Saya gemar membaca blog untuk mencari idea dan mengetahui isu semasa yang dihadapi oleh masyarakat kita. Salah satu topik yang menarik perhatian saya, kesedihan yang dihadapi isteri apabila suaminya tidak tidur bersama.
Tidur bersama tidak perlu diakhiri atau disulami dengan adegan ranjang setiap malam tetapi kepentingan berkongsi bantal ini amat memberi impak kepada emosi isteri. Saya sendiri mengakui kebenaran ini.
Seorang isteri berasa lebih selamat dan dihargai apabila pasangan yang dikasihi berada di sampingnya kala tidur. Indahnya dunia apabila membuka mata, perkara pertama yang dilihat adalah suami. Tatapan seorang isteri ketika suami tidur antara cara mengekalkan emosi positif. Isteri akan lebih empati dan kasih sayangnya semakin mekar melihat suaminya di sisi.
Tidur Di Sofa
Namun kebanyakan suami mengambil mudah soal ini. Bagi mereka, tidur di mana tidak menjadi soal yang penting dapat melelapkan mata. Berapa ramai lelaki zaman ini yang tertidur di sofa selepas menyaksikan rancangan kegemaran mereka. Isteri dibiarkan keseorangan di bilik.
Pada mulanya sekali sekala tetapi lama-lama menjadi tabiat. Isteri yang terus-terusan dibiarkan tidur sendiri akan berasa sunyi dan sedih. Tiada dakapan mesra seorang suami yang menemani isteri. Percayalah, isteri tidur dalam emosi yang sedih.
Saat intim di dalam bilik amat penting untuk kekal bahagia, inilah antara masa yang paling sesuai membincangkan soal anak dan masa depan kerana seluruh tumpuan diberikan dalam momen sebegini. Namun ramai suami yang tidak menyedari perkara ini. Mereka lebih rela lelap di sofa daripada berkongsi katil dengan isteri.
Hak Isteri
Sehari dua mungkin isteri dapat bertolak ansur tetapi lama-kelamaan, isteri akan berasa sunyi dan sedih. Teguran isteri agar suami tidur bersama tidak diendahkan, akhirnya isteri akan membawa diri. Alah biasa, tegal biasa…Isteri sudah biasa berdikari, tidur pun sendiri. TIADA BANYAK BEZANYA KETIKA HIDUP BUJANG.
Kepada suami, ambil perhatian jangan sampai isteri merajuk hati. Lebih parah jika isteri tidak merasa di mana pentingnya anda sebagai suami.
Suami yang bertanggung jawab dan mempunyai asas didikan agama sepatutnya tahu hak seorang isteri. Membuatkan isteri sedih dan berasa sunyi atas sikap suami juga saya kira sebagai dosa.
Suami di luar sana, TOLONG UBAH PERSEPSI. TIDUR BERSAMA BUKANNYA BERERTI ISTERI MAHUKAN SEKS! Pelukan seorang suami dan perhatian yang diberikan adalah terapi terbaik buat seorang isteri.
Sentuhan ajaib ini membawa pergi segala keletihan dan beban emosi yang ditanggung isteri. Tidak susah untuk membahagiakan isteri jika suami fahami emosi dan keperluan isteri.
Bebel sebab sayang, bebel sebab amanah. Sayang semua.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Kenapa anda tidak subur? Masalah ini sering menimpa pasangan suami-isteri yang tidak menimang cahaya mata walaupun sudah lama berkahwin.
Bagi kebanyakan pasangan, ketidaksuburan merupakan satu krisis. Masalah kesuburan selalu menimbulkan perasaan bersalah atau kekurangan dalam diri. Tetapi diagnosis ketidaksuburan tidak semestinya penyebab kemandulan. Nak tahu lagi jelas soal ketidaksuburan, baca nota ini…
Penyebab Masalah Kesuburan Wanita
1. Masalah utama ketidaksuburan pada wanita adalah tiada ovulasi, atau kekurangan ovulasi (pengeluaran telur daripada ovari). Penyebab utama tiada ovulasi adalah keadaan yang dikenali sebagai penyakit polisistik ovari atau PCOS.
2. Sebab lain bagi ketidaksuburan wanita adalah ketidakbolehan tiub fallopia untuk membawa telur-telur daripada ovari ke uterus, biasanya berikutan dengan tisu berparut yang boleh diakibatkan daripada jangkitan terdahulu atau daripada keadaan yang dikenali sebagai endometriosis.
3. Amat jarang, dalam uterus, pertumbuhan fibroid, endometriosis, tumor, masalah serviks, atau bentuk uterine tidak tetap boleh memastikan telur daripada mengimplan dalam uterus. Penyuburan tidak akan berlaku jika mukus serviks merosakkan sperma atau menghalang ia terus berjalan dengan baik.
4.Usia juga adalah faktor utama dalam ketidaksuburan wanita. Kesuburan berkurang selepas wanita berusia 35 tahun. Hamil selepas usia 45 adalah amat jarang sekali berlaku. Wanita yang terlebih berat atau terlalu kurus juga boleh menimbulkan masalah untuk hamil.
Mitos VS Fakta
1. Mitos: Ketidaksuburan adalah masalah wanita
Fakta: Wanita dan lelaki memikul tanggungjawab yang sama apabila ia berkaitan dengan ketidaksuburan. Adalah penting untuk kedua-dua pasangan menjalani penilaian perubatan dan jika perlu menjalani rawatan untuk mengetahui masalah berkaitan ketidaksuburan.
2. Mitos: Semua orang mudah untuk hamil
Fakta: Secara normalnya, pasangan yang subur mempunyai kira-kira 25 peratus peluang untuk hamil setiap bulan.
3. Mitos: Tenang dan anda akan hamil
Fakta: Ketidaksuburan adalah penyakit pada sistem reproduktif. Walaupun kadangkala stres boleh memberi kesan pada tahap hormon dan ovulasi, emosi tidak dapat mengelakkan anda daripada hamil. Stres dan emosi tertekan yang anda rasa adalah kesan daripada ketidaksuburan, bukanlah penyebabnya.
4. Mitos: Bersabar dan bila tiba masanya anda akan hamil
Fakta: Ketidaksuburan adalah masalah perubatan yang biasanya memerlukan rawatan. Sekurang-kurangnya 50 peratus mereka yang menghabiskan penilaian ketidaksuburan akan memberi tindak balas pada rawatan dan berjaya hamil.
5. Mitos: Ambil anak angkat dan anda akan hamil
Fakta: Malangnya, mitos berterusan ini amat menyakitkan untuk didengar oleh individu dan pasangan, kerana ia mencadangkan bahawa pengambilan anak angkat adalah rawatan untuk ketidaksuburan. Kenyataan ini tidak benar. Kajian mendedahkan bahawa kadar kehamilan pasangan selepas mengambil anak angkat adalah sama seperti pasangan yang tidak mengambil anak angkat.
6. Mitos: Mungkin anda salah ketika ‘melakukannya’
Fakta: Ketidaksuburan adalah masalah perubatan bukannya penyakit seksual.
7. Mitos: Pasangan anda akan meninggalkan anda kerana ketidaksuburan
Fakta: Ganjaran pada perhubungan intim memerlukan kerja keras dan kesungguhan bagi setiap pasangan. Tanpa disangkal, ketidaksuburan akan memberi krisis besar dan akan memberi kesan pada perkahwinan. Namun begitu, banyak pasangan berjaya melalui krisis ini dan mereka belajar cara baru yang dapat menguatkan lagi perhubungan dan kasih sayang.
8. Mitos: Mungkin anda tidak ditakdirkan untuk menjadi ibu bapa
Fakta: Apabila berkahwin, sudah pasti anda dan pasangan telah membuat keputusan untuk menjadi ibu bapa kerana anda tahu betapa banyak kasih sayang dan sokongan yang anda mampu berikan kepada anak yang dilahirkan. Mempunyai masalah kesihatan yang membuatkan anda sukar untuk hamil dan melahirkan anak bukanlah tanda daripada Tuhan atau masyarakat atau sesiapa sahaja untuk menentukan sama ada anda sesuai atau tidak untuk membesarkan anak.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Siti Norhafiza Kamarudin telah disahkan menghidap kanser payudara pada bulan Julai 2018. Sungguh dia tidak menyangka akan menghidap penyakit yang paling ditakuti oleh semua wanita di dunia ini. Sudah lebih setahun dia menjadi ‘ cancer survivor’ dan kelihatannya dia tabah dalam menghadapinya.
Jelas Siti Norhafiza atau lebih mesra dengan sapaan Fiza, kisah kansernya bermula dengan rasa sakit pada bahagian payudara di sebelah kanan. Kesakitan itu telah berlaku pada hujung tahun 2017.
“ Tetapi bila kesakitan itu saya rasa boleh atasi sendiri membuatkan saya ambil ubat tahan sakit. Ada beberapa kawan yang tahu saya sakit, dia suruh saya berjumpa doktor. Tetapi saya tidak mahu dan terus memakan ubat tahan sakit.
” Sakit itu datang tanpa mengira masa. Bila rasa sakit saya akan ambil ubat tahan sakit. Sampailah satu tahap itu saya tidak boleh tidur. Rasa sakitnya seperti dihiris pisau. Masa itu saya ada buat pemeriksaan sendiri untuk memeriksa ketulan dan sebagainya. Semua itu tidak ada. Sebaliknya pada bahagian puting payudara ada seperti jerawat tumbuh.
” Sehinggalah rasa sakit itu tidak dapat saya tahan, saya ajak suami pergi ke sebuah hospital swasta. Kami pergi waktu malam. Setelah pemeriksaan dilakukan, mereka menasihati saya agar datang pada esok hari kerana doktor pakar ada di kliniknya.
” Esoknya saya dan suami datang semula ke hospital. Saya telah menjalani pemeriksaan mammogram dan biopsi. Seminggu selepas itu doktor panggil semula saya datang ke hospital dan memberitahu keputusan pemeriksaan mendapati saya ada kanser payudara tahap 3,” ujar Fiza membuka bicara.
Tidak Boleh Terima Kenyataan Hidap Kanser
Mati. Itulah perkara pertama yang terlintas dalam fikiran Fiza apabila disahkan menghidap kanser. Dia menangis. Suami yang berada di sebelahnya turut terkejut dengan berita tersebut.
“ Saya keluar dari bilik doktor sendirian. Kemudiannya saya duduk bersandar pada dinding berhampiran meja pendaftaran di hadapan bilik doktor. Memang saya tidak boleh terima kenyataan apabila doktor memberitahu rawatan yang perlu saya buat dalam membuang payudara sebelah kanan saya.
” Lagi saya terasa sedih kerana apabila bercakap pasal payudara, itu adalah aset wanita. Saya minta diberikan pilihan lain. Saya kemudiannya pergi ke PPUM dan buat pemeriksaan sekali lagi. Doktor di sana juga mencadangkan sama ada saya buang terus payudara sebelah kanan atau buat pembedahan rekonstruktif.”
Bukan senang Fiza hendak menerima keputusan doktor itu. Namun dia reda kini dengan apa yang berlaku. Tetapi pada peringkat awal dia memang sedih. Akhirnya dia ambil keputusan untuk membuat pembedahan rekonstruktif di Hospital Sunway.
Buat Rawatan Rekonstruktif
Fiza, 36 tahun, amat bersyukur kerana memiliki suami yang bertanggungjawab. Semasa dirinya sedih dan ‘down’, suaminya Mohd Roshdi Ramli adalah insan yang paling menyokongnya.
“ Suami saya ialah tulang belakang yang paling kuat dan dekat sebab semasa saya dalam tempoh saya sedih. Tanpa saya sedar dia juga telah mendaftarkan saya untuk mengikuti program kesedaran kanser payudara.
” Apabila dia bawa saya ke sana, saya tengok ramai lagi pesakit yang lagi teruk daripada saya. Ketika itu saya ada bertemu dengan seorang wanita berumur berbangsa Cina dan saya menangis di hadapannya.
” Dia bertanya kenapa saya bersedih. Dia beritahu saya bahawa dia sendiri juga adalah pesakit kanser payudara dan sudah 30 tahun dia survived. Umurnya kini dalam lingkungan 60 tahun lebih.
” Wanita itu menasihati saya agar jangan takut dan ikut sahaja apa kata doktor sarankan. Dia juga minta saya jangan fikir kanser ini boleh mati dan minta saya buat pembedahan dengan segera.
” Daripada wanita itulah saya mendapat kekuatan. Terus saya menjalani pembedahan membuang payudara sebelah kanan.
” Saya perlu buat rawatan rekonstruktif agar saya tidak rasa ‘down’ dan rasa cacat. Tetapi dalam pada saya rasa takut itu, ada saya ayat daripada suami yang buat saya rasa kuat. Dia cakap kenapa awak hendak rasa down kalau payudara sebelah kanan itu tidak ada.
” Malah suami telah hashtag di Instagram dan tunjuk kepada saya beberapa gambar pesakit kanser payudara yang tidak ada kedua-dua payudara mereka. Memang suami banyak sokong saya selain daripada emak, ayah, ahli keluarga dan kawan-kawan lain,” ceritanya panjang lebar.
Jalani Rawatan Dengan Tenang
Sewaktu ditemui, Fiza baru sebulan habis menjalani rawatan radioterapi. Dia telah menjalani rawatan kemoterapi sebanyak enam kitaran.
“ Saya bersyukur kerana dapat menjalani rawatan tersebut dengan tenang. Saya rasa tidak susah buat kemoterapi. Saya tahu semua orang takut buat kemoterapi. Itu juga perasaan saya pada mulanya. Takut juga. Tetapi bila sudah buat, saya tidak rasa apa-apa pun. Selepas habis kemoterapi saya menjalani radioterapi selama 15 kali di Institut Kanser Negara.”
Melalui rawatan demi rawatan amat memeritkan. Namun Fiza kuat semangat untuk melaluinya apabila melihat keadaan pesakit-pesakit lain yang turut menjalani rawatan yang sama.
“ Kalau kita menjalani kemoterapi sebagai contohnya di Hospital Sunway, kita akan dapat tengok lagi ramai orang yang lebih teruk daripada kita. Ada yang tidak boleh berjalan dan hanya mampu duduk di kerusi roda.
” Jadi kita yang boleh berjalan dan bercakap ini tidak perlu rasa takut. Ketika itu saya cuba alihkan tumpuan minda dengan beranggapan saya hanya buat rawatan masukkan vitamin C dalam badan supaya tidak rasa takut.
” Saya dapat atasi enam kitaran itu dengan baik. Memang ada kesan sampingan seperti rasa pening, mual, loya, muntah, penat dan letih. Tetapi selepas rawatan kemoterapi saya akan makan terlebih dahulu sebelum balik ke rumah.
” Rambut saya gugur selepas kemoterapi kedua. Tetapi itu pun suami yang tolong cukur dan licinkan kepala saya kerana jika tidak rambut masih akan gugur dan melekat di bantal apabila berbaring. Sekarang ini rambut saya sudah tumbuh dengan lebatnya.”
Ibu kepada dua orang cahaya mata ini gembira dengan perkembangannya sekarang. Dia hanya perlu mengikut nasihat doktor dengan mengamalkan gaya hidup sihat dan diet yang seimbang.
“ Tidak ada pantang larang dalam pemakanan. Doktor menasihatkan saya agar tidak percaya dengan khabar angin. Saya boleh makan apa sahaja tetapi dalam kuatiti sederhana,” ulasnya lagi.
Sama Seperti Dahulu
Jelas Fiza tidak banyak perubahan berlaku dalam hidupnya sebelum dan selepas disahkan menghidap kanser payudara.
“Bagi mereka yang mengenali diri saya, mereka tahu saya seorang yang ceria. Saya rasa sekarang ini pun saya masih ceria seperti dahulu. Cuma satu fasa saya rasa down apabila saya disahkan ada kanser.
” Tetapi selepas buat pembedahan dan dengan kata-kata nasihat orang, saya masih Fiza yang dahulu. Saya tidak pernah fikir yang saya ada kanser. Tetapi kadang-kadang perasaan itu datang dan saya elakkan untuk melayannya. Saya tidak mahu rasa saya ini sakit malah saya masih boleh bekerja.
” Saya positif sebab bila saya fikir masih ramai lagi orang yang kita sayang dan orang yang sayang kita, buat apa kita hendak rasa takut dan tidak ada semangat. Sebenarnya kita perlu fikir mengenai orang lain yang lagi teruk daripada kita keadaannya.”
Nasihatnya kepada wanita yang disahkan menghidap kanser payudara atau sebarang kanser, pertama sekali mereka boleh rasa down atau putus asa.
“Tetapi jangan ambil masa terlalu lama sebab kita perlu ingat orang-orang yang sayang kita. Kalau kita tidak sayang diri kita, sekurang-kurangnya kita perlu ingat kita ada anak yang memerlukan kasih kita.
“Jangan terlalu down atau stres kerana bila kita stres, kanser ‘suka’. Sel kanser ini bijak. Jadi kita sebagai manusia yang dikurniakan akal dan fikiran kita perlu buktikan pada kanser kita yang kita lebih bijak daripadanya kerana kita yang mengawalnya.
” Oleh itu jangan sesekali rasa hidup ini pendek. Buat apa yang kita suka dan teruskan kehidupan seperti biasa. Kita perlu ingat masih ramai orang yang lebih teruk daripada kita ujiannya. Ujian yang kita lalui ini tidak seteruk orang lain,” ujarnya mengakhiri perbualan.
Foto: Tuan Azman dan Koleksi peribadi Siti Norhafiza Kamarudin
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Jarang perempuan tak ambil kisah bab peranakan jatuh tetapi ramai yang tahu apa punca dan macam mana cara nak jaga dengan betul. Ok, jom hadam satu demi satu!
Sakit di bahagian belakang, sukar membuang air besar dan terkencing apabila terbatuk mungkin kerap dialami kebanyakan wanita. Namun, tidak ramai mengetahui masalah sebenar gejala ini sehinggalah ke peringkat agak teruk dan mendesak mereka membuat pemeriksaan doktor.
Akhirnya dapat tahu rahim atau bahagian peranakan jatuh! Jangan buat main,sebab beberapa tanda tadi sebenarnya adalah antara gejala-gejala yang dikaitkan dengan masalah rahim jatuh.
Rahim jatuh atau dalam bahasa perubatan dikenali sebagai Uteral Viginal Prolapse (UVP) adalah situasi di mana rahim turun/jatuh dari tempat asal melalui saluran faraj atau kadang-kadang berada di luar saluran faraj.
Dianggarkan kira-kira 30% daripada wanita yang pernah bersalin secara normal dan lebih daripada dua atau tiga kali bersalin akan berasa ada simptom-simptom rahim jatuh.
Sesetengahnya mendapat gejala yang sedikit dan tidak mempengaruhi hidup mereka. Ada yang tahap teruk sehingga mempengaruhi dan mengganggu gaya hidup.
Antara gejala-gejala yang biasa dialami disebabkan masalah ini ialah:
1. Sakit belakang
2. Tidak selesa semasa mengadakan hubungan kelamin kerana berasa seperti ada benda yang turun di bahagian vagina
3. Ada sesetengah yang mengalami keadaan agak teruk sehingga rahimnya terkeluar sepenuhnya dan akan berasa ada benda yang menyebabkan susah hendak duduk, susah hendak berjalan dan sesetengahnya pula tidak boleh mengawal kencing atau mudah terkencing/terkucil apabila batuk.
4. Gejala lebih teruk lagi ialah sukar hendak membuang air besar kerana apabila ini berlaku ia menarik sekali dinding faraj. Saluran air besar yang sepatutnya akan memasuki ruang lain sehingga menyebabkan sukar untuk membuang air besar.
Apabila rahim terkeluar dalam jangka masa yang lama, ia akan menyebabkan kulit pada rahim kering dan senang/mudah menjadi ulser dan kadang-kadang boleh menyebabkan pendarahan terutama sekiranya lambat mendapat rawatan.
Tiga peringkat masalah rahim jatuh:
Peringkat pertama – rahim turun sedikit sahaja
Peringkat kedua – rahim sedikit terkeluar pada lubang faraj
Peringkat ketiga – rahim terkeluar sepenuhnya. Pada peringkat ini ia boleh mengganggu proses membuang air.
Tip Untuk Jaga Peranakan
1. Elakkan berdiri terlalu lama. Ambil masa untuk seketika dan melunjurkan kaki ke atas bangku.
2. Melakukan senaman pelvis amat penting walaupun sejak zaman bujang lagi. Ini menguatkan otot-otot dalaman, membantu mempercepatkan proses pemulihan pasca surgeri, mendapatkan semula rasa mengawal kencing dan mengurangkan sakit belakang.
3. Amalkan pemakanan yang betul bagi mengelakkan sembelit yang teruk. Banyakkan makan sayur-sayuran, buah-buahan dan bijirin. Elakkan meneran di bilik air lebih daripada 15 minit. Puas atau tidak, sila keluar dari bilik.
4. Memakai girdle/sut pelangsingan badan yang sesuai boleh membantu tetapi bukan korset yang amat ketat.
5. Jangan merokok dan jauhkan diri daripada perokok bagi menghindari batuk yang kronik.
6. Elakkan mengandung yang kerap dan rapat. Cubalah kaedah-kaedah perancang keluarga yang mempunyai peratus kejayaan tinggi.
7. Amal makan jamu sejak anak dara.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Dicerai tebus talak, Dottie bayar balik nilai mas kahwin. Pengacara dan pelakon Dottie atau Nor Syuhaida Ab Razak, 36, bersepakat dengan suaminya untuk menamatkan...