Dengan kerjasama: Mohd Shariman Che Deris, Professional Learning Fasilitator (mastery) @ Ketua Pembelajaran Excite Learning Consultancy
Bayangkan waktu sekarang ni di kala menjelangnya Aidil Fitri, tentu ada waktunya isteri akan merajuk, dek sebab balik kampung, dek kerana persiapan raya, dek kerana kesibukan si suami.
“Saya call abang dua tiga kali tak berangkat pun telefon, sibuk sangat ke kat pejabat tu? Abang nak makan apa hari raya ni?”
Ini tanda-tanda awal merajuk ni, jangan dibiarkan nanti bertambah parah tu. Pujuklah hati isteri dengan kasih sayang si suami.
Masih ingat filem Madu Tiga? Antara ungkapan yang popular daripada Jamil, lakonan allahyarham Tan Sri P. Ramlee adalah “Siapa tak sayang bini oii”
Soalan yang mudah, namun jawapannya tepuk hati tanyalah cinta. ‘Sayang ke aku dengan isteri aku dan sejauh mana dalamnya cintaku kepadanya’
Lupakan sekejap waktu bercinta, waktu ini segalanya indah, segalanya boleh, tunggu berjam-jam lamanya pun masih lagi boleh sengeh-sengeh “okay je, I faham you ada urusan yang perlu diselesaikan, I okey je tunggu you”
Sanggup pula berikat perut menahan keroncong hanya kerana nak belanja si buah hati makan tengahari. Wow layanan bagaikan si tuan puteri dalam cerita kayangan.Bagaimana dengan selepas berkahwin? Masihkah isteri ini seksi di mata si suami atau sudah mulai seksa? Masihkah cinta diangkat tinggi mengunung ataupun dipandang sepi tidak bertepi?
Masihkah belaian manja ala si tuan puteri diterima oleh isteri atau sudah mula pandai mengeluh? Ini persoalannya yang menjadi tunggak kebahagiaan rumahtangga, sejauh mana cinta ini mekar selepas berkahwin?
Ada banyak lagi perkara yang boleh si suami lakukan untuk mengoda dan mengurat isterinya, tidak hanya di awal perkahwinan malah lebih perlu lagi di sepanjang usia perkahwinan. Antara yang boleh si suami lakukan adalah:-
Berikan penghargaan dan kata-kata pujian untuk isteri semudah ‘Wanginya baju abang ni, pakai pun jadi best dan selesa sebab wangi’
Lebihkan masa bercakap dengan isteri dan mendengar ceritanya biarpun mungkin ada kalanya cerita yang sama je. Namun dengarlah dan berikan perhatian.
Bertanya khabar isteri, “Sayang okay? hari ini, sihat?” Mudah je.
Bantu isteri dalam hal ehwal rumah, simpan ego tidak mahu basuh pinggan, tidak mahu bersihkan rumah, lipat baju kononnya ini kerja orang perempuan. Inilah salah satu teknik untuk suami mengoda isteri.
Prihatin dengan keperluan isteri. Jangan dek kerana kesibukan kita, maka banyak perkara berkaitan isteri diabaikan, pandang-pandangkan kain bajunya yang sudah lama tidak berganti, jeling-jeling leher dan lengannya yang kosong tidak bertuan. Sesekali bawa isteri berjalan sambil tangan mengenggam erat.
Bila berjalan-jalan, peganglah tangan isteri. Elakkan jalan nun jauh di depan tinggalkan isteri terkial-kial dengan anak-anak. Seiring dan sejalan,bukan sahaja lebih mesra tetapi lebih membahagiakan.
Seawal bangun pagi, pandang dan senyumlah pada isteri “Assalamualaikum sayang”.
Gurau senda di seawal pagi, usik mengusik dan belaian manja semasa sedang bersiap-siap nak ke tempat kerja. Wujudkan suasana dan mood baik di awal pagi.
Cium dan peluk isteri sebelum keluar rumah, ini wajib buat kerana isteri akan rasa dia diperlukan oleh suaminya.
Ada waktunya, whatsapp isteri dari pejabat dengan meletakkan ikon-ikon mesra dan bertanya khabar.
Jika ada kerja tambahan, maklumkan dengan isteri supaya tahu dan nampak keikhlasan suami dalam berterus terang, jujur gitu.
Sebelum balik, lazimkan diri tanyakan dengan isteri sama ada ada apa-apa yang diperlukannya, boleh menyinggah beli nanti.
Bila sampai rumah, lazimkan diri mencari isteri dan cium. Jangan terus menuju laju ke bilik, mandi dan lepak menonton televisyen. Jumpalah dulu isteri.
Bila di rumah, isteri mula bercerita, hadirkan mata, telinga dan hati anda untuk bersama-sama dalam cerita isteri, jangan sesekali ditolak dengan alasan penat, dengan siapa lagi isteri nak bercerita kalau bukan dengan suaminya.
Tambahkan lagi keceriaan dalam rumah dengan bantu sedikit sebanyak kerja, susun pinggan semasa ingin makan, kemaskan rumah dan sebagainya.
Bercerita sedikit sebanyak hal anda, tidak perlu panjang hanya satu perkongsian menandakan anda membuka ruang untuk isteri masuk ke dalam dunia kerja anda. Ini akan lebih membina kejelekitan anda dan isteri.
Masuk tidur seiring dengan isteri, elakkan daripada tidur lewat daripada isteri kerana sibuk menyiapkan kerja atau sibuk dengan whatsapp.
Sembang-sembanglah dengan isteri sebelum tidur, tentang hal rumah, anak-anak, hal isteri di tempat kerja dan berikan lagi sedikit sebanyak panduan, nasihat dan bimbingan sebagai ketua keluarga.
Lazimkan diri untuk solat berjemaah dengan isteri dan anak-anak. Berdoalah agar rasa itu sampai ke hati isteri.
Selamat menggoda isteri anda, BUKAN isteri orang lain.
Untuk info lebih lanjut tentang topik Suami, Godalah Isteri Anda dalam majalah Mingguan Wanita isu Jun Vol 2 nanti.