Suami isteri yang beriman akan melaksanakan amal soleh dalam mengemudi bahtera rumah tangga sehingga lahirlah kehidupan tenang. Kehidupan berumah tangga banyak dugaannya seperti tidak sefahaman, sikap angkuh pasangan, campur tangan keluarga, penyakit, kewangan dan gagal menjalankan tanggungjawab menjadi antara puncanya.
Dalam usaha mengekalkan ketenangan dalam rumah tangga, Islam menyarankan permasalahan rumah tangga diselesaikan dengan sebaik-baiknya. Jika ada persengketaan, suami isteri perlu bermuhasabah untuk mencari punca berlaku krisis.
Keikhlasan penting kerana manusia tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan. Justeru pasangan suami isteri disyariatkan untuk saling mengingati antara satu sama lain dengan memberikan teguran secara beradab.
Sebuah rumah tangga itu akan bahagia apabila pasangan suami isteri sentiasa ingin memberi kebahagian buat pasangannya. Berikut dikongsikan tip menjaga hati isteri. Semoga bermanfaat.
16 TIP JAGA HATI ISTERI
1) Jangan buat tidak peduli ketika isteri merajuk atau berkecil hati. Kalau perlu minta maaf, minta maaflah dengan ikhlas. Kalau perlu pujuk, pujuk dengan mesra. Ini kerana hati perempuan agak sensitif dan sesetengahnya mahu dipujuk.
2) Hormatilah isteri anda sebagaimana anda mahu dihormati dan jangan sesekali bermain kayu tiga dengan perempuan lain. Ada ketikanya isteri sedar mengenai perubahan fizikal dan naluri suami.
3) Kalau tidak menyukai sikap atau perbuatan isteri, tegurlah secara baik, jangan asyik mahu menengking dan menyalahkannya saja. Jauhi perbuatan tidak bermoral seperti memukul isteri.
4) Kalau isteri nampak tidak sihat, cepat-cepatlah merawatnya dan jika serius bawa jumpa doktor. Tunjukkanlah anda mengambil berat mengenai dirinya.
5) Apabila isteri bercakap, pandanglah mukanya dan buka telinga luas- luas. Biar apa yang dikatakannya masuk telinga kanan dan tersimpan telinga kiri. Sambil itu minda suami kenalah memproses informasi yang diterima daripada isteri dengan bijak dan prihatin.
6) Jangan sekali-kali membandingkan masakan isteri atau cara isteri menghias rumah dengan emak anda kecuali masakan dan cara menghias isteri anda lebih baik dan canggih daripada emak anda.
7) Kalau pasangan sudah ada anak, sama-samalah menjaga anak. Jangan sekali-kali lepas tangan dan suami duduk tersandar depan TV atau relaks. Tidak salah jika suami turut menjemur kain dan menyapu sampah.
8) Sekiranya suami makan dulu, tinggalkan sedikit lauk untuk isteri dan jangan habiskan semua kerana kemungkinan si isteri belum makan lagi kecuali isteri memberitahu lebih awal dia sudah atau tidak mahu makan.
9) Kalau ada kawan dan kenalan mahu bertandang ke rumah, sebaik-baiknya beritahu isteri terlebih dulu, untuk membuat persiapan seperti memasak, mengemas rumah dan menghias diri. Ini akan mengelakkan isteri berasa malu apabila tetamu datang mengejut.
10) Jangan sekali-kali menyakat dan menyindir isteri mengenai saiz dan bentuk badannya yang semakin gejuk atau semakin melidi. Ada ketikanya perempuan cukup sensitif apabila ditanya mengenai perkara itu.
11) Hormatilah ibu bapa dan kaum keluarga sebelah isteri walaupun anda cuma bermain wayang dan membodek mereka. Jangan sekali mencaci mereka walaupun secara bergurau.
12) Jangan kedekut dengan isteri serta belanja untuk keperluan rumah tangga. Jangan pula si suami lebih mementingkan adik beradik. Jagalah maruah anda sebagai suami dan lelaki. Jika boleh, jangan bebankan isteri dengan masalah kewangan anda.
13) Jangan bersepah dan bersikap pengotor. Apabila anda membuka baju, letakkan dalam bakul baju kotor. Apabila mengambil sesuatu barang, simpan semula di tempat asal. Jika anda merokok, jangan merokok dalam rumah dan bilik air.
14) Rajin-rajinlah bertanya isteri kalau dia memerlukan bantuan anda dengan kerja rumah dan menjaga anak, apa lagi jika isteri sama-sama bekerja. Jangan tunjuk rajin hanya jika ada tetamu atau mentua bertandang ke rumah.
15) Berbincanglah dengan isteri sebelum sesuatu keputusan dibuat. Walaupun suami bermegah ada kuasa veto, pendapat isteri harus diambil kira. Pokok pangkalnya ialah timbang rasa dan saling menghargai. Ketepikan ego yang keterlaluan.
16) Berusahalah dengan ikhlas untuk mempertahankan keharmonian rumah tangga. Jangan membuat apa yang isteri tidak suka. Kalau sekali suami buat baik dengan isteri, isteri mungkin balas sepuluh kali.
Sumber: Kelab Wanita Ibu Isteri Malaysia via Keluarga
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI