Menjadi menantu ‘favourite’ antara yang menjadi idaman ramai para isteri. Bertuahlah wanita
yang apabila berkahwin punya hubungannya sentiasa wangi dan mesra dengan mak mentua.Sebaliknya bagi menantu yang sentiasa ‘panas’ sahaja bila bersama mak mentua, tentunya ia satu situasi yang menyedihkan. Amat pedih bagi mereka yang hubungannya sentiasa tegang.
Apabila menantu dan mentua tidak sebulu, orang lain dalam keluarga akan turut sama merasakan tempiasnya. Kita semua nanti akan dapat rezeki jadi mak mentua. Moga Allah mudahkan.
INI TIP BERGUNA KHAS UNTUK MAK MENTUA
1. Kalau anak perempuan, minta sahajalah menantu beri mas kahwin semampunya. Tak payah minta hantaran. Kahwinkan anak dengan ringkas sekali. Kalau menantu itu anak Sultan Brunei, tak apa. Buatlah kenduri 40 hari 40 malam. Tak ada siapa kisah.
2. Jangan bagi anak dan menantu tinggal di rumah lebih dari 2 bulan. Bulan ketiga kahwin, suruh sahaja mereka keluar rumah dan cari tempat lain.
3. Tak perlu masuk campur hal anak menantu. Suka hati mereka hendak susun perabot macam mana, nak potong sayur style apa, nak masak nasi pakai dapur apa! Biarkanlah mereka!
4. Menantu kalau perempuan, biarlah dia nak buat apa di rumahnya. Nak mandikan anak ke atau mandikan anak 2 hari sekali ke. Biarlah. Kalau cucu masam sangat, mandikan sendiri.
5. Biar anak kita hidup dengan orang yang dia sayang cara dia. Kalau anak lelaki kita nak tolong isteri dia masak dan mengemas, biarkan. Dia sudah besar, tahulah dia nak hidup macam mana.
6. Tak perlu gosip dengan anak-anak yang tentang menantu. Ingat! Anak kita pun menantu orang juga.
7. Kalau anak dengan menantu bergaduh, beri tahu anak, tak perlu mengadu. Selesaikan sendiri.
8. Kalau menantu jenis orang susah tak berduit, jangan dibezakan dia. Mana tahu masa depan nanti dialah yang basuhkan berak kencing kita sebab dia yang paling ada masa. Menantu yang kaya sibu bekerja. Jangan menyesal pula.
9. Jadilah mak mentua yang waras dan beriman.
10. Jangan buat tak tentu dengan anak orang. Allah itu tidak lupa.
10 cara jadi menantu favourite
Selalu senyum
Apabila berdepan dengan ibu mentua, jangan sesekali menarik muka masam sebaliknya berusaha untuk senyum seikhlas mungkin. Ini kerana bimbang ibu mentua terasa hati walhal punca anda monyok tidak ada kaitan dengannya. Jadi perlu senyum sentiasa walaupun dalam hati anda tidak begitu gembira.
Elak masuk campur
Anda sangat tidak digalakkan untuk masuk campur dalam perihal anak menantunya yang lain selagi apa yang berlaku itu tidak bertentangan dengan syariat. Elakkan bergosip dan menjadi batu api kerana tersilap langkah, ia akan memakan diri anda sebagai menantu. Jadi, berbaik-baiklah dengan mentua dan ipar-duai yang lain.
Ringan tulang
Ingat, di rumah mentua anda perlu ringan tulang! Bangun awal pagi, solat Subuh dan segera bantu ibu mentua di dapur untuk menyediakan sarapan pagi. Anda juga perlu tunjuk skil memasak dan soal sedap atau tidak itu bukan keutamaan. Yang penting anda rajin ke dapur.
Murah hati
Untuk mengambil hati mentua, anda tidak boleh kedekut sebaliknya perlu bermurah hati misalnya belikan ibu mentua hadiah, pakaian atau paling kurang barang keperluan rumah. Anda juga boleh beri wang kepadanya untuk dia berbelanja.
Usah cemburu dengan ibu mentua sendiri
Asyik anda sahaja layan suami! Sesekali berilah peluang untuk ibu mentua melayan anaknya misalnya ketika anda balik kampung. Bukan setiap hari ibu mentua anda berpeluang layan anak lelakinya seperti zaman bujang mereka dulu. Jadi biarkan jika ibu mentua manjakan suami anda. Cemburu biarlah bertempat!
Selalu minta pandangan
Sebagai ibu, hati mana yang tidak gembira jika anak menantu selalu menghubungi atau menziarahinya. Selain bertanya khabar, sebagai menantu anda juga boleh bertanya pendapatnya tentang sesuatu perkara misalnya yang melibatkan anak-anak anda yakni cucu-cucunya. Sesekali anda juga boleh bertanya resipi kegemaran suami anda yang juga anak kesayangannya. Pasti ibu mentua anda gembira.
Jaga percakapan
Usah biarkan kerana mulut badan binasa! Jika anda seorang yang dikategorikan sebagai ‘mulut lepas’, anda dinasihatkan agar kurang bercakap. Dan pastikan anda sentiasa peka apa yang bakal diperkatakan anda, bimbang ia mengecilkan hati ibu mentua. Fikir sebelum bercakap!
Jaga air muka suami
Isteri yang baik dan bijak adalah isteri yang pandai menjaga aib suaminya. Jadi, elakkan memarahi suami di depan ibunya walaupun apa yang dilakukan suami ketika itu benar-benar menyakitkan hati anda. Kawal emosi anda depan ibu mentua! Usah sesekali memperkecilkan suami di depan ibu mentua anda dan adik-beradiknya yang lain. Ini boleh memberi gambaran positif pada ibu mentua anda bahawa anda seorang yang sangat menghormati suami.
Dahulukan dia
Sebagai menantu yang baik, anda perlu dahulukan ibu mentua anda dalam apa jua keadaan. Sebagai contoh mudah, apabila ibu mertua naik kenderaan bersama anda, pelawa dia untuk duduk di hadapan iaitu di sebelah anaknya. Beri dia peluang bersembang dengan suami anda dan sesekali anda duduk di belakang bersama anak-anak tidak mengapa.
Puji suami anda
Hati seorang ibu pasti gembira jika ada orang lain yang selalu memuji anaknya. Jadi, anda perlu selalu memuji kebaikan suami anda di depan ibu mentua. Sesekali ucaplah begini, “Syukur sangat Allah beri suami sebagai jodoh saya. Pandai sungguh mama didik dan ajar dia. Saya rasa sangat beruntung dapat suami macam dia”
Sumber: Majalah Keluarga Januari 2016 & Normaliza Mahadi
Artikel berkaitan: Mak Mentua Jadi ‘Orang Ketiga’ Dalam Rumah Tangga, Hubungan Anak Menantu Berantakan
Anak Menantu Perempuan Biarlah Tinggal Sendiri, Mentua Jangan ‘Ajak’ Tinggal Bersama