“Tidak pernah terfikir cari pengganti.”Suami ini tak menyesal berhenti kerja jaga isteri terlantar setelah isterinya hilang upaya selepas melahirkan anak mereka.
Ternyata bukan sesuatu mudah ditelan apabila isteri yang sihat secara tiba-tiba tidak dapat uruskan diri sendiri apatah lagi anak yang dilahirkan.
Tidak Pernah Terfikir Cari Pengganti
“Tidak pernah terlintas di fikiran saya untuk berkahwin lagi atau mencari pengganti isteri sebaliknya akan terus menunggu dia hingga kembali sihat dan menjaganya selagi terdaya,” luah bapa seorang anak, Muhamad Saiful Sudin.
Kini, dia menjaga isterinya, Norfadilla Che Par, 30, yang terlantar sakit selepas melahirkan zuriat sulung mereka kira-kira tiga tahun lalu.
Demi melaksanakan tanggungjawabnya, Muhamad Saiful, 31, yang menetap di Kampung Kok Lintang, Gunung, Kelantan, sanggup berhenti kerja di sebuah syarikat bekalan tenaga elektrik untuk memastikan dirinya sentiasa berada di sisi Norfadila yang sudah tidak dapat menguruskan dirinya sendiri.
Suami Ini Tak Menyesal Berhenti Kerja
Berkongsi pengalamannya, dia berjaga sehingga awal pagi bagi menemani isterinya yang kebiasaannya tidur selepas waktu Subuh.
Menurutnya, selain memandikan dan menukar lampin pakai buang, dia juga perlu memberi Norfadila minum susu setiap empat jam sekali.
“Isteri saya dalam keadaan baik sebelum dan ketika hamil, namun dengan tiba-tiba jantungnya terhenti selama 10 minit sewaktu melahirkan anak kami secara pembedahan.
“Separuh sel otaknya mati disebabkan oksigen tidak sampai dan mujurlah doktor dapat menyelamatkannya dengan izin Allah.
“Empat bulan isteri saya koma dan Allah saja tahu bagaimana sedihnya saya ketika itu dan syukur sangat apabila dia sedar walaupun tidak boleh bercakap dan perlu menerima rawatan selama empat bulan lagi di hospital untuk pemantauan,” katanya.
Berhenti Kerja Jaga Isteri Terlantar
Bercerita lanjut, Muhamad Saiful bersyukur kerana tinggal bersama keluarga mentua jadi tidak berseorangan memantau Norfadila walaupun dia sepenuhnya yang menguruskan keperluan isterinya itu.
Anaknya, Muhammad Syahmi yang kini berusia tiga tahun dijaga oleh kakak iparnya, Norhasirah yang tinggal di kampung berdekatan.
“Sedih memang ada kerana isteri jadi begitu ketika melahirkan anak dan setahun selepas kami berkahwin.
Ads
“Saya juga pernah hilang semangat terutama ketika isteri koma di hospital kerana melihat keadaannya yang seperti tiada peluang untuk isteri sedar apatah lagi sembuh.
“Bagaimanapun, keluarga yang banyak beri saya kekuatan dan semangat untuk terus cekal menjaga isteri sehingga kini malah mereka juga membantu daripada segi kewangan kerana saya tidak bekerja.
“Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ada beri elaun sebanyak RM500 tetapi ia tidak cukup kerana perbelanjaan bulanan isteri dianggarkan mencecah RM1,500 dan ia diperlukan bagi membeli lampin pakai buang, bekalan susu untuk setiap tiga hari dan lain-lain lagi,” katanya.
Peluang Sembuh Tipis
Muhamad Saiful berkata, doktor tidak beri jaminan atau jangkaan tempoh isterinya akan sembuh.
Menurut Muhamad Saiful, jika pulih sekalipun, doktor meminta dia bersiap sedia dengan keadaan Norfadila yang tidak akan normal seperti biasa.
“Dia (Norfadila) mungkin sukar kembali sihat seperti dulu namun saya tidak akan berputus asa malah setiap hari berdoa supaya Allah berinya kesembuhan dan keajaiban iaitu peluang kedua untuk hidup normal.
“Saya tidak pernah menyesal berhenti kerja tiga tahun lalu bagi menjaganya kerana sudah menjadi tanggungjawab sebagai suami untuk ada di sisinya.
“Sekurang-kurangnya, saya tidak akan berasa ralat jika berlaku apa-apa kemudian hari.
“Saya yakin ada hikmah di sebalik ujian ini jadi reda dengan apa yang berlaku dan susah atau senang, biarlah kami bersama,” katanya yang masih membawa Norfadila menjalani pemeriksaan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu setiap enam bulan sekali.
Mingguan Wanita : Salute pada suami yang masih setia walaupun telah tiga tahun berlalu. Semoga kisah suami ini menjadi inspirasi kepada pasangan lain yang berdepan dengan ujian sakit. Ternyata menguruskan orang sakit bukanlah sesuatu yang mudah, apatah lagi pasangan kita sendiri.
Sekali pandang, nampak normal dan sangat comel bayi ini kerana pipinya yang tembam dan kemerah-merahan.
Rupa-rupanya pipi bayi yang berasal dari Beijing ini bukanlah tembam, sebaliknya pipinya menjadi bengkak dan kembung selepas disapu sejenis krim pelembab.
Pipi seorang bayi menjadi kembung dan ditumbuhi rambut selepas disapu krim mengandungi steroid di wajahnya.
Gara-Gara Disapu Krim Pelembab
Semuanya bermula selepas ibu bapa bayi itu menyapu krim pelembap berkenaan untuk mengurangkan kesan kulit kering pada wajah anaknya.
Selepas beberapa kali menyapu krim berkenaan, ibu bapa bayi itu menyedari wajah anak mereka mula ditumbuhi rambut, manakala pipi menjadi kembung.
Memetik laporan portal Daily Mirror, ibu bapa bayi itu mendakwa anak mereka hanya diberikan susu badan dan menolak ia menjadi punca kepada masalah berkenaan.
Tidak berpuas hati dengan kejadian menimpa anak mereka menyebabkan ibu bayi itu membuat ujian susu badan di hospital dan keputusan mendapati, susunya normal.
Hospital kemudian menasihatkan supaya ibu bayi itu mengurangkan kandungan susu, namun sebulan kemudian keadaan semakin meruncing.
Bayi malang itu kemudian segera dibawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut kerana terdapat ramai bayi mengalami masalah sama.
Punca Masalah Disebabkan Krim Pelembab
Selepas pemeriksaan lanjut, doktor mengesahkan punca masalah itu disebabkan krim pelembap mengandungi steroid yang digunakan pada wajah bayi terbabit.
Doktor menasihatkan supaya krim berkenaan hanya disapu untuk jangka masa pendek bagi mengurangkan risiko pada kulit bayi.
Sebaik menghentikan penggunaan krim itu, keadaan wajah bayi berkenaan semakin pulih, sebelum dibenarkan pulang.
MW: Sesetengah krim pelembab tidak boleh digunakan dalam tempoh yang panjang kerana bimbang kesan sampingannya. Sebaiknya dapatkan nasihat doktor sebelum mencuba apa jua jenis produk untuk bayi atau anak-anak mak,ayah ya.
Empat hari lamanya ibu ini menghantar anaknya ke sekolah. Mengajar permata hatinya survival sebagai seorang pelajar sekolah rendah. Kelak, anaknya itu dapat berdikari biar pun tanpa pengawasan kedua ibu bapanya yang jauh di mata.
Sayangnya, belum pun seminggu memantau anaknya yang bersekolah, ibu ini, Siti Saleha Jaffarberasa sedih dengan realiti yang benar-benar terjadi di hadapan matanya. Apa yang dikongsikan beliau ini biarpun perit untuk ditelan, tapi drama realiti ini adalah hakikat yang perlu kita hadamkan. Baiki segera agar bila anak besar, dia tak ikut jejak kurang manis segelintir mak ayah ini.
Seandainya tanpa sedar atau sengaja ada mak ayah pernah terbuat apa yang dicatatkan oleh beliau, cepat-cepatlah istighfar. Lihat kembali khilaf diri dan perbaiki agar kelak mak ayah dapat melahirkan generasi pewaris harapan bangsa.
Drama Realiti Di Sekolah
Selama 4 hari follow rayqal, mengajar dan memantau cara membeli, mengajar menunggu mamy/abah ambil, mengajar naik turun van, inilah realiti yang terjadi di depan mata
1. Cikgu mengarahkan supaya mak ayah beredar dari tapak perhimpunan untuk meneruskan kelancaran aktiviti. Tindakan sesetengah mak ayah mengabaikan arahan itu malah berwefie dan memaksa anak-anak pose.
Hakikat : Mak ayah sendiri mengajar anak degil dan mengingkari arahan. Jadi anda mengharapkan cikgu untuk didik anak anda tidak degil dan mengikut arahan?
2. Waktu anak rehat, mak ayah mengambil tempat duduk murid lain untuk temankan anaknya sahaja makan maka murid tersebut terpinga-pinga sambil memegang pinggan dan air. Matanya pula meliar mencari tempat duduk. Kawan terlanggar habis mee dan air tumpah. Bayangkan itu yang terjadi pada anak kita sendiri.
Hakikat : Mak ayah sendiri mengajar anak menjadi seorang yang mementingkan diri dan mengambil hak orang lain.
3. Cikgu mengarahkan supaya mak ayah beredar di hadapan kelas untuk memulakan sesi pembelajaran tapi arahan diingkari malah keluarkan smartphone sambil snap gambar
Hakikat : Mak ayah mengajar anak untuk tidak yakin dan tidak mempercayai seseorang yang menjalankan amanah. Mengajar anak tidak menghormati hak orang lain.
4. Sambil beratur membeli buku dan bayar yuran, seorang ayah sambil memimpin anak berusia 4-5 tahun memotong barisan. “Cikgu, berapa lama nak beratur ni, saya kejap lagi nak masuk kerja.” Maka si anak kecil petah berkata-kata, ”Papa kata cuti hari ni nak bawa adik pergi tengok cerita Jumanji” Dan si kecil itu dijerkah ayahnya di khalayak ramai
Hakikat : Mak ayah sendiri mengajar anak bercakap bohong, menipu, tidak sabar dan menjatuhkan maruah orang di hadapan orang adalah tidak salah.
5. Mak ayah beratur bersesak-sesak dengan murid lain membeli makanan untuk anaknya seorang dengan tujuan mengajar cara membeli di kantin maka drama berlangsung lebih kurang 5-7 minit di situ. Murid-murid lain di belakang masih ramai lagi.
Apabila masing-masing dapat makanan, baru menyuapkan makanan sesuap dua, loceng berbunyi tanda waktu rehat berakhir. Maka si polos, bangun sambil menoleh makanan yang tak sempat dihabiskan dan berlalu mencuci tangan.
Hakikat : Mak ayah mengajar anaknya cara mementingkan diri sendiri, mengambil hak orang lain dan tiada rasa belas pada orang lain. Apa salahnya buat role play jual beli di rumah?
6. Parking kenderaan dan van sekolah dipenuhi oleh kereta-kereta mak ayah yang mahu mengambil anaknya. Dikejauhan terlihat murid yang masih belum biasa menangis keseorangan mencari van yang terselindung di sebalik kenderaan mak ayah lain.
Hakikat : Mak ayah mengajar anaknya mementingkan diri, tidak peduli orang lain dan mengambil hak orang lain itu tidak menjadi satu kesalahan.
Masyarakat Sekarang Semakin Tenat Adab
Begitulah drama realiti serba sedikit yang terjadi di hadapan mata. Sedih memang cukup sedih melihat betapa masyarakat sekarang semakin tenat adab, akhlak dan tingkah laku.
Lagi sedih, bila memikirkan sikap generasi akan datang 10-20 tahun lagi bagaimana hasil corakannya. Sedarlah wahai mak ayah, dikala kita galak menyalahkan guru-guru atas tingkah laku anak kita yang tidak seperti diharapkan, sebenarnya anak itu sendiri belajar dari mak ayahnya.
Dikala kita galak memarahi guru-guru yang menghukum anak-anak kita atas kesalahannya, sebenarnya kita sendiri mencorakkan corakan hitam pada sisi hidup anak kita sendiri.
Sebelum kita meletakkan sesuatu kesalahan anak kita pada orang lain, refleks diri dulu. Tanya pada diri sendiri sudah cukup sempurnakah didikan kita pada anak kita..
Guru yang sebenar-benar guru adalah mak ayahnya sendiri. Dan guru di sekolah bertanggungjawab menggilap lagi potensi anak yang kadang kala mak ayah terlepas pandang.
Ingat hakikat ini walau pahit untuk diterima. Mak ayah adalah cerminan anak-anak. Mak ayah lah sebenar-benar guru pada anaknya.
Jadi bertanggungjawablah.. usah dilepaskan amanah itu di bahu orang lain. Kelak di sana terkaku kelu lidah untuk menjawab di hadapan pencipta.
Salah satu cabaran bila jadi mak-mak adalah nak bagi anak kecil makan ubat tanpa menolak, silap gaya boleh keluar balik ubat atau mungkin tumpah sebab kena tolak dengan anak.
Jadi nak senang, mak ayah boleh cuba tip yang dikongsi Doktor Ezairy M.Sallih ini. In shaa Allah anak akan lebih senang makan ubat.
6 Langkah Mudah Bagi Anak Kecil Makan
Mungkin ada antara anak-anak kita yang memang susah untuk makan atau minum ubat. Masalah ini biasanya lebih kerap berlaku kepada peringkat umur bayi dan kanak-kanak. Tidak hairanlah jika ada ibu bapa yang mengambil berbagai-bagai alternatif bagi memastikan si anak tersayang dapat menelan ubat. Persoalannya bagaimana?
Saya akan kongsi 6 cara berkesan berdasarkan pengalaman para ibu bapa pesakit untuk kita cuba amalkan di rumah :
1. Guna picagari. Elak menggunakan sudu. Dos ubat yang diberitahu oleh doktor perlu diikuti. Justeru penggunaan syringe atau picagari adalah perlu bagi memastikan anda memberi ubat mengikut kuantiti yang betul dan ia sebenarnya jauh lebih mudah berbanding cara lain. Pastikan juga menggunakan syringe sesuai mengikut kuantiti yang akan diberi. Biasanya 3ml atau 5ml.
2. Teknik yang sesuai dan betul. Saya nasihatkan letakkan anak di dalam pangkuan. Untuk bayi atau anak kecil, pastikan mereka berada di posisi duduk atau separa duduk. Posisi baring menelentang dilihat mudah untuk memberi ubat, namun ia akan meningkatkan risiko ubat untuk masuk ke salur pernafasan dan seterusnya ke peparu. Ini bahaya!
3. Cari ruang dan kawasan yang tenang. Kita pun kalau nak buat sesuatu perkara perlukan ruang yang selesa. Beri ubat kepada anak pun begitu. Penting bagi kita sebagai ibu bapa untuk mencari ruang yang selesa dan cukup pencahayaan. Memberi ubat sama seperti memberi makan atau minum kepada anak. Sekiranya ruangnya sempit, kita juga akan cenderung memberi ubat dengan cara yang tidak betul. Kuantiti ubat yang bakal diberi juga akan terganggu.
4. Jangan paksa anak anda yang sedang meronta-ronta. Ini akan menyebabkan anak anda tersedak dan muntah. Beri peluang mereka tenang dan beri ubat.
5. Beri peluang anak pegang picagari ubat dan letakkan ke dalam mulutnya sendiri. Cara ini banyak membantu ibu bapa. Anda kemudian bantu untuk pastikan ubat dimasukkan ke mulut anak anda.
6. Minta nasihat doktor. Anda boleh minta pandangan dan nasihat daripada doktor yang memeriksa anak anda. Beritahu kepadanya bahawa anak anda mungkin jenis yang amat sukar untuk diberi ubat. Perlu dipegang tangan, kaki dan dipaksa baru boleh diberi. Doktor ini tuan puan, manusia juga. Kami akan cuba beri ubat yang paling sesuai dari segeri kekerapan, kuantiti dan jenis kepada anak dan bayi. Yang penting, komunikasi antara ibu bapa pesakit bersama doktor mesti ada.
Semoga perkongsian kali ini mendatangkan banyak manfaat. #Kongsikan kepada orang yang anda sayang.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!