
Isi Kandungan
ToggleBila sudah berumah tangga, tidur malam pun tak boleh nak agak. Kadang dapat lelap awal dan andai kata anak-anak belum tidur, maka mak ayah pun turut kena berjaga malam.
Begitulah rutin harian bila sudah beranak-pinak. Namun sebenarnya betul ke orang dewasa wajib tidur selama 8 jam kalau nak betul-betul rasa FRESH keesokan harinya? Jadi macam mana kalau mak ayah yang jenis bangun awal pagi buat ibadah? Cukup ke tidurnya?
Dan andai kata tak cukup, adakah situasi ini akan mengganggu faktor kesihatan?
Semua jawapan itu ada dalam perkongsian doktor Hafiz Sulaiman ini…
Masa Tidur Malam
Kita sudah kena “mindset” tidur mesti berterusan 7-8jam sehari. Tahukah anda kebanyakan binatang tidak tidur secara berterusan?
Hakikatnya menurut banyak kajian saintifik, kaedah tidur 2 kali atau “biphasic” juga lebih fitrah bagi sesetengah orang.
Kaedah tidur biphasic ialah tidur 4-5jam di waktu malam dan tidur sekejap (kurang 20minit) di waktu tengahari.
Kaedah ini meningkatkan ketajaman minda, menyegarkan badan seterusnya meningkatkan produktiviti kerja insha Allah.

Jangan gusar jika terjaga di waktu awal pagi, terutama bagi yang dah berumur..mungkin itu seruan menghadap ilahi..janganlah kita mengabaikannya dengan menarik kembali selimut.
Top up Tidur Waktu Tengah Hari
Tambah saja 5-10 minit di waktu tengahari. Insha Allah lebih bertenaga. Jika tak menjadi, buat pemeriksaan kesihatan 🙂
Apa yang paling penting ialah TIDUR AWAL selepas isya’ itu ialah mengikut FITRAH.
Semoga tidur menjadi amal ibadah yang bukan sahaja memberi pahala tetapi juga memulihkan tenaga, fungsi dan kecekapan badan insha Allah.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
“Wahai Wanita Solehah, Tuntutlah Sendiri Syurga Yang Dijanjikan Allah Untuk Dirimu!..”

Isi Kandungan
ToggleAdalah sangat penting bagi seorang wanita menuntut sendiri syurga yang dijanjikan Allah untuk dirinya dalam apa juga cara dan keadaan.Tertarik dengan pesanan dan kata-kata oleh Prof.Dr Harlina Siraj ini, antaranya bahawa seorang wanita masih punya peluang meraih Syurga Allah SWT tanpa perlu bergantung kepada siapa lelaki yang menjadi pasangan hidupnya.
Tidak dapat dinafikan, kehadiran lelaki atau suami memainkan peranan besar dalam membimbing isteri ke jalan yang diredhai sekaligus menjadi asbab memudahkan para isteri menuju ke syurga yang telah dijanjikanNya. Namun bukan semua wanita bertuah memiliki ‘pakej’ suami sebegitu.Ramai para suami yang masih terumbang ambing dalam kefahaman rohani serta mengabaikan tanggungjawab dalam mendidik isteri.Akibatnya isteri dan keluarga kekurangan didikan agama, sekaligus menjarakkan peluang ke syurgaNya.
Oleh itu, khusus buat wanita, usah bimbang dan gusar, rawat hati dan jadikan perkongsian daripada Prof.Dr Harlina Siraj sebagai panduan;
Berikut antara perkongsian tersebut;
Wahai Wanita Solehah,
Tuntutlah syurga yang dijanjikan Allah untuk dirimu!
Peranan Suami
Peluang wanita nak masuk ke syurga Allah ni, tak banyak sikit, bergantung kepada ilmu, kerenah & tahap keimanan suaminya.
Kalau dapat suami yang tinggi tahap keilmuan & kuat keazamannya untuk mencontohi Ar Rasul SAW sebagai role model suami mithali, besarlah peluang isteri untuk menjejak kaki masuk ke Jannah Allah bersama-sama. #tillJannah
Tapi kalau dapat suami yang sebaliknya (jahil, sombong, tinggi ego, buruk akhlak & kurang iman serta penghayatan agamanya), sukarlah isteri nak mencium bau syurga, kerana dibimbangi diheret dan terseret sama ke neraka bersama suami yang sebegitu.
Sedangkan Allah SWT memberi peringatan tegas dalam Surah At Tahrim ayat 6 – Agar memelihara diri dan ahli keluarga dari menjadi bahan bakar api neraka!
Namun, harus barang diingat jua
Dapat menjadi isteri yang bersuamikan Rasul sekalipun, belum tentu selamat dari siksaan neraka Allah ( seperti mana isteri Nabi Nuh AS & Nabi Luth AS : rujuk Surah At Tahrim ayat 10)
Jika ditakdirkan bersuamikan Firaun yang dilaknat Allah sekalipun, masih ada peluang untuk didirikan sebuah istana di Syurga ( rujuk At Tahrim ayat 11)
Jangan Bimbang Jika Tidak Bersuami
Dan bagi wanita yang tiada rezeki bersuami di dunia ni, jangan bimbang ye. Allah telah mengangkat darjat Maryam puteri Imran yang memelihara kehormatannya melebihi wanita lain di zamannya! ( Rujuk At Tahrim ayat 12)

Pendekatan, wanita punya peluang meraih Jannah Allah SWT tanpa bergantung kepada siapa lelaki yang menjadi pasangan hidupnya!
Ayuh wanita solehah wa muslehah,
Tuntutlah sendiri syurga yang dijanjikan Allah untuk dirimu!
Semoga perkongsian ilmu dan pesanan ini memberi manfaat serta sinar harapan buat wanita.
Sumber:Harlina Halizah Siraj
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Mak Mentua Suka Audit Menantu, Rumah Tangga Jadi Kacau Bilau

Mak mentua suka audit menantu, rumah tangga jadi kacau bilau. Bertengkar disebabkan cemburu dengan pasangan tidak sebisa bertengkar kerana campur tangan keluarga mentua.
Mak Mentua Suka Audit Menantu, Rumah Tangga Jadi Kacau Bilau
Hari ini semakin ramai pasangan muda yang duduk bersama mentua. Mungkin untuk tempoh awal perkahwinan tidak menjadi masalah. Elok juga mentua memberi petua bagaimana nak menjaga anaknya. Tapi apabila sudah terlalu lama, maka akan berisiko untuk timbul hal-hal lain.
Ada mentua yang seperti juruaudit yang selalu membuat pemeriksaan mengejut cara menantu menguruskan anak dan cucunya. Memang niatnya tulus suci mahukan yang terbaik. Tetapi terus-terang cakap, siapa yang suka setiap hari diaudit?
Lebih mencabar apabila suami pula terpaksa menyebelahi ibunya. Oleh itu, elok jika disebut begini. Cukuplah sekadar enam bulan dan selepas itu berdirilah di atas kaki sendiri. Betul, banyak faktor penjimatan tetapi jangan lupa cabarannya juga besar.
Sebab Lain Timbulnya Konflik:
Cemburu
Tanpa mengikut urutan keutamaan, saya melihat faktor cemburu kepada rakan pasangan, sering menjadi isu perbalahan antara suami dan isteri. Suami cemburu kepada rakan isteri dan isteri pula sakit mata dengan rakan suami.
Mengikut satu kajian, konflik yang berpunca daripada rakan pasangan merangkumi 7% pada pihak suami dan 8% pada pihak isteri.
Suka atau tidak suka, media sosial memang menyumbang kepada perkara ini. Bekas kekasih lama bertemu semula. Mungkin tidak secara berdepan dan sekadar dalam laman sosial tetapi sudah cukup menggetarkan hati pasangan.
Walaupun masing-masing menyedari status yang sudah berubah tetapi itu memang kerap menjadi penguji tegar kepada keyakinan pasangan sendiri. Oleh itu, pilihan keutamaan ada di tangan anda.
Hubungan Intim
Bertengkar tentang hal dalam bilik tidur juga kerap menjadi isu. Ada isu pasal terlebih dan ada juga isu terkurang. Isu begini jarang berlaku pada pasangan muda tetapi lebih kerap berlaku pada pasangan yang boleh dianggap sudah berpengalaman lima hingga 10 tahun perkahwinan.
Perubahan hormon, kekuatan fizikal dan ayunan emosi yang berbeza menjadikan aktiviti di bilik tidur tidak seringkas seperti waktu berbulan madu dahulu. Waktu itu pantang tersentuh terus ‘menjadi’, tetapi sekarang tidak lagi begitu. Lelaki perlukan layanan fizikal tetapi isteri mahukan lebih perhatian emosi. Memang berlaga!
Isteri Lebih Berduit
Masa bercinta semua nampak cantik dan elok. Setelah habis tempoh bulan madu barulah dunia sebenar rumah tangga bermula.
Cinta memang indah tetapi komitmen dalam rumah tangga itu perlu dibuktikan.
Hari ini ramai pasangan yang isterinya mempunyai pendapatan jauh lebih tinggi daripada suami. Ini adalah asid pekat yang pasti menguji kesabaran dan keikhlasan anda.
Tidak salah anda ikhlas membayar lebih kos pengurusan rumah tangga tetapi anda perlu lebih kebijaksanaan untuk berbincang tentang hal tanggungjawab suami. Suka atau tidak realiti ramai pasangan muda hari ini bercerai kerana faktor komitmen kewangan ini.
Cara Didik Anak Berbeza
Jangan lupa yang terakhir ialah faktor cara mendidik anak-anak terutama apabila kedua-dua suami isteri berpendidikan tinggi. Ada pertengkaran disebabkan kelakuan anak-anak yang dianggap berpunca daripada sikap atau cara didikan sama ada si suami atau isteri di rumah. Suami salahkan isteri dan isteri menunding jari kepada suami kerana tidak peduli pasal anak-anak.
Keadaan menjadi lebih runcing apabila pasangan itu dikurniakan anak istimewa. Percayalah, hanya pasangan yang ada anak istimewa sahaja yang tahu betapa hebat cabarannya. Berat mata memandang maka berat lagi bahu memikul. Masalah besar timbul apabila hanya ada satu bahu sahaja yang memikul dan yang satu lagi berlepas tangan. Oleh itu bersedialah!
Artikel ini dikongsikan oleh Dr. Syed Yusainee Yahya, Promind Training And Consultation, juga penulis tetap ruangan Nota Untuk Isteri di dalam majalah Mingguan Wanita.

Baca artikel lain juga: Mak Mentua Jangan Pandang Rendah Pada Menantu Tak Kaya, Selalunya Merekalah Yang Boleh Diharap
Mak Mentua Jangan Sibuk Cari Salah Menantu, Perbetulkan Anak Lelaki Sendiri Dulu
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Tiada Dalil Anak 7 Tahun Kena Berpuasa, Tengok Kemampuannya, Jangan Terlalu Tegas!

Isi Kandungan
ToggleBila usia anak 7 tahun, mk-mak mula merasakan mereka perlu berpuasa seperti orang dewasa lain. Sedangkan pada usia ini tidak wajib pun tapi boleh saja mak ayah mengajar berpuasa.
Tapi paling sedih, bukan setakat mak ayah yang paksa berpuasa pada anak 7 tahun tapi turut melibatkan guru terutamanya bila di sekolah. Sampaikan anak kena menipu kerana terlalu lapar dan dahaga.
Ada cara nak didik anak 7 tahun berpuasa. Lihat kemampuan dan jangan terlalu tegas sampai boleh membuatkan anak mula belajar menipu pula. Ikuti penjelasan daripada Ustazah Norul Huda Bakar, pensyarah Jabatan Undang-undang, Fakulti Syariah dan Undang-undang, KUIS.
Baca Artikel Menarik Lain Di Sini: Jangan Paksa Anak Puasa, Mak Ayah Kena Pandai Tackle Biar Keinginan Datang Sendiri
Info Lebih Menarik DI SINI
Anak 7 Tahun Dipaksa Puasa
Ada cara betul nak mendidik anak berpuasa terutamanya yang baru menjejak kaki ke sekolah.
Hukum fiqh telah menjelaskan bahawa kanak-kanak tidak diwajibkan berpuasa di bulan Ramadaan. Walaupun demikian, sekiranya kanak-kanak yang telah mumayyiz (yang telah tahu membezakan perkara baik dan buruk) berpuasa, maka sah puasanya.
Walaupun kanak-kanak tidak berkewajipan menunaikan ibadah puasa, menjadi kewajipan kepada ibu bapa pula untuk mendidik dan menyuruh anak-anak berpuasa di bulan Ramadan supaya mereka terbiasa melakukan ibadah berpuasa sehingga ke dewasa. Seperti kata pepatah: ‘Alah bias tegal biasa’.
Para ulama’ fiqh mencadangkan tahap umur kanak-kanak yang sesuai diajarkan dan disuruh berpuasa adalah pada umur 7 tahun. Dengan mengqiyaskan kepada hadith suruhan anak-anak mendirikan solat.
مُرُوا الصَّبِيَّ بِالصَّلاَةِ إِذَا بَلَغَ سَبْعَ سِنِينَ وَإِذَا بَلَغَ عَشْرَ سِنِينَ فَاضْرِبُوهُ عَلَيْهَا
Maksudnya: Ajarilah kanak-kanak untuk solat setelah dia berusia tujuh tahun, dan apabila dia berumur sepuluh tahun, pukullah dia (dengan pukulan yang tidak menyakitkan dan melukakan dengan tujuan untuk mendidik).
Bagi pandangan saya, oleh kerana suruhan anak-anak berpuasa tiada dalil secara langsung seperti mana suruhan anak-anak mendirikan solat, selain daripada menggunakan usia 7 tahun boleh juga dilihat daripada aspek uruf kebiasaan masyarakat.
Terdapat banyak cara mendidik anak berpuasa mengikut kaedah dan kesesuaian mak ayah. Namun yang penting ibu bapa perlu mewujudkan suasana beribadah dalam keluarga. Ini kerana bulan Ramadan bukan sahaja membawa suruhan berpuasa semata-mata tetapi juga suruhan ibadah yang lain seperti solat dan mengaji al-Quran.
Mak ayah perlu mengajarkan dan memastikan anak-anak mendirikan solat fardu lima waktu, mendirikan solat terawih, mengajarkan mengaji sama ada membaca iqra’, muqaddam atau al-Quran mengikut tahap anak-anak dan berpuasa mengikut kemampuan anak tersebut.
Mak ayah perlu sentiasa menerangkan kepada anak-anak tentang tuntutan berpuasa yang perlu menahan diri daripada makan dan minum. Mak ayah perlu memastikan anak-anak mengambil makanan yang seimbang dan minum air dengan secukupnya ketika sahur bagi memastikan anak-anak bertenaga ketika di sekolah.
Namun demikian, ibu bapa tidak boleh terlalu tegas dengan anak-anak sekiranya mereka tidak larat dan tidak mampu meneruskan berpuasa sehingga berbuka. Yang penting, bagi mereka lalui fasa menahan lapar dan dahaga terlebih dahulu. Sekiranya mereka tidak mampu meneruskan berpuasa, mak ayah boleh memberi kebenaran mereka berbuka. Proses ini perlu diteruskan sehinggalah anak-anak ini berjaya menyempurnakan berpuasa seharian.
Tak Semua Mampu Berpuasa Penuh
Asasnya anak-anak perlu diajar dan disuruh untuk berpuasa. Puasa dalam bahasa Arab ialah ‘al-siam’ yang membawa maksud menahan diri daripada makan dan minum. Justeru, anak-anak ini perlu diajarkan supaya menahan lapar dan dahaga.
Proses belajar berpuasa ini perlu beransur-ansur dan mengikut kemampuan anak-anakmak ayah dan guru-guru perlu memberikan motivasi kepada anak-anak untuk berpuasa kerana menahan lapar dan dahaga ini bukan perkara yang mudah dilakukan.
Begitu juga bagi anak-anak yang tidak mampu berpuasa sempurna perlu difahami dan diladeni mereka ini dengan sebaiknya seperti menyediakan air minuman untuk mereka minum supaya dapat menyegarkan badan mereka.
Bagi membantu anak-anak berpuasa dengan selesa, ibu bapa atau guru boleh berikan aktiviti yang ringan dan tidak banyak menggunakan tenaga. Berikan ruang anak-anak ini menyegarkan badan seperti mengambil wuduk, membasuh muka, mandi dan tidur. Supaya mereka lebih bertenaga meneruskan puasa sehingga selesai.
Sanggup Minum Sorok-sorok
Bagi pandangan saya, ini adalah cabaran dalam pendidikan ibadah kepada anak-anak. Berlaku perkara ini bukanlah petanda kegagalan dalam mendidik. Tetapi kayu ukur untuk meneruskan lagi usaha-usaha mendidik anak-anak. Dalam proses mendidik mak ayah dan guru-guru perlu mengambil tanggungjawab sentiasa menegur dan menasihati anak-anak ini supaya suruhan berpuasa tidak dirasakan sebagai paksaan.
Jika dirujuk hadith Nabi SAW tentang suruhan anak-anak solat:
مُرُوا الصَّبِيَّ بِالصَّلاَةِ إِذَا بَلَغَ سَبْعَ سِنِينَ وَإِذَا بَلَغَ عَشْرَ سِنِينَ فَاضْرِبُوهُ عَلَيْهَا
Maksudnya: Ajarilah kanak-kanak untuk solat setelah dia berusia tujuh tahun, dan apabila dia berumur sepuluh tahun, pukullah dia (dengan pukulan yang tidak menyakitkan dan melukakan dengan tujuan untuk mendidik).
Berdasarkan qiyas daripada hadith ini memberi kefahaman bahawa anak-anak boleh dihukum dengan hukuman yang tidak memudaratkan sekiranya berlaku keingkaran dalam beribadah.
Bagi pandangan saya dalam perkara ini, sekiranya anak-anak di bawah umur 10 tahun, mak ayah perlu menasihati dan menegur anak-anak ini supaya tidak mengulangi perkara tersebut.
Ajarkan anak-anak supaya meminta keizinan dan kebenaran terlebih dahulu sebelum berbuka. Bagi anak-anak berumur 10 tahun ke atas, mak ayah juga perlu menasihati dan boleh sertakan dengan sedikit hukuman ringan yang bersesuaian. Ini kerana mereka telah melakukan kesalahan dan hukuman tersebut sebagai pengajaran supaya mereka lebih menjaga perkara-perkara berkaitan dengan ibadah pada masa akan datang.

Dari aspek yang lain, bagi anak-anak yang tidak berpuasa (yang telah dimaklumi tidak berpuasa) memang seharusnya mereka ini makan secara sembunyi-sembunyi atau sorok-sorok. Ini adalah adab yang diajarkan dalam Islam. Bukan kerana mereka ini bersalah tidak berpuasa, tetapi lebih kepada menjaga atau menghormati orang yang sedang berpuasa dan menghormati bulan Ramadan yang sepatutnya kita berpuasa ketika itu. Perkara ini yang perlu dididik kepada anak-anak supaya mereka berakhlak dengan akhlak Islam yang sebenar.
.
Jangan Terlalu Memaksa
Bagi pandangan saya, cara terbaik adalah mengikut kesesuaian cara cikgu-cikgu dengan mengambil kira perkara-perkara asas dalam berpuasa:
i. Pendidikan berpuasa mesti dilaksanakan.
ii. Selagi belum baligh mereka tidak wajib berpuasa.
iii. Perlu berhikmah dengan mengikut kemampuan pelajar. Memberi ruang pelajar berbuka sekiranya pelajar tidak larat meneruskan berpuasa.
iv. Para pelajar perlu sentiasa diingatkan tentang kewajipan berpuasa dan kelebihan beribadah di bulan Ramadhan
v. Para pelajar juga perlu sentiasa diberikan motivasi dan dorongan supaya sentiasa bersemangat untuk beribadah khususnya berpuasa.
vi. Guru-guru boleh merancang aktiviti yang bersesuaian dan menyeronokkan pelajar yang berpuasa .
Mingguan Wanita : Tak salah nak ajar anak berpuasa tapi janganlah tegas dan memaksa, elak dari anak menipu dan terpaksa pula minum sorok-sorok. Lagi sedih.
Sumber: Ustazah Norul Huda Bakar, Pensyarah, Jabatan Undang-undang, Fakulti Syariah dan Undang-undang, KUIS
Mingguan Wanita boleh diikuti juga di telegram :
https://t.me/bangkitwanitaMW
Follow kami di :
Facebook Mingguan Wanita
Instagram Mingguan Wanita
Twitter Mingguan Wanita
#bangkitwanita
#langkahyakinlakarkejayaan
#bisnesdarirumah
#mingguanwanita
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI