Tip tertentu boleh diaplikasikan dalam menghias kediaman termasuklah bilik tidur. Saiz bilik tidur atau kamar untuk kita beradu merupakan antara tempat yang paling banyak masa kita diluangkan di situ.
Ia juga tempat untuk kita merehatkan minda, beristirahat dan tidur setelah penat seharian memenuhi tuntutan kerja dan keluarga. Keselesaan kamar tidur adalah perkara utama yang harus anda ambil peduli. Bahkan bilik tidur yang selesa dan nyaman mampu membantu kita mendapatkan kualiti tidur yang baik.
Cara menghias kamar tidur yang tepat juga akan memberikan seribu satu ketenangan. Apatah lagi ketika anda sedang dilanda stres dan keselasaan kamar tidur sangat membantu anda untuk mengistirahatkan fikiran. Jadi, ruang ini tidak boleh dipinggirkan untuk menghiasnya dengan cantik dan selesa.
Namun, jika ruangnya agak sempit, tentu menyukarkan kerja menghias. Jangan risau, di sini kami kongsikan tip menghias ruang tidur yang sempit agar tidak nampak lebih sempit lagi.
Pemilihan Warna & kertas dinding
Tempat tidur yang sempit dapat diatasi dengan pemilihan warna yang tepat dan bersesuaian agar interior terkesan luas. Tidak ada masalah jika anda ingin menggunakan kertas dinding atau ‘wallpaper’. Tapi pastikan anda tidak memasangnya di seluruh dinding kamar tidur kerana ia akan membuat suasana menjadi terlihat lebih sempit. Pasang pada bahagian tertentu saja. Anda juga disarankan memilih ‘wallpaper’ motif garis vertical (menegak), kerana motif ini akan membuat kamar tidur anda lebih luas.
Kebanyakan rumah mempunyai warna asal dinding berwarna putih. Walaupun putih membantu memberikan ilusi ruang nampak luas dan besar, tetapi ia boleh nampak membosankan dan tidak menarik. Anda boleh mewarnai bilik tidur dengan menggunakan warna-warna pastel. Warna pastel ini adalah warna-warna yang lembut, warna cair dan pucat. Anda juga boleh dapat gandingkan beberapa warna yang cerah seperti biru laut, kuning atau krim. Kombinasi warna cerah akan membuat suasana kamar tidur terlihat lebih ceria.
Tip Pilih Perabot
Apabila memiliki kamar tidur bersaiz terhad, jangan meletakkan terlalu banyak perabot pada ruangan tersebut sehinggakan ia kelihatan ‘sesak’ dan sukar hendak bergerak. Pemilik juga selalunya berpendapat bahawa perabot yang kecil boleh membuarkan bilik tidur nampak besar tetapi sebenarnya tidak. Ia hanya menampakkan lagi bilik itu bertambah sesak.
Lebih baik mempunyai perabot yang penting sahaja seperti katil, almari pakaian, meja solek berserta kerusi dan meja sisi dengan lampu meja. Itu sahaja. Sebaiknya anda memilih kelengkapan perabot yang multi-fungsi, untuk membantu menjimatkan ruang. Contohnya, katil yang bawahnya mempunyai build-in storage atau meja solek yang boleh dijadikan meja kerja.
Tip Pilih Lampu dan pencahayaan
Gunakan secara maksimum cahaya semula jadi yang terdapat pada tingkap bilik tidur anda. Elakkan meletakkan perabot pada kedudukan yang menghalang cahaya tersebut masuk. Gunakan blinds atau sheer berbanding langsir. Jika cahaya lampu siling tidak menerangi secukupnya bilik tidur, anda boleh tambahkan lampu meja.
Selain itu, lampu dinding memberikan kesan mewah yang cukup menarik jika dipasang di ruang kamar yang sempit. Jadi, pilihlah lampu dinding yang sesuai dan serasi dengan suasana atau konsep hias kamar tidur anda itu.
Cermin Dan Bingkai Kaca
Penggunaan cermin atau benda-benda yang bersifat reflektif memainkan peran penting untuk menambah kesan luas pada kamar tidur yang memiliki luas yang terhad. Benda yang memiliki sifat reflektif seperti kaca dan cermin berupaya memantulkan cahaya yang diterima, sehingga kamar tidur anda terlihat terang dan lapang.
Selain itu, dengan meletakkan sekeping gambar lukisan bersaiz besar di dinding kepala katil boleh menampakkan dinding itu nampak besar.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI