkas.
Sering mendapat kad ucapan yang menyentuh hati daripada murid-murid. Guru ini berasa dirinya amat dihargai.
“Saya selalu dapat kad ucapan yang menyentuh hati daripada murid-murid. Rasa dihargai kerana kanak-kanak sangat jujur dalam meluahkan perasaan mereka.
“Saya juga sangat bersyukur kerana anak-anak murid saya sangat baik. Mereka memang sangat rajin membantu guru-guru. Kadang siap tawarkn diri untuk tolong cikgu. Apabila sambutan hari guru, pada saya yang paling seronok apabila kami guru-guru akan menyanyi lagu Kami Guru Malaysia.
“Saya sangat suka liriknya dan begitu bersemangat semasa nyanyikan lagu itu. Kami juga akan buat persembahan untuk murid-murid dan mereka sangat suka. Selain itu, kami juga terima banyak hadiah dari mereka. Dikesempatan ini saya ingin ucapkan terima kasih kepada ibu bapa yang sangat-sangat berusaha untuk memberikan pelbagai hadiah tersebut melalui anak-anak,” kata Norhasyikin yang cukup terharu.
Tiada Istilah Terpaksa
Norhasyikin juga menerangkan dia sangat menyintai kerjaya ini dan tiada istilah terpaksa.
“Sebenarnya, dulu saya tak pernah terfikir untuk jadi cikgu. Tapi selepas bekerja sebagai guru sandaran, minat untuk mengajar tumbuh mekar dalam hati. Ibu bapa saya bukan guru. Arwah mak cuma seorang suri rumah dan arwah abah pula pesara kerajaan. Namun galakan paling besar datang dari pakcik yang merupakan adik arwah emak, Hamzah bin Abu Osman. Pakcik saya tak pernah pernh putus asa dalam menggalakkan saya untuk terus menjadi guru.
Setiap kerjaya punya cabaran yang tersendiri termasuklah bergelar guru, ungkap Norhasyikin, “Cabaran utama bergelar cikgu adalah untuk memastikan murid dapat menguasai pembelajaran. Dengan kekangan masa dan tugasan sampingan yang kian bertambah menjadi proses untuk memastikan murid berjaya kuasai pembelajaran agak sukar. Kerjasama yang kurang daripada penjaga murid dalam membangunkan murid di rumah juga antara cabaran yang agak mencabar.”
Walaupun sudah tujuh tahun menempuhi hidup sebagai ibu tunggal namun Sakilla Hanis Mohamed, 38 atau lebih senang disapa dengan panggilan Killa mampu menyara tiga orang anaknya. Malah dia juga kini sudah bergelar kontraktor wanita yang berjaya.
APA YANG WANITA INI BUAT
1. Pegang kata-kata yang diungkap untuk dirinya dan ibu tunggal di luar sana, “Bangunlah! Bersemangatlah! Senyumlah! Kita insan yang terpilih.
2. Muhasabah diri dan terus-terusan perbaiki diri ke arah yang lebih baik dan diberkati Allah.
3. Pedulikan apa sahaja kata-kata yang melemahkan. Kita insan dan wanita yang kuat!”
INI CERITA LEPAS…
“Saya berkahwin pada tahun 2006 dan telah dikurniakan tiga orang cahaya mata. Pada awal perkahwinan lagi saya telah berkecimpung di dalam bidang perniagaan. Semasa mengandungkan anak yang pertama terhasillah sebuah ladang orkid saya dan suami ketika itu.
Alhamdulillah berkat usaha, saya berjaya menjadi petani contoh dan petani terbaik negeri Selangor serta memasuki beberapa pertandingan orkid peringkat kebangsaan dan menang beberapa kategori antara orkid terbaik. Kejayaan saya makin kemuncak di mana perniagaan yang saya jalankan membuahkan hasil.
DIDUGA BERCERAI
“Namun langit tidak selalu cerah, rumah tangga saya dilanda musibah. Saya bercerai dengan suami pada tahun 2010 dan ketika itu anak-anak masih kecil. Yang paling menyedihkan penceraian saya telah membawa satu titik hitam iaitu segala apa yang saya usahakan (perniagaan saya dan ladang orkid saya) habis musnah. Bermulalah kehidupan ‘struggle’ saya bersama-sama anak-anak.
“Saya dilanda kemurungan selama tiga bulan. Anak-anak saya abaikan. Arwah abah dan maklah orang yang menjaga saya dan anak-anak ketika itu. Sehingga satu ketika arwah abah panggil dan nasihat. Malam selepas peristiwa abah menasihati saya, saya menangis sepuas-puasnya. Alhamdulillahlah keesokan hari satu semangat baru datang dalam diri dan saya tekad bangun dan belai semula anak-anak saya.
“Allah sentiasa bersama-sama dengan hambanya yang sabar. Saya diberi peluang oleh Lembaga Zakat Selangor dalam bantuan perniagaan dan juga Jabatan Pertanian. Saya mula balik dari bawah. Kebangkitan saya diiringi doa dan kata-kata semangat daripada arwah abah dan mak. Pada tahun 2012 saya dinobat sebagai Usahawan Asnaf Terbaik dan diberi penghargaan dan hadiah berupa wang tunai, sijil, dan set persalinan Melayu oleh Sultan Selangor,” ujar Killa yang cukup bersemangat mahu berkongsi kisah hidupnya bersama pembaca Mingguan Wanita.
ABAH PERGI…
“Sekali lagi saya diuji pada tahun 2015 saya jatuh dalam perniagaan semula atas sebab rakan kongsi perniagaan saya berbuat perkara yang tidak baik di atas kepercayaan yang diberi. Di saat saya dan anak-anak memerlukan seorang ketua keluarga, abah saya yang menjaga kami anak beranak sejak saya menjadi ibu tunggal, dipanggil menghadap Ilahi. Ya Allah dunia seakan menghempap saya. Dengan siapa lagi saya boleh berkongsi cerita dan mendapat kata nasihat. Selama ini abahlah tempat saya mengadu, tempat saya berpaut. Di mana saya bekerja pasti abah bersama. Apa pun yang hidup pasti akan mati..
“Sekarang saya berdikit untuk bangun semula dan kejatuhan tak pernah membuat saya terus berduka dan merenung nasib. Berapa kali jatuh bangun pun kita, yang penting bangunlah kembali. Allah bersama-sama dengan orang yang sabar dan berusaha. Anak-anak dan mak penguat saya. Saya kena dan wajib terus kuat untuk anak-anak dan mak.
“Pengalaman pahit juga saya alami iaitu dianiaya oleh rakan niaga. Sehingga along pemungut hutang mencari saya kerana rakan niaga telah silap percaturan menggunakan nama syarikat atas pinjaman dia. Alhamdulillah saya berusaha selesaikan sebanyak RM26 ribu walaupun itu bukan masalah daripada saya,” jelas Killa yang sudah terlibat dalam dunia perniagaan kontraktor iaitu melakukan kerja sivil dan pertukangan selama 10 tahun.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Melihat pasangan ini sudah tentu terdetik di hati kita, bagaimanalah sang isteri menjalani kehidupannya bersama seorang lelaki yang hanya memiliki ketinggian 100 sentimeter.
Dari mata kasar, mungkin perbezaan ini terlalu ketara. Namun siapa kita untuk bersangka buruk kerana mereka juga makhluk Allah yang miliki naluri untuk merasa bahagia dan kasih sayang.
Kemesraan yang terpancar di wajah mereka dan kehadiran permata hati, Anas Wafiy, 10 bulan, melengkapkan keluarga kecil ini. Mohd Sukur Ibrahim, 35 tahun, yang berasal dari Sungai Udang, Melaka ini dilahirkan tidak normal seperti orang lain.
Perkara ini membuatkan Mohd Sukur Ibrahim, 35 tahun jadi rendah diri dan pemalu. Seringkali timbul rasa kurang yakin untuk berhadapan dengan orang luar. Tetapi persepsi itu mula berubah apabila melihat ibu ayahnya yang redha dengan ujian ini. Mereka juga tidak pernah jemu memberi dorongan kepada Sukur untuk meneruskan kehidupan seperti orang lain.
Jelas Wan Nurul Syazwani atau mesra dengan panggilan Wani, dirinya mula mengenali suaminya, Sukur, sejak di zaman universiti lagi. Ketika itu Wan Nurul Syazwani menuntut di Univeristi Putra Malaysia (UPM) manakala Sukur pula menuntut di UKM. Kala itu kenal atas dasar kawan dan hanya bertukar nombor telefon.
Sebenarnya ketika itu Wani bukanlah seorang yang gemar berkawan. Dirinya selesa menyendiri. Tetapi apabila melihat keyakinan dan keberanian Sukur, dia mula mengagumi Sukur dalam diam.
Keperibadian Sukur sangat berbeza. Sukur tidak bertindak seperti rakan senasib yang lain. Dia bergaul dengan sesiapa sahaja yang dia mahukan tanpa batasan, malahan dia juga bijak membawa diri.
Kagum Dengan Sikap Sukur
Sikap berdikari itu membuatkan Wani mula selesa dan seronok untuk berkawan dengan Sukur. Pada mulanya memang tidak pernah terlintas di fikirannya untuk menjadikan Sukur sebagai teman hidup.
“Kami berkawan dalam tempoh yang agak lama, dari zaman belajar hinggalah Sukur mula menjalankan perniagaan. Wani memang melihat jatuh, bangun dan kegagalan Sukur dalam bidang perniagaan sejak awal lagi.
“Perniagaan dan perkhidmatan pemasangan karpet ini merupakan perniagaan ke-empat yang dicuba Sukur setelah tiga pernigaannya sebelum itu gagal. Ketika dia ingin memulakan perniagaan ini, dia mengajak Wani untuk menjadi rakan kongsinya.
“Saya memang serahkan segalanya pada Allah dan saya sama sekali tidak sangka bahawa Sukur adalah jodoh saya. Saya hanya mengikut aturan Allah dengan melalui perjalanan hidup yang telah ditentukan-Nya. Oleh sebab itu ketika Sukur mengajak saya menjadi rakan kongsinya, saya terima tawaran tersebut.
“Kami mulakan bisnes bersama-sama termasuklah mendaftar perniagaan, walaupun ketika itu, saya masih berkerja. Maklumlah modal Sukur telah habis untuk perniagaan sebelum ini, jadi sayalah menjadi penyumbang modal kerana masih memiliki pekerjaan tetap.
“Walaupun pelbagai ujian yang kami lalui pada peringkat awal perniagaan, tetapi Sukur tetap sabar. Kerajinan dan usaha Sukur tanpa jemu buatkan saya terfikir dialah orangnya iaitu lelaki yang mampu menjadi kawan dan suami yang baik.
“Pernah suatu hari dia keluar bekerja jam 9 pagi dan hanya pulang pada jam 5 pagi. Kemudian keluar semula pada 9 pagi hari berikutnya, dia macam tak kenal erti penat.Kadang-kadang saya rasakan Sukur boleh dapat lebih apa yang dia ada hari ini kerana usahanya itu,” kata Wani satu-persatu.
Lama-kelamaan apabila perniagaan mereka berdua stabil, Sukur meminta Wani untuk berhenti kerja dan memberi tumpuan sepenuh masa kepada perniagaan. Peluang ini memang telah lama Wani nantikan, jadi dia bersetuju.
Jodoh Bersama
Setelah berkerja bersama tanpa disangka timbul beberapa isu kerana apabila ke mana-mana, mereka perlu berdua. Apabila menghantar Sukur, dia yang perlu masuk rumah terlebih membantu Sukur membuka suis lampu dan sebagainya kerana ketika itu mereka tidak mempunyai staf.
Begitu juga apabila Sukur telah mulai dapat jemputan sebagai penceramah, menjadi masalah buat mereka apabila ke luar daerah perlu menempah dua bilik. Perkara-perkara ini membuatkan hati Wani terdetik bahawa telah tiba masanya untuk mereka berkahwin. Perkahwinan mereka akan menyelesaikan banyak masalah.
Jelas Wani, tanpa sedar selama ini dia tidak pernah membuka pintu hatinya kepada lelaki lain. Saat itu, Wani rasakan sikap Sukur membuatkan dia sangat yakin Sukur adalah orangnya. Ketika itu juga Wani hanya terfikir, dirinya ingin menjaga Sukur dan Sukur menjaganya. Jadi masing-masing meluahkan rasa untuk bernikah sahaja.
Pada mulanya, Wani memberanikan diri meluahkan hasratnya pada ibu. Alhamdulillah ibunya bersetuju namun berbeza pula dengan ayahnya. Selama ini memang kedua ibu bapanya tahu bahawa Sukur adalah kawan kepada anak mereka. Sudah tentu ayahnya tidak menjangka hubungan itu lebih dari sekadar kawan.
Empat Tahun Memujuk
“Bukan sehari dua kami memujuk ayah saya untuk benarkan kami berkahwin tetapi hampir empat tahun. Dalam tempoh itu juga pelbagai usaha saya dan Sukur lakukan untuk tambat hati ayah. Ada juga rasa putus asa, tetapi kuasa Allah mengatasi segalanya.
“Sebenarnya bisnes yang menyatukan kami, bergaduh macam mana pun bisnes karpet ini akan temukan dan buatkan kami berbaik semula apabila ada klien yang ingin dapatkan perkhidmatan kami. Bisnes ini juga merupakan lambang kebangkitan Sukur.
“Kami memang tak mampu nak berpisah kerana sekiranya berpisah bagaimana perniagaan yang telah kami bina sama-sama ini. Jadi kami rasa perlu juga berusaha memujuk ayah saya. Walaupun banyak kali Sukur kecewa dengan sikap ayah saya, tetapi dia tetap juga ambil hati. Pernah Sukur datang, ayah saya tak balik-balik. Akhirnya Sukur balik begitu sahaja,” ceritanya satu-persatu.
Tambah Wani, hatinya cukup tersentuh apabila Sukur meluahkan rasa terharu apabila Wani mahu menerimanya sebagai suami. Sejujurnya Sukur tidak pernah memasang impian dan menyangka ada insan yang sudi berkahwin dengan keadaannya yang serba kekurangan. Oleh sebab itu dia tidak pernah putus asa untuk berusaha mendapatkan Wani dengan apa cara sekali pun.
“Sebenarnya apa yang Wani rasakan, ketika itu ayahnya bukanlah membenci Sukur cuba dia bimbang Sukur tidak mampu untuk menjaganya seterusnya menjaga keluarga yang bakal dibina kelak. Malahan ayahnya juga risau tentang persepsi orang sekeliling terhadap Sukur. Sudah pasti dia mahukan calon menantu terbaik untuk anak perempuannya.
“Allah Maha Besar, ketika Sukur menunaikan umrah dan meminta pendapat ustaz di sana yakni tentang cara terbaik untuk menambat hati bakal mentuanya, Allah mula membuka jalan-Nya. Malahan ketika itu Sukur juga meminta semua jemaah mendoakan dirinya agar jalannya untuk mendapatkan Wani menjadi lebih mudah,” kata Wani tentang pembuka jalan untuk mereka bersatu.
Ternyata hati ini milik Allah, ketika sambutan kelahiran Wani yang ke-28, ayahnya bersetuju dengan permintaannya. Setelah dia meluahkan rasa kecewa kerana tidak mampu bersatu dengan Sukur kerana ayahnya menghalang walaupun pelbagai cara telah dilakukan.
Sebulan selepas itu, setelah melalui empat hari orientasi, Sukur berjaya melayakkan dirinya untuk menjadi suami kepada Wani setelah dinilai. Melihat skill survive Sukur untuk uruskan hidup sendiri membuatkan keluarga Wani menerimanya. Kini pasangan ini bahagia hidup bersama.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Sekeluarga dirempuh treler pemandu microsleep, ibu belum tahu anak meninggal kerap tanya mana anak sulung. Sebuah keluarga yang menaiki kereta proton saga mengalami detik...