Hari ini ramai yang turut bersedih dengan pemergian penyanyi Siti Sarah Raisudin yang telah menemui Penciptanya pada 5.13pagi. Meskipun ramai yang mengenalinya sebagai seorang selebrti, namun kehilangannya terasa begitu dekat di hati semua, bagaikan pemergian ahli keluarga sendiri.
Benarlah orang baik ramai yang sayang. Namun ternyata Allah lebih menyayangi Siti Sarah dan memilihnya untuk meninggal dalam keadaan ‘Khusnul Khotimah’. Pasti ada antara amalannya yang diangkat ilahi, menjadikan kematian yang cukup ‘dicemburui’ ramai. Tak putus-putus didoakan oleh ramai orang setiap hari, mati dalam keredhaan suami, melahirkan anak dan selepas berhijrah kepada kebaikan.
Bukan hanya kerana dia seorang artis tetapi wanita hebat ini juga layak diangkat sebagai idola buat semua isteri di luar sana.
Betapa tidak, dari video-videonya yang tular di sosial media bukan hanya memaparkan kebahagiaan beliau semata. Tatap, lihat dan hayatilah, bagaimana dia bukan sahaja bermanja penuh kasih dengan suami bahkan dia juga memanjai suaminya dengan penuh cinta.
Bicaranya, sendanya, marahnya , rajuknya, sentuhannya bahkan seluruh bahasa badannya jelas disorot bahawa betapa permaisuri pilihan ini utuh bersemayam di lubuk hati suami.
Hakikat lelaki itu .. walau setegas dan segasar apa pun dia, fitrahnya tetap mendambakan rasa dihargai dan ditatang sepenuh jiwa oleh seorang isteri.
Kebahagiaan rumah tangga tidak diukur dengan harta atau zuriat yang ada tetapi yang paling utama saling memberi dan menerima. Melengkapi antara satu sama lain.
Dari kemesraan balas suami..jelas Siti Sarah bukan sekadar hanya seorang penghibur di mata rakyat Malaysia .. tetapi dialah idola isteri solehah yang wajar dicontohi pasangan muda.
Maka itu, tidak hairanlah betapa dekatnya Siti Sarah di hati semua dan hari ini untukmu Siti Sarah Raisudin.. Malaysia menangis…
Semoga syurgalah tempatmu.
Al Fatihah.
Terdahulu, Allahyarham Siti Sarah meninggalkan suaminya, Shuib Sepahtu dan empat orang anaknya, Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, Ariq Matin, 6 dan Ayash Affan, bayinya yang baru dilahirkan secara pembedahan.
Baca Lagi Di Sini :
Allahyarham Siti Sarah Berkali Tanya, Nak Bayarkan Sewa Rumah Orang Miskin
Allah Lebih Menyayangimu, Siti Sarah Meninggal Dunia, “Bidadari Saya Pergi Selamanya” Shuib
“Bangun 5 Pagi Tolak Troli, Buka Gerai, Barulah Ke Sekolah” Siti Sarah
Siti Sarah Masuk ICU, Mohon Doakan Ibu Dan Anak Dalam Kandungan
Mingguan Wanita : Semoga jihadnya melawan sakit, melahirkan anak dan berjuang melawan wabak serta mati dalam redha suami, arwah Siti Sarah ditempatkan dikalangan orang-orang beriman dan dimasukkan di syurga hendaknya. Alfatihah.
Sumber: Natipah Abu
Mingguan Wanita juga boleh diikuti di
YouTube : https://www.youtube.com/c/MingguanWanitaOfficial
Telegram: https://t.me/bangkitwanitaMW
Twitter: https://twitter.com/mingguanwanita
Instagram: https://www.instagram.com/mingguanwanita