Menjadikan nilai simpanan tinggi setiap bulan bukan satu perkara mudah untuk dilakukan. Ia memerlukan komitmen dan kesungguhan yang tinggi.
Tapi tak mustahil untuk buat simpanan bulanan tinggi. Wanita ini, Marlia Ramli berkongsi tip bagaimana dirinya membuat bajet bulanan dengan cara menyimpan tersendiri.
Hasilnya dalam usia 39 tahun, beliau menikmati kebebasan kewangan, bebas hutang dan miliki aset yang mampu menampung kehidupan masa depan dengan baik.
BAJET CARA AKAK
Lepas baca post ni, akak bersedia dipandang rendah oleh anda.
Nak kutuk?
Nak kecam?
Nak persoalkan?
Silakan saja.
No hal sebab ini adalah pilihan kisah hidup akak. Kita semua berhak melukiskan kehidupan bagaimana yang kita mahu, bukan?
Meh akak story hakikat permulaan ketika akak membina tapak di KL pada tahun 2004 di usia 22 tahun. Semoga bermanfaat buat adik-adik yang bakal tamat pengajian.
Akak mula apply keja kat Kuala Lumpur, berbulan sebelum habis belajar. Buat resume dan survey kerja tiga hingga enam bulan lebih awal.
Tak tunggu habis study baru mohon kerja. Benda boleh buat awal kenapa nak bertangguh pula?
Akak tak letak expected salary dalam resume sebab tak reti pun nak demand time tu. Akak pikir hentam je la gaji berapa pun, janji ada pekerjaan halal… Mana akak tau nak letak gaji berapa sebab itu kali pertama buat resume kan?
Minggu kedua lepas grad akak dah mula kerja kat Kuala Lumpur. Mak abah hantar temuduga, akak bawak beg siap-siap. Punya la yakin pasti dapat kerja. Self confidence tinggi namatey.
Mana taknya, berbulan-bulan sebelum habis belajar dah ke hulu hilir kat cafe email resume dan baca pelbagai tips hadir temuduga. Waktu tu capaian internet tak semudah hari ini.
Memang lepas terima ijazah akak tak de acah-acah lepak kat umah buang masa konon release stress bagai. Akak tak de buat plan nak pegi Krabi dengan kawan berselfie segala. Buang masa!
Cari kerja seawal sebelum tamat pengajian. Habis belajar? Pegi temuduga dan mula kerja. Alhamdullilah…
Tak Ikut Trend Tetap Fokus Buat Simpanan Bulanan Tinggi
Sejak dulu akak kolot dan benci pada trend. Bagi akak trend ni semua mengarut dan membuang masa. #apeni?
Ya, hidup akak tak fun sebab masa akak dianggap amat bernilai. Akak dah ada boyfriend waktu muda dan akak cuma fokus nak hidup bersama beliau sehingga bersara. Itu saja.
Bagi akak masa itu emas. Akak kan penyimpan dan pendidik emas 999. Akak sangat mementingkan masa. Ianya sangat berharga! Masa adalah alat pelaburan yang amat berkuasa.
Akak teringin sangat nak pegang dan urus duit sendiri secepat mungkin. Waktu tu akak dah ada simpanan rahsia empat angka hasil mengikat perut berjimat duit PTPTN masa di university. Akak target nak ada simpanan lima angka sebelum 24 tahun.
Umur – 22 tahun
Jawatan – Sales Support Coordinator
Level Pekerjaan – Atas sikit dari kerani am
PENDAPATAN – RM1,500
EPF + SOCSO – RM180
Zakat – RM30
Hantar kampung – RM400
Parking – RM80
Bilik sewa – RM130
Petrol – RM200
Top up – RM30
JUMLAH PERBELANJAAN – RM1,050
Simpanan tetap – RM250 sebulan bersamaan 16.66%
Baki untuk belanja sebulan – RM200
Ads
Akak pinjam kereta Hyundai Getz abah sebab tu akak bagi RM400 untuk menampung sebahagian daripada pembayaran bulanan..
Abah tanya “hang bagi abah RM400, cukup ka duit belanja hang?”
Akak dengan bangga cakap “cukup abah!”. Kembang kempis hidung walaupun hati menangis.
Memanglah seksa, tapi saving akak tak penah miss 16.66% kadang hingga 20% dari pendapatan setiap bulan hingga akak selalu terpaksa berlapar. Sejak kecik, akak adalah manusia yang sanggup berlapar asalkan simpanan wajib ada setiap bulan.
Buat Simpanan 15% Tinggi Daripada Pendapatan
Memang sejak gaji pertama akak akan pastikan saving melebihi 15% dari pendapatan walau seazab mana pun hidup. 10% saving adalah terlalu sedikit di mata akak.
So untuk bajet keperluan diri dan makan sepanjang bulan adalah RM200. Anda boleh bayang la purata bajet belanja sehari RM6.60 kat KL camne azabnya.
Isnin dan Khamis puasa sunat dan berbuka dengan roti gardenia disapu kaya.
Hari lain bekfes minum milo dan biskut free kat opis. Lunch beli beras, telur dan sardin. Bawa bekal ke office setiap hari.
Dinner? Tak penah dinner. Solid cam kerengga body akak time tu…
Biar tak makan, janji ada simpanan!
Masa tu tak de fesbok. So tak de la akak meratap komplen nasib hidup. Bila call mak abah akan tanya dah makan? Akak jawab dah makan nasi lauk ayam beli kedai tepi jalan.
Sumpah tak sampai hati nak bagitau mak time tu bajet makan dan belanja lain-lain tak sampai RM7 hengget sehari semalam. Muka anak mak dah cam sardin sebenarnya.. Ehh! Haha…
Kalau ada jamuan di pejabat, akak paling gembira. Sebab dapat makan sedap.
Ads
Setahun lepas tu dah dilamar arjuna beta lalu menjadi isteri. Al maklumlah time tu akak ini muda jelita dan pujaan ramai arjuna. Hari-hari boypren ajak kawen sebab beliau cemburu teruks. Boypren gigih bertahun-tahun ikat perut dan berusaha nak halalkan akak.
Usia 26 Tahun Miliki Rumah Kedua
Bila dah kahwin kami sambung lagi dua tahun ikat perut semata-semata nak beli rumah pertama sebelum usia 25 tahun. Kami tak nak anak tinggal di rumah sewa. Tak de la akak merungut sebab dah biasa masa bujang. Minda dah kental…
Dan rumah kedua sebelum usia 26 tahun, terus sapu rumah bertanah double story corner lot hasil mengikat perut sejak usia 22 tahun. Deposit hampir RM30,000. Berbaloi bukan?
Umur 28 tahun gaji dah berganda-ganda sebab gila kerja. Bonus lima angka tak pernah sentuh. ASB dua-dua akaun pun dah capai maksimum hasil berpendapatan purata lima angka sebelum usia 30 tahun. Kami suami isteri sentiasa ada dua tiga pekerjaan sejak muda.
Usia 30 tahun bergelar Head of Department. Tak mudah nak capai perjalanan kerjaya seperti ni tapi sesiapa yang mengopi akak boleh la share beberapa tips.
Cuma kekalkan saja sikap, minimum 15% simpanan daripada gaji dan bonus tak pernah guna. Wang pendapatan kedua juga tak pernah guna. Asalkan suami tanya nak hadiah apa, akak akan minta duit cash deposit rumah seterusnya atau emas dinar atau goldbar.
Akak tak de acah romantik minta percutian bagai. Bila suami tanya, minta lah sesuatu yang memberi manfaat di masa depan. Ulangtahun ke-10 suami bawa honeymoon di Korea sebab kesian bini asyik kerja dan kerja.
Bebas Hutang Jahat
Sehingga hari ni kami sentiasa konsisten bersama-sama mengejar matlamat. Selepas tiga tahun hidup di KL akak mula capai matlamat kewangan satu persatu.
Di usia 32 tahun akak mampu tersenyum sebab bebas semua hutang jahat dan berjaya mencapai semua matlamat yang akak fokus sejak umur 22 tahun. Akak belajar bahawa hidup ini keras. Kita perlu buat keputusan bagaimana mahu mematahkan cabaran kehidupan.
Akak bukan berasal daripada keluarga miskin. Kami keluarga peniaga yang sederhana. Mak abah sentiasa mewahkan keperluan semua anak-anak dari kecik.
