Tinggal sehelai sepinggang, tangisan kanak-kanak tiga tahun telah selamatkan nyawa lima beranak daripada kebakaran.
Panjang umur lima beranak ini apabila rumah mereka musnah terbakar hampir 70 peratus semalam.
Suara tangisan kanak-kanak berusia tiga tahun menyelamatkan nyawa lima beranak termasuk seorang bayi lima bulan dalam kejadian kebakaran di Kampung Darat Sungai Ular, Pahang, semalam.
Ketika kejadian, yang berlaku kira-kira jam 11.30 pagi itu, Fatimah Abdullah, 71, berada di dalam rumah bersama empat cucunya berusia lima bulan hingga enam tahun.
Manakala menurut menantunya, Nurul Syahira Mat Rahim, 25, bersama suaminya Suhainizan Saman, 31, tiada di rumah kerana ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Seri Amal di Kemaman, Terengganu ketika kebakaran itu berlaku.
“Kami menerima panggilan memaklumkan mengenai kejadian itu selepas selesai menerima suntikan vaksin Covid-19 dos kedua di PPV terbabit.
“Susulan itu, kami bergegas pulang dan sebaik sahaja tiba-tiba, hampir keseluruhan rumah sudah terbakar,” katanya ketika dihubungi pada Khamis.
Tambah Nurul Syahira, ketika kejadian, ibu mentuanya berada di dapur sebelum anak keduanya, Muhammad Waif Rayyan, 3 tahun secara tiba-tiba datang dan menangis.
Jelasnya, Muhammad Waif memberitahu ada melihat api dan ibu mertuanya terus memeriksa bilik serta mendapati api sudah marak.
Baca Juga Di Sini :
Bayi Yang Ditinggal Dalam Buaian Meninggal Dalam Kebakaran, Luluh Hati Ibu
Sebab Tak Panik Capai Pemadam Api, Ibu Selamatkan 4 Anak Dari Kebakaran
Berada Pada Suhu Api 400°-600° Celsius, Miasara Sebak Bayangkan Diri Jadi Mangsa Kebakaran!
Pemetik Gas Rosak Punca Dapur Musnah Dalam Kebakaran, Keluarga Ini Rayu Bantuan
‘Yang Bergelut Padam Kebakaran Itu Suami Saya’ Sayu Baca Luahan Hati Isteri Bomba Ini
“Ibu mertua terus membawa membawa empat cucunya itu keluar dari rumah. Api merebak dengan cepat sehingga tiada apa yang sempat diselamatkan menyebabkan kami kini tinggal sehelai sepinggang,” ujarnya.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Anuar Hassan berkata, dua jentera bersama tujuh anggota termasuk dua pegawai diarahkan ke lokasi kejadian sebaik menerima laporan.
Katanya, sebaik sahaja anggota tiba di lokasi kejadian mendapati berlaku kebakaran rumah jenis kekal dan kebakaran telah memusnahkan kira-kira 70 peratus namun tidak melibatkan mangsa.
“Pasukan bomba melakukan operasi pemadaman dengan menggunakan satu aliran hos dan dua hose reel dari tangki pam jentera,” katanya.
Mingguan Wanita : Malang tidak berbau, biarpun mereka kehilangan harta benda, namun alhamdulillah mereka semua selamat. Semoga keluarga ini bangkit untuk meneruskan hidup.
Sumber/ Foto : Sinar Harian