Kehilangan orang tersayang antara perkara yang amat merobek hati dan perasaan. Apatah lagi bukan seorang, malah tiga orang yang disayangi Shamshira Mohd Norizin diambil Allah.
Hilang tiga insan tersayang sekelip mata bukan mudah. Tiada kekuatan buat Shamshira pulang ke rumah yang sudah tentu menyimpan banyak memori.
Masih terngiang-ngiang suara anak-anak dan seakan tak percaya suami serta dua anaknya telah tiada.
Teluk Intan: “Sebelas tahun yang membahagiakan, tiba-tiba dia pergi buat selamanya bersama dua anak. Namun saya redha dengan apa yang berlaku,” kata Shamshira Mohd Norizin, 31.
Shamshira adalah isteri Hafize Nizam Ali Supian, 30, pemandu treler yang maut dalam kemalangan di Kilometer 10 Jalan Malim Nawar-Kota Bharu dekat Gopeng, Isnin lalu.
Dalam kejadian kira-kira 10 malam itu, Hafize Nizam bersama dua anak lelakinya, Muhammad Afeef Rafiqie, 9, dan Arrian Nuh, 6, maut di tempat kejadian selepas kenderaan berat dinaiki mereka terbabas dan terbalik.
Shamshira berkata, sehingga kini dia seperti tidak percaya suami dan dua anak sudah tiada namun dia menguatkan hati untuk meneruskan kehidupan demi anak bongsunya, Adeeb Hud, 2.
“Saya hilang tiga insan tersayang dalam sekelip mata dan masih terngiang-ngiang suara dan gelak ketawa mereka.
“Saya rasa kosong, buat sementara waktu ini saya akan tinggal bersama ibu kerana belum ada kekuatan pulang ke rumah sewa yang menyimpan memori kami lima beranak apatah lagi 28 November ini ulang tahun perkahwinan kami yang ke-11,” katanya.
Shamshira ditemui ketika ziarah kebajikan Pengerusi Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Perak, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin di rumah ibunya di Kampung Sc Belt, Chenderong Balai di sini, hari ini.
Bercerita lanjut, Shamshira berkata, sebelum kejadian dia bersama suami dan tiga anak mereka keluar membeli barang keperluan dan sempat makan bersama.
Baca Juga Di sini:
Menangis-nangis Anak Nak ikut Ayah Naik Treler, Petanda Meninggal Bersama
Untuk info lebih menarik, klik saja di sini.
“Anak kedua yang suka makan jadi tidak mahu makan ketika kami makan bersama, manakala abangnya pula mahu makan kerana sebelum ini dia yang kurang makan.
“Arwah suami juga tidak menunjukkan sebarang perubahan dan dia hanya berpesan supaya berhati-hati ketika memandu sebelum dia dan dua anak menaiki treler,” katanya.
Shamshira berkata, dia perlu membiasakan diri tanpa insan tersayang biarpun hakikat