Bergelar seorang isteri dan ibu bukanlah satu perkara yang mudah. Ibu kepada tiga orang anak ini akui diari hariannya begitu sibuk. Mendirikan rumahtangga bersama Que Haidar pada 14 Februari 2009 dan dikurniakan dua puteri comel, Tengku Ratu, 9 dan Tengku Cleopatra, 7 serta seorang anak lelaki Qalif, anak hasil perkahwinan pertamanya, guru tari Linda Jasmine Hashim ini menunjukkan sisi berbeza, seiring dengan kematangan dirinya.
Ditanya tentang kehidupannya yang tampak begitu bahagia dengan keletah dua puterinya yang sering dipaparkan di akaun Instagram milik dia dan suami,
Linda turut memikul tanggungjawab dan amanah berharga sebagai seorang ibu. Malah dia juga akui, kehidupan peribadinya selepas berkahwin cukup indah dan tidak boleh digambarkan dengan kata-kata.
“Tak tahu nak terangkan macam mana. Tapi, kehidupan saya kini bersama Que dan anak-anak saling melengkapi. Ikutkan melayan gelagat anak-anak di rumah memang penat tetapi sangat berbaloi. Tapi ironinya, itulah fasa bermakna yang dilalui ibu bapa saat melihat mereka membesar di depan mata,” ungkap Linda yang sememangnya begitu ramah turut menerangkan kehadiran anak-anak yang mempunyai kerenah dan perangai berbeza menceriakan lagi suasana.
Saling Membantu
Akui kesibukan masa di antara dia dan suami, membuatkan diari seharian mereka begitu padat. Selain menguruskan anak, Linda juga begitu sibuk menguruskan kerjayanya dalam bidang seni tari.
“Alhamdulillah walaupun sibuk namun anak-anak kami akan uruskan bersama-sama. Jika saya sibuk, Que akan jaga anak-anak. Bila Que sibuk dengan lakonan saya akan menjaga mereka,” jelas ibu yang bekerjaya ini.
Rutin sebagai tenaga pengajar tari dan juga kerja-kerja di rumah perlu seiring dan Linda juga mahu beri yang terbaik.
“Selain mahu beri komitmen yang baik dalam kerjaya. Saya juga mahu luangkan masa dengan anak dengan cara terbaik. Saya mahu terus sukses dalam karier dan pada masa yang sama juga mahu berikan komitmen dan tumpuan yang terbaik pada anak-anak.
“Memandangan kerja saya jenis yang tak menentu, jadi saya boleh aturkan masa kerja agar bersesuaian dengan anak-anak. Saya boleh ambil anak dari sekolah dan sediakan pelbagai keperluan sebelum saya keluar bekerja.
“Saya bersyukur bila ada masa saya tidak sibuk saya akan berikan tumpuan sepenuhnya pada mereka terutama pada anak-anak perempuan saya. Saya juga boleh bekerja dari rumah, jika Que sibuk saya boleh berada di rumah. Bila Que ada di rumah saya boleh keluar bekerja,” luah Linda.
Tawaran Berlakon Untuk Anak-Anak
Menyentuh tentang telatah Tengku Ratu, 9 dan Tengku Cleopatra, 7, Linda sambil tersenyum bercerita tentang anak-anaknya yang pernah berlakon dan beraksi di pentas fesyen.
“Tengku Ratu pernah berlakon dan kedua-dua puteri saya pernah dijemput beraksi di pentas fesyen. Sebelum ini Tengku Cleo pernah dapat tawaran berlakon dan kami tanya dia nak berlakon ke tak? Dia boleh bertanya berapa bayaran dan kalau dapat bayaran nak diserahkan kepada dia terus jangan bagi pada Mummy atau Daddy,” ungkap Linda sambil tertawa apabila mengimbas kembali telatah anaknya itu.
Sokong Minat Anak-Anak
Ditanya adakah anak-anaknya juga minat dalam dunia seni terutamanya seni tarian, Linda akui sememangnya dia dapat perhatikan minat tersebut memang ada pada diri dua puterinya.
“Saya sebagai penari dan cikgu tari, suami pula terlibat dalam seni. Bohonglah jika saya tak gembira jika ada anak yang ikut jejak kami. Terpulanglah pada mereka samaada nak ikut ke tidak asalkan mereka lakukan benda yang baik.
“Tengku Ratu saya nampak dia suka menari dan ada bakat. Tapi dia jenis yang cepat mengalah. Bila dia menari salah langah dia akan putus asa. Tapi sebagai ibu dan bapa akan beri ajaran yang terbaik buat anak-anak.
“Tengku Cleo pula beritahu dia nak jadi seorang penyanyi pop satu hari nanti. Masing-masing masih kecil jadi masih berangan nak jadi apa nanti bila dewasa. Sebagai ibu bapa, kami mendorong dan menggalakkan apa yang mereka minat. Sebab itu kami hantar anak-anak ke kelas tarian balet dan gimnastik serta kelas muzik Jazz. Bakat sudah kelihatan, semuanya terserah kepada mereka,” terang Linda yang akui memang memanjakan anak-anak.
‘Me Time’ Setiap Malam
Sangat letih menguruskan keluarga dan keluar bekerja wanita ini akui setiap hari dia amat nanti-nantikan ‘me time’ terutamanya selepas anak-anak tidur.
“Paling seronok apabila anak-anak sudah tidur, setiap malam saya akan ambil masa buat air milo panas kemudian duduk menonton TV atau melayari Youtube. Pada masa inilah saya dapat menjenguk dunia media sosial. Saat-saat begini sangatlah diperlukan dan penting buat saya rehatkan minda. Sekurang-kurangnya sejam atau dua saya akan lakukan ‘me time’ ini sebelum masuk ke bilik tidur.
“Dengan kawan-kawan saya jarang jumpa dan ‘me time’ dengan mereka. Sebabnya jika saya lepak dengan kawan-kawan fikiran saya akan melayang memikirkan rumah, keadaan anak-anak dan ditambah dengan pelbagai perkara urusan kerja. Tapi saya beruntung kerana ada kawan-kawan setia dan sentiasa berhubung dengan mereka,” kata Linda.