Kredit foto: myMetro

Tiada lagi gurauan daripada suami yang gemar berseloroh apabila mangsa terlibat dalam kemalangan traktor terbalik ke tebing sungai. Traktor tersebut yang dipandunya sendiri terjatuh ke curam tebing sungai.

Sudah tentu isteri dan anak-anak paling merasai kehilangan Mohamad Rizalman Mohamad Nawawi yang gemar bergurau. Semoga Allah mengampunkan dosa-dosa arwah dan menempatkannya di kalangan para solihin. Insyallah.

Tiada Lagi Gurauan Suami

“Tiada lagi gurauan dia yang suka berseloroh dengan saya dan anak-anak, malah malam tadi (semalam) dia banyak berdiam diri,” luah Nur Izyan Suhaila Mohamad, 44.

Dia adalah isteri kepada Mohamad Rizalman Mohamad Nawawi, 42, yang maut selepas parah di kepala apabila traktor dipandunya terjatuh ke curam tebing sungai di Kampung Sakar, Tendong di Pasir Mas pada 11 pagi hari ini.

Nur Izyan berkata, dia mendapat berita kemalangan menimpa suami selepas didatangi rakan mangsa ke tempat dia bekerja di sebuah pasar raya di bandar Pasir Mas, sebelum menghubungi keluarga yang lain.

“Sebaik mendengar berita itu, kaki saya menjadi kaku dan mengambil keputusan untuk tidak ke lokasi kejadian sebaliknya terus dibawa ahli keluarga ke hospital.

“Ketika itu, saya bagaikan bermimpi apabila sudah diberitahu bahawa suami sudah tiada.

“Kali terakhir bersembang dengannya pada awal pagi tadi (hari ini), sekitar jam 7 pagi apabila saya mengejutnya bangun untuk memberitahu mahu menghantar anak-anak ke sekolah dan rumah pengasuh.

IKLAN

“Biasanya setiap pagi kami sempat bersarapan bersama tetapi dia tidur semula selepas solat Subuh.

“Saya sangkakan, dia letih kerana memang setiap hari melakukan kerja berat memandangkan dia memang bekerja sebagai pemandu traktor dengan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA),” katanya ketika ditemui di pekarangan Unit Jabatan Forensik Hospital Pasir Mas (HPM).

Artikel Berkaitan:

Isteri Meninggal Dalam Kemalangan, Suami Hanya Mampu Pangku Buat Kali Terakhir

Terlibat Kemalangan, Puluhan RIDER Ziarah Keluarga, Temani JENAZAH Ke KUBUR

Info lebih menarik, klik saja di sini. 

Suami Suka Bergurau

Nur Izyan yang juga ibu kepada tiga cahaya mata berusia tiga hingga 14 tahun berkata, suaminya adalah seorang yang sangat peramah malah disayangi anak saudara dan adik-beradik yang lain kerana sikapnya yang suka bergurau dan baik hati.

“Jika diikutkan, dia memang mahir mengendalikan traktor kerana sudah lebih 10 tahun melakukan kerja itu, namun saya reda dengan apa yang berlaku kerana sudah menjadi ketentuan Illahi.

“Kini, saya hanya mampu berdoa semoga segala urusan pengebumian dapat dijalankan segera selain diberi kekuatan untuk meneruskan hidup.

“Insya-Allah arwah dikebumikan malam ini di Tanah Perkuburan Islam Syafie, Kampung Bechah di Tendong sebaik segala urusan bedah siasat selesai,” katanya.

Traktor Terbalik Ke Tebing Sungai

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas Asisten Komisioner Mohamad Roy Suhaimi Sarif mengesahkan ada menerima laporan mengenai kejadian terbabit.

“Siasatan awal mendapati, kejadian berlaku apabila mangsa yang membawa traktor dari Kampung Tendong menghala ke Tal Tujuh berhenti untuk memberi laluan kepada sebuah lori tetapi tayar kenderaan itu jatuh ke dalam curam menyebabkan traktor ini terbalik ke tebing sungai.

“Mangsa didapati meninggal dunia di lokasi dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Aktan Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

MW: Sudah tiba ajalnya, walaupun berpengalaman hampir 10 tahun dalam mengemudi traktor. MW merakamkan takziah kepada keluarga mangsa dan berharap isteri serta keluarganya tabah menghadapi ujian ini. Al-Fatihah. 

Sumber: myMetro