Kiranya selama hidup dengan mak abah, akak tak pernah hidup susah. Tapi kesedaran kewangan datang dengan sendiri. Adik beradik, mak abah dan keluarga faham sangat sikap gila kerja dan kedekut piang akak ni.
Bermula gaji pertama usia 22 tahun start kerja akak dah tak pernah minta duit mak abah. Akak fikir dah la gaji kecik tak mampu nak berbelanja untuk mak abah dan adik-adik, tak kan nak susahkan meminta-minta pada mereka. Dan akak ingatkan diri bahawa di dunia ni tiada benda percuma.
Akak bersyukur Allah bagi kesedaran kewangan dan keinginan untuk akak menabung sejak muda. Dijodohkan pula dengan arjuna beta yang banyak persamaan. Alhamdulillah dari situ kami mula membina sedikit harta.
Ads
Kekadang orang cakap elok cari pasangan berbeza supaya saling melengkapi cam puzzles. Tapi bagi akak jika dijodohkan dengan pasangan yang banyak persamaan adalah lebih mudah.
Sebab langkah akan seiring, pemikiran akan selari, matlamat mudah dicari. Tak perlu cakap, tengok arjuna beta jeling pun akak dah faham apa yang dia nak sampaikan.
Akak harap Double A (sepasang anak akak) belajar mengikat perut suatu hari nanti. Semoga anak-anak sanggup mengadap susah, jimat, makan sardin tapi tetap memilih untuk bertahan dan berdikari.
Bukankah sesuatu yang memuaskan hati jika kita memiliki segala benda hasil sentuhan air tangan sendiri? Tak kisah anak orang kaya ataupun miskin, yang penting kesedaran adalah datang dari dalam diri sendiri.
Agar Nilai Simpanan Tinggi Setiap Bulan
Secara ringkasnya di permulaan hidup ini BAJET CARA AKAK :
Tidak memilih jenis pekerjaan. Janji halal, keja je lah!
Usah membuang masa lepak rumah sementara tunggu convo.
Menjauhi sikap meratap bahawa nasib akak yang paling malang
Tidak sesekali lari balik kampung sebab give up
Memilih pasangan hidup yang punya ciri-ciri bijak wang
Berpegang kepercayaan bahawa setiap matlamat perlukan pengorbanan
Usah mengajar diri terbiasa sikap meminta-minta
Begitulah kisah benar di awal kehidupan akak. Hari ini selepas 17 tahun, cara akak masih lagi lebih kurang sama.
Hidup 30% hingga 40% di bawah kemampuan agar nilai simpanan bulanan tinggi. Alhamdulillah… akak sekarang sentiasa paksakan minimum saving 50% hingga 100% daripada gaji di pejabat setiap bulan.
Dan ya, anggaplah akak apa saja. Lepas anda baca post ni akak rela dipandang rendah oleh anda semua. Boleh juga jika nak gelar akak kedekut piang.
Bagi akak, seawal usia tak perlulah mempersoalkan, kewangan tanggungjawab siapa? Buat je… Insya’allah bila tiba masa, kita akan menikmati hasilnya…
Hari ni 39 tahun akak sedar akak bukanlah banyak ilmu. Tak selesa sebenarnya dengan gelaran sifu sifir sifar bagai. Akak menulis sebab minat semata-mata.
Anda suka, anda follow. Tak suka tak payah follow. No hal. Itu saja. Simple bukan?
Dan ya… Akak masih hidup dengan boyfriend yang sama sejak hampir 20 tahun lepas. Semoga till Jannah.
Hari ini akak dan boyfriend memiliki :
beberapa rumah pelaburan, ada yang dah habis bayar.
beberapa cabang pelaburan termasuk emas 999
kemampuan untuk mengelilingi dunia
rumah kediaman yang lengkap segala,
memiliki rumah rehat di tepi pantai
kenderaan yang luas buat keluarga
sedikit aset mencukupi untuk bersara selesa
perniagaan dan pendapatan pasif yang auto run
kerjaya yang lebih daripada cukup untuk keperluan kami
“Tak tahu sebab apa. Tapi aku memang sayang pada anak yang nombor dua. Lepas dia lahirlah rezeki aku makin murah hingga boleh hidup senang lenang macam sekarang.”
Itu ialah contoh bagaimana seorang ibu dan bapa telah tidak berlaku adil atau pilih kasih kepada anak-anaknya. Mereka punya empat cahaya mata tapi paling sayang pada anak kedua. Dia dimanja dan diberikan serba serbi yang diingini. Kalau salah, kena tegur saja tapi tak pernah dipukul.
Adik beradik lain sedar akan perihal itu. Bahkan anak bongsu pun tidak diberi keistimewaan seperti itu. Sedar tak sedar, anda rupanya telah terpilih kasih dengan anak sendiri. Mungkin anda pernah lakukan hal di bawah ini:
6 Tanda Pilih Kasih Tanpa Mak-mak Sedari
1. Dia Anak Kebanggaan
Jika memiliki beberapa orang anak pasti ada salah seorang anak yang boleh dibanggakan. Mungkin anak itu lebih cantik, lebih pintar atau kelebihan yang lainnya.
2. Anak Yang Jatuh Sakit
Seorang anak yang sakit biasanya akan lebih diberi perhatian oleh ibu bapa. Namun, jangan lupa untuk memberi perhatian pada anak-anak yang lain.
Dampingi mereka yang buat mereka faham akan masalah yang sedang dihadapi. Barulah mereka akan turut sama membantu menjaga saudara mereka yang sakit dengan rela hati.
3. Ada Anak Terlebih Rajin
Anak yang rajin akan lebih meringankan beban ibu bapa. Apabila anak dapat membantu meringankan beban ibu bapa, pasti dia akan menjadi kesayangan ibu bapa.
Seharusnya ibu bapa tidak boleh berbuat demikian, kerana seharusnya anak yang tidak rajin itu harus dibimbing agar tidak malas.
4. Bukan Anak Kandung
Ada kalanya anak yang dibela itu bukan anak sendiri. Justeru, apabila memiliki anak kandung, anak angkat mula dipinggirkan kasih sayang serta perhatian ditumpukan pada anak kandung.
5. Bezakan Anak Melalui Usia
Faktor usia yang dimaksudkan ialah umur di antara anak-anak. Selakunya si adik akan dimanjakan berbanding si abang/kakak. Biasanya abang/kakak dan adik ini akan saling menyayangi apabila keluarga dapat memberi kasih sayang secara adil, tetapi apabila dengan kehadiran adik kecil, abang/kakak menjadi kurang kasih sayang, maka akan itu akan menyebabkan rasa iri hati dan cemburu timbul.
6. Anak Perempuan Lebih Istimewa
Kadangkala faktor jantina juga boleh menjadi punca pilih kasih. Ada ibu bapa yang lebih menyayangi anak perempuannya kerana menganggap bahawa anak perempuan harus dilindungi dan anak lelaki harus melindungi.
Jika ada 6 ciri di atas, mak-mak kena muhasabah diri. Kenalah banyak bersabar. Anak bermasalah adalah ujian daripada Allah SWT. Jangan pula menjadikan itu alasan untuk meminggirkan anak yang bermasalah. Sepatutnya ibu bapa perlu lebihkan perhatian pada anak itu.
Salah satu rahsia supaya anak-anak terus berbakti dan patuh kepada ibu bapanya adalah apabila ibu bapa bersikap adil dan saksama terhadap mereka. Jadi, setiap ibu bapa perlu mencari ilmu keibubapaan. Ibu bapa perlu menjadi ibu bapa yang membantu setiap anaknya menjadi manusia yang baik.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Setiap pasangan suami isteri tentunya mengimpikan bahtera perkahwinan yang dibina akan belayar dengan tenang sehingga ke hembusan nafas terakhir. Namun, tiada siapa dapat menduga, laut yang nampak tenang di permukaan, rupa-rupanya terdapat pusaran air yang hebat di bawahnya. Apabila pasangan yang nampak bahagia dan romantis itu tiba-tiba berpisah, orang sekeliling akan hairan. Tapi pasti ada sebab di sebalik perpisahan itu!
Tak Setia
Banyak faktor yang membuatkan pasangan berpisah. Antaranya faktor kecurangan pasangan. Wahai isteri. Tanyakan pada diri, apakah suami layak diberikan peluang kedua (atau ketiga..atau keempat) selepas kantoi curang dengan perempuan lain?
Hati seorang wanita cukup kuat dan tabah untuk menghadapi apa saja rintangan yang melanda. Malah diri mereka tetap utuh berada di sisi suami kala susah dan senang. Namun satu hal yang sukar untuk wanita terima, cinta dan kasih sayang mereka diperkotak-katikkan! Seorang isteri tak kisah hidup susah, asal diri suami setia dan jujur dalam perhubungan. Tapi, andai itu telah digadai, apa lagi yang tinggal?
Tepuk Dada, Tanya Hati
Bukan mudah untuk seorang isteri melupakan api kecurangan yang dinyalakan oleh suami dalam rumah tangga. Namun, demi sayang yang masih menebal, ramai yang memilih untuk memaafkan. Ya, itu pilihan si isteri. Namun, bukan bermakna isteri itu zalim jika tak dapat memaafkan suami. Itu bermakna hati mereka sudah hancur berkeping-keping, tak mampu dicantum kembali.
Janji Tak Ulangi
Ada suami yang beria-ia meminta ampun sehingga sanggup sujud di kaki isteri apabila dah kantoi. Katanya hanya ‘main-main’ saja. Tak ada niat nak serius pun. Kalau begitu, terpulang pada isteri untuk menerima atau tidak. Mungkin suami itu sudah benar-benar menyesal. Tapi, apa jaminan dia akan 100% berubah? Risiko tetap ada untuk dia kembali menabur benih kecurangan pada masa depan.
Demi Anak
Ramai isteri yang sanggup memaafkan suami berkali-kali atas nama anak-anak. Jangan begitu! Pilihan di tangan anda. Diri anda yang berhak membuat pilihan untuk kehidupan anda sendiri. Buat apa terus bertahan andai sudah tiada rasa cinta, kasih dan kesetiaan? Lebih baik keluar saja daripada perkahwinan yang menyesakkan nafas itu. Anak-anak akan faham nanti..
Berdoa Pada Allah
Yang paling penting, sujud dan berdoa kepada Allah SWT. Semoga diberikan petunjuk untuk kemelut yang berlaku. Jika isteri masih ingin meneruskan perkahwinan itu, mohonlah agar hati anda benar-benar ikhlas memaafkan kecurangan suami dan kemaafan itu bukan sekadar di mulut saja kerana hati anda akan selamanya sengsara andai maaf itu bukan tulus daripada hati. Kalau begitu, baik move on saja!
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Bergelar ibu tunggal bukanlah satu perkara yang mudah. Apatah lagi buat wanita yang mempunyai enam orang cahaya mata. Selepas berpisah dengan suami sememangnya hidup wanita ini cukup menderita. Besar jiwanya menadah setiap ujian yang tiba. Namun dia tidak mahu terus dibuai perasaan dan melepaskan jiwa yang gundah itu sejauh yang mungkin. Demi anak-anak dia bangkit dan mengharungi kehidupan yang sememangnya sukar untuk dilalui.
“Alhamdulillah Allah tentukan saya menjadi ibu tunggal. Namun sekarang Allah pilih saya untuk menjadi seorang peniaga. Dengan usaha yang dijalankan saya nekad untuk berniaga dan semuanya dilakukan demi masa depan anak-anak. Melalui perniagaan saya juga punya masa yang lebih dalam menguruskan anak-anak,” ungkap Nor Hafizah Abdul Aziz, 50 yang juga kini sudah bergelar nenek kepada dua orang cucu.
Nor Hafizah yang cukup peramah ini juga menerangkan dalam mengharungi kehidupan sebagai ibu tunggal dia melakukan pelbagai perniagaan seperti berniaga nasi lemak, menguruskan majlis artis, menjual baju dan sebagainya untuk mencari sesuai nasi demi membesarkan anak-anak.
“Saya cukup beruntung kerana anak-anak merupakan sumber kekuatan saya. Semua saya lakukan untuk mereka. Anak pertama Mohammad Azwan, 27, diikuti kedua Emiza Ezyln, 25, Alfian Akimi, 22, Mohmmad Amirul, 19, Asril Zhuri, 16 dan yang bongsu Ammar Yasin.
“Bagi membesarkan anak-anak saya berusaha sendiri. Jika terkenang masa dulu saya kerap menangis kerana sering melihat nasib yang tidak seberapa baik seperti orang lain. Malah ada kala saya cemburu dengan kebahagiaan yang dikecapi insan lain. Cuma pada masa yang sama saya kumpulkan kekuatan dan semangat untuk saya berjaya dan hidup senang seperti orang lain.
“Saya melihat satu persatu wajah anak ketika itu, timbul rasa semangat dan dari situlah munculnya kekuatan yang luar biasa. Pada masa itu anak-anak semua masih kecil dan perlukan perbelanjaan yang besar untuk meneruskan persekolahan,” terang Nor Hafizah yang cukup tenang tatkala berbicara.
Pendam Masalah
Walaupun berhadapan dengan pelbagai masalah dalam meneruskan kehidupan namun itu semua sedikit pun tidak mencarikkan semangat Nor Hafizah. Malah dia bersyukur kerana Allah sentiasa membuka luas pintu rezekinya terutamanya dalam bidang perniagaan.
“Walaupun hidup susah namun saya tidak suka susahkan sesiapa terutama keluarga. Ini kerana mereka punya tanggungjawab masing-masing. Tapi saya sangat bersyukur kerana mempunyai kawan-kawan yang sangat baik dan sentiasa memberi sokongan yang padu kepada saya untuk saya bangkit. Malah mereka juga antara tulang belakang yang penting dalam mendorong saya berniaga.
“Kini saya sudah mempunyai kios menjual Kuih Keria Gula Merah dan minuman di Shah Alam. Syukur alhamdulillah, dengan ilmu yang saya ada dalam bidang masakan saya gunakan dengan sebaik mungkin untuk menjana pendapatan. Malah anak-anak juga akan membantu saya berniaga di kios,” ungkap Nor Hafizah sambil tersenyum.
Sokongan Padu Dari Mentor
Nor Hafizah juga turut menerangkan dia bersyukur kerana mendapat sokongan padu dari rakan baiknya yang juga mentor buat dirinya iaitu Puan Rodiah. Malah kini Nor Hafizah juga sudah terlibat dalam bidang urutan dan bergelar Penasihat Kecantikan di RIAS Kosmetik.
“Saya beruntung dapat berkenalan dengan Puan Rodiah. Dialah orang yang selalu memberi tunjuk ajar dan nasihat kepada saya senang kata dia saya anggap sebagai seorang mentor. Dia juga bertanggungjawab menjaga rupa bentuk badan saya, supaya tak nampak gemuk dan lesu.
“Puan Rodiah merupakan seorang pengusaha bisnes kecantikan yang memiliki produk jenamanya sendiri di samping mempunyai jumlah pengedar produknya yang ramai. Rakan saya ini juga merupakan Pengarah Urusan merangkap pengasas produk jenama sendiri, RIAS KOSMETIK, yang mesra dipanggil sebagai Kak Rodi juga mempunyai salun kecantikan sendiri.
“Di salun ini lah saya akan membuat urutan jika punya masa luang. Malah Kak Rodi juga mengajar saya sehingga saya pandai mengurut dan terlibat dalam bidang kecantikan. Pada saya bukan senang nak senang dan bukan sesah hendak susah. Pucuk pangkal terpulang kepada hati,” terang Norhafizah yang tidak pernah patah semangat dalam mempelbagaikan sumber pendapatannya.
Bijak Kendalikan Masalah
Ditanya apakah nasihat yang akan diberikan kepada wanita yang bergelar ibu tunggal di luar sana, Nor Hafizah menerangkan mereka perlu bijak dalam mengendalikan masalah yang mendatang.
“Dalam perkara ini, wanita yang bergelar ibu tunggal perlu bijak mengendalikan maslalah yang dihadapi. Dalam masa yang sama terus berusaha serta berdoa agar segala urusan dipermudah oleh Yang Maha Esa. Jangan malu dengan status diri dan jangan sesekali putus asa dalam hidup dan fikirkan semuanya demi kebaikan diri dan anak-anak,” akhiri Nor Hafizah.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!