Tiba Masa Anak Perlu Hidup Sendiri, Belajar Berdikari, Mak Ayah Bertenanglah

Share

Bila anak kecil kita yang ditatang bagai minyak yang penuh itu sudah meningkat remaja, mak ayah kenalah terima hakikat yang dia perlu belajar hidup sendiri.. berdikari.

Bersediakah mak ayah? Berat rasa hati mahu melepaskan kan.. risau.. takut jadi apa-apa bila anak tak ada depan mata. Tiba masa, kita memang perlu lalui juga saat ini.

Menarik cara ibu ini, Farizah Shamsudin mendidik anaknya hidup berdikari. Paling unik, dia mulakan pelajaran survival hidup itu di pinggiran London, ketika anak daranya memasuki usia 13 tahun.

Pertama Kali Lepaskan Anak Naik Bas Sendiri Di London

Kalau salah bas nanti macamana, mama?” rintih dia selepas bersalam.

Dia genggam erat tangan saya. Wajahnya gelisah. Waktu berlepas hanya tinggal 10 minit lagi.

Di terminal bas TBS, yang bukan penumpang tidak dibenarkan turun sehingga ke platform. Maka, hanya setakat itu saya boleh mengiringi dia. Selepas tiket diperiksa, dia perlu turun eskalator sendirian dan terus ke platform bas.

Saya senyum sahaja sambil tepuk bahu dia.

Tak apa. Kakak tanya je orang yang jaga kat situ. Sebelum naik bas, tunjuk tiket tu dulu. Yang penting, pastikan tunggu di Gate 16

.”

Lalu dia pun pergi dengan muka yang cuak, antara nak senyum dengan tidak. Saya maintain wajah tenang-tenang sahaja.

Risau? Eh mestilah. Ini pertama kali saya melepaskan dia pulang seorang diri ke kolej. Naik bas ekspress. Kawan-kawan yang lain ada yang mak ayah hantar. Ada yang dah beli tiket awal-awal.

Jadi, mahu tak mahu kali ini dia perlu pulang sendiri. Tiba di stesen bas destinasi nanti, dia perlu pandai-pandai cari kenderaan untuk ke kolej pula. Sama ada call senior tolong ambilkan, atau tempah GRAB.

Saya tahu dia pun risau, namun saya percaya dia boleh!

Saya mula mendedahkan dia naik bas awam sendiri semasa kami direzekikan menetap 1 tahun di London. Antara semua anak yang lain, hanya sekolah dia yang paling jauh dari rumah dan perlu naik bas awam. Perjalanan pula mengambil masa lebih kurang 30 – 40 minit.

Mula-mula Anak Takut, Lama-lama Jadi Biasa

Setiap pagi, dia akan ditemani oleh abahnya berjalan kaki hingga ke hentian bas ( kerana laluannya sama), dan kemudian, mereka akan berpisah sebelum ke destinasi masing-masing. Pulang, dia sendiri.

Mula-mula dia takut, lama-lama dia semakin biasa. Dan selama tempoh itu, alhamdulilah semuanya baik-baik sahaja.

Umur 13 tahun. Menaiki bas awam sendirian berulang-alik ke sekolah di sebuah pekan kecil di pinggir London. Saya rasa itu pengalaman yang mahal dan satu pencapaian peribadi yang sangat hebat bagi dia.

Dia berjaya melaluinya dengan baik!

Dan setelah sekian lama, hari ini pada umur 18 tahun, dia perlu melalui sekali lagi perkara yang sama, cuma di sudut bumi yang berbeza.

Dan saya percaya dia tetap boleh melakukannya! InsyaAllah.

Setiap ibu bapa pasti mahukan anak-anaknya selamat di depan mata dan dalam jagaannya sentiasa. Apapun, itu impian yang tidak mungkin akan menjadi kenyataan selama-lamanya. Akan tiba satu masa nanti mereka perlu hidup sendiri dan belajar berdikari.

Dan sudah pasti proses melatih mereka berdikari itu perlu dilakukan secara bertahap agar mereka lebih bersedia apabila tiba saat untuk menghadapinya. Maka, ini adalah salah satu ilmu kemahiran hidup yang sangat penting dikuasai.

Tip Bertenang Lepaskan Anak Lalui Fasa Hidup Berdikari

Buat ibu-bapa yang perlu melalui fasa melepaskan anak berdikari, ini antara tip yang boleh diamalkan supaya hati anak tenang, hati kita pun sama.

1. Kepercayaan.

Jangan amalkan sikap, ‘anak yang nak balik, mak ayah yang panik.’

Bukanlah bermaksud kita tak boleh risau, tetapi janganlah ditunjukkan segala perasaan itu secara keterlaluan di depan anak-anak. Simpan kejap-kejap segala rasa itu dalam hati.

Percayalah, kerisauan kita hanya akan meruntuhkan keyakinan diri mereka. Sebaliknya, ketenangan dan kepercayaan kita akan menjadi modal kekuatan dalam diri mereka.

Lepaskan dengan doa dan restu.

2. Persediaan diri.

Tak perlu tunjuk cemas dengan berpesan itu ini. Namun, jangan pula lepas tangan semua benda. Cukuplah dengan membekalkan kepada dia dengan pesanan yang berpada-pada. Ringkas, padat dan tak perlu panjang berjela.

Percayalah, mereka tak akan mampu nak ingat semua benda dalam satu masa.

Cukuplah memberikan mereka persediaan diri yang asas dan penting. Maklumkan apa yang perlu dibuat jika terjadi begitu begini. Kalau kecemasan, siapa yang perlu dihubungi. Nak bertanya apa-apa, orang yang bagaimana boleh dipercayai.

3. Tawakal.

Sebagai ibu bapa, kita tak mungkin akan mampu untuk menjaga dan melindungi mereka sepanjang masa. Maka, ini adalah masa terbaik untuk kita memperkenalkan peranan Allah dalam hidup mereka.

Biar mereka rasa betapa nikmatnya rasa pergantungan hanya kepada Allah semata-mata, dan bukannya manusia ( termasuk ibu bapa mereka ).

Lepaskan dengan rasa percaya.

Percaya kepada dia.
Percaya kepada diri kita sendiri.
Dan teratas daripada semua itu, percaya kepada Allah.
Doa dan tawakal.
Serahkan kepada Allah untuk jaga dia.

***

Beberapa jam selepas itu, dia mesej saya.

Mama! Kakak jumpa kawan sama kelab debat naik bas yang sama! Kakak dah ada kawan balik tempat sama!”

Riang sekali nadanya kali ini.
Alhamdulillah.

Begitulah cara ALLAH menghantar pertolongannya apabila perlu, melalui sesuatu yang tak disangka-sangka.

Hanya perlu percaya. Itu sahaja.

Sumber/Foto : Farizah Shamsudin

Published by
Netty Ah Hiyer