Risau dengan rutin kerjanya dalam bidang media sebelum ini yang tidak menentu masa membuatkan ibu bapa kepada Nurul Hashima Shohodin 36…memujuknya untuk mencuba lapangan kerja berkaitan bidang perguruan. Akur dengan pujukan orang tua, kebetulan ada tawaran untuk melanjutkan pengajian di Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI), Hashima kemudian mencuba nasib mendalami dunia perguruan.
Berkat restu dan doa berterusan dari orang tuanya, yang mahu melihat salah seorang anak perempuan mereka mempunyai karier dalam bidang pendidikan…akhirnya Hashima berjaya merealisasikan impian kedua ibu bapanya. Tahun pertama bergelar guru, dia ditugaskan di SK Camporan Daro, Sarawak. Genap setahun di situ beliau kemudian berhijrah ke SK Bandar Baru Sungai Buloh, Selangor sejak 2010 hingga kini.
Setelah hampir 10 tahun bergelar seorang pendidik, Hashima yang juga ibu kepada empat cahaya mata; Nur Qisya Huwaina 9, Muhammad Qayzer Hafiy 5, Muhammad Qayl Harraz 3 dan si bongsu Nur Qamelia Huzayra juga pernah ditugaskan menjadi guru kelas kepada anak sulungnya sendiri. Agaknya bagaimana pendekatan yang digunakan apabila pelajar itu adalah anak sendiri. Berikut adalah komentar seorang ibu dan guru berkongsi pengalamannya bersama MW.
“Di sekolah saya tidak membahasakan diri saya sebagai ibu kepada Qisya. Sama seperti pelajar lain, tidak ada layanan eksklusif yang saya berikan kepadanya. Ketika dia di tahun satu, saya sudah terangkan padanya…pendekatan saya di kelas dan di rumah dengannya berbeza. Sekiranya dia melakukan kesilapan, selaku guru saya pasti memberi teguran dan peringatan tegas kepadanya.
“Kini dia sudah di tahun tiga, bertugas dan mengajar anak di sekolah yang sama…sedikit sebanyak memberi motivasi kepada saya dan anak untuk menonjolkan prestasi tugas serta pencapaian akademik yang baik. Alhamdulillah, menjadi guru untuk anak sendiri tidak memberikan tiket emas untuk Qisya mendapat layanan luar biasa istimewa dari saya,”terangnya.
Kesukaran yang membahagiakan
Antara cabaran yang menguji beliau sebagai guru apabila berdepan dengan pelajar yang masih belum menguasai kemahiran membaca. Ditugaskan mengajar para pelajar tahap satu, membuatkan kegagalan pelajar menguasai kemahiran membaca itu cukup membimbangkannya. Baginya mana mungkin anak murid ini mampu memahami arahan ringkas…kalau masih lemah membaca.
“Subjek sains, matematik, pendidikan seni dan apa jua subjek lain yang dipelajari bakal menjadi sukar…sekiranya asas membaca gagal dikuasai. Mengajar disekolah di mana para pelajarnya datang dari kelompok warga asing yang Bahasa Melayu memang bukan bahasa pengantara utama merumitkan lagi keadaan.
“Sebolehnya kami akan memastikan pelajar-pelajar ini mampu menguasai kemahiran membaca ketika mereka di tahun satu. Walaubagaimanapun usaha ini tidak akan sempurna, tanpa ada nya usaha berterusan di rumah pula. Keadaan akan lebih sukar, apabila ada ibu bapa pelajar ini yang tidak tahu bertutur dalam Bahasa Melayu memandangkan mereka juga bukanlah warga Malaysia.
“Kadang-kadang kerana mahu pelajar-pelajar ini berusaha, sedikit tekanan dan teguran tegas diberikan ke atas mereka. Di hujungnya bagi menghargai usaha seiiring dengan pencapaian mereka, kita bagi penghargaan berbentuk hadiah bagi memotivasikan mereka untuk mengekalkan momentum itu. Sebagai guru subjek Bahasa Melayu, saya akui lebih cenderung untuk menggunakan macam-macam pendekatan bagi memastikan mereka mampu menguasai kemahiran membaca.
“Tiap anak murid punya potensi, sayang kalau kita tak berjaya menggilap potensi mereka. Apabila anak-anak ini mula tidak fokus dan menunjukkan minat dalam pelajaran, mulalah macam-macam drama berlaku. Bagi mengelakkan mereka hilang minat, besarlah harapan kami…usaha berterusan bagi memupuk minat anak-anak ini turut mendapat bantuan daripada ibu apa di rumah.
“Jangan tak tahu, anak-anak ini kadang-kadang ada punya personaliti berbeza…mungkin di rumah dia anak yang patuh dan tertib. Tetapi apabila disekolah, dia ada sisi lain yang ditonjolkan terutama apabila bercampur dengan klik mereka tersendiri,”kongsinya mengenai ragam pelajar yang dihadapi sepanjang bertugas.
Terima kasih cikgu! Saya sudah pandai membaca
Menyelongkar memorinya mengenai sambutan Hari Guru, tiada apa yang lebih mahal nilainya apabila hadiah istimewa dari murid itu dizahirkan dalam bentuk pencapaian pelajar. Bagi seorang guru, nalurnya tersentuh apabila salah seorang murid yang lemah, akhirnya berkongsi pencapaiannya dengan membawa khabaran gembira pada Hari Guru.
“Cikgu,minta maaf terlebih dahulu…saya tak ada hadiah yang ideal dan terbaik untuk cikgu. Nak beli hadiah saya tak mampu. Apa yang saya mampu, saya nak maklumkan kepada cikgu…saya sudah boleh membaca. Terima kasih cikgu sebab bantu saya membaca sehingga lancar…ini ayat yang terpahat kemas dalam fikiran saya sehingga ke hari ini.
“Khabar gembira ini disampaikan sendiri oleh anak murid saya, Shirley. Momen itu mungkin nampak kecil, tapi besar impaknya kerana akhirnya berkat usaha mendidiknya, bertegas dengan dia membuahkan hasil. Hadiah itu sekadar simbolik penghargaan, tetapi pencapaian pelajar lemah sepertinya memberi suntikan semangat bagi saya untuk terus memberikan yang lebih baik di masa depan,”luah isteri kepada Muhammad Halim Milatusamshi optimis.
Tambah Hashima lagi, sebagai seorang guru pencapaian itu bukan sekadar diukur sejauh mana kecemerlangn dalam bidang akademik tetapi kemampuan seorang guru itu ‘memanusiakan’ pelajar, bukan sahaja cemerlang akademik, tetapi merangkumi sahsiah dan pekerti serta terpelihara nilai murni agamanya.
“Memanusiakan pelajar itu satu subjek yang bukan mudah. Cemerlang akademik sahaja tidak cukup, sebaliknya ia perlu diiringi dengan sahsiah dan pekerti serta bagaimana kita mendidiknya menjadi manusia yang punya nilai murni dan terpelihara agamanya,”terang puteri ketiga kepada pasangan Shohodin Mat Sani dan Norhayati Abdullah menutup bicara.