Tiada yang mustahil. Itu ayat yang sesuai diucapkan kepada atlet istimewa yang berasal dari Kuala Selangor, Nooraishah Arshad. Gadis berusia 21 tahun ini, sedang giat menjalankan latihan di Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik Kg Pandan. Paling membanggakan dia juga mewakili negara untuk Sukan Lawan Pedang. Malah tahun lalu gadis yang meminati sukan lasak ini juga terpilih ke Sukan Para Asia 2018 di Jakarta.
Namun di sebalik kejayaan yang diraih pada hari ini sebenarnya banyak onak dan duri yang terpaksa ditempuhi. Nooraishah dilahirkan normal, namun kuasa Tuhan tiada siapa dapat menghalang. Ketika sedang meningkat remaja tatkala usia menjangkau 14 tahun Nooraishah yang aktif dalam sukan sekolah telah disahkan menghidap kanser. Hanya Allah yang tahu perasaanya ketika itu, apatah lagi dia terpaksa melupakan minatnya yang mendalam dalam sukan.
“Saya seorang yang sangat aktif bersukan. Sewaktu sedang berlari di kejohanan sukan sekolah menghampiri garisan penamat tiba-tiba saya tidak mampu melangkah dan terus pengsan. Bila sedar doktor cuma berikan minyak untuk disapu dan beritahu ada darah beku. Selepas itu, kaki kanan saya semakin sakit dan apabila ke hospital dan jalani x-ray rupanya tulang kaki sudah hitam dan mereput. Saya duduk di Hospital Sungai Buloh selama dua minggu dan kemudiannya dihantar ke Hospital Kuala Lumpur dan disitulah saya menjalani rawatan kimoterapi. Selepas lima bulan kanser saya sudah tahap tiga dan kaki kanan terpaksa dipotong.
“Tarikh 7 Februari 2015 sememangnya saya tak boleh lupakan kerana pada waktu inilah kehilangan kaki kanan. Lepas pembedahan dilakukan saya jadi murung sampai ada yang bercakap rupa saya macam ‘mayat hidup’. Bayangkanlah tiba-tiba tak ada kaki saya tak boleh nak terima. Memandangkan pada tahun tersebut saya perlu menduduki peperiksaan PMR, saya bersekolah di hospital tetapi saya tak boleh serasikan diri.
“Saya kembali ke sekolah seperti biasa, namun keadaan bertambah sukar kerana saya bertongkat dan perlu naik turun tangga hingga saya hampir pitam. Namun saya mendapat kelonggaran dari Pengetua sekolah yang saya boleh balik bila-bila masa kerana keadaan saya. Saya gigih belajar dan alhamdulillah keputusan peperiksaan PMR juga baik. Cuma saya ambil keputusan untuk berhenti sekolah semasa tingkatan 4 kerana berasa tidak selesa,” ungkap Noorasihah yang cukup peramah.
Kurang Terdedah Dengan OKU
Selepas berhenti sekolah, Nooraishah tidak mahu keluar rumah dan berasa rendah diri. Ini berlaku mungkin kerana dia masih belum terdedah dengan persekitaran golongan kurang upaya.
“Tak banyak aktiviti golongan OKU di kampung saya. Kemudian kakak cadangkan supaya saya ke Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan Orang Kurang Upaya Bangi. Bermula dari situ saya lihat pelbagai OKU dan mereka boleh buat semua perkara. Disini disediakan peluang pekerjaan dan elaun buat mereka yang ikuti latihan.
“Seminggu juga saya sesuaikan diri, namun mereka semuanya sporting dan saya terima mereka semua menjadi rakan. Disinilah saya menerima kekurangan diri dan kemudian bina keyakinan. Mereka cungkil bakat terpendam yang ada dalam diri dan saya senditi tak menyangka saya boleh menyanyi. Selepas setahun disana saya bertugas sebagai pembantu pentadbiran dan bekerja selama tujuh bulan.
“Memandangkan saya aktif dalam sukan, saya kemudiannya hadiri temuduga di Kompleks Kecemerlangan Sukan Paralimpik. Alhamdulillah saya diterima dan tahun ini merupakan tahun ketiga saya mengikuti latihan di sini. Pada awalnya seolah-olah tidak percaya saya mampu bersukan walaupun sebelah kaki sudah tiada.
“Saya terpilih untuk menjadi atlet bagi sukan lawan pedang dan saya berterima kasih kepada Ketua Jurulatih, Mohd Firdaus Jamaluddin kerana banyak beri latihan dan membantu saya menjadi seorang atlet yang berjaya,” luah Nooraishah yang tidak pernah rasa lelah terhadap bidang sukan yang diminatinya.
Pandangan Positif
Anak keenam daripada 10 adik beradik ini tidak lagi berfikiran negatif dan kini kian celik dan positif ke arah semua benda. Bagi dirinya, walaupun kini bergelar OKU namun dia rasa sangat bersyukur kerana didorongkan ke arah jalan yang sewajarnya.
“Saya bersyukur kerana dibimbing dengan baik. Pada saya bergelar atlet paralimpik merupakan satu pengalaman yang amat bermakna dan pencapaian terbesar dalam hidup. Saya tak menyusahkan mak dan ayah malah dapat bantu orang tua saya.
“Saya juga tak sangka dapat melangkah ke luar negara dan jelajah negara orang menerusi sukan. Saya dan rakan-rakan sangat hargai pemberian dari negara terhadap golongan seperti kami. Malah sebelum ini saya tak pernah impi dalam hidup tengok negara orang. Pengalaman ini cukup berharga dan tak akan saya lupakan,” kata Nooraishah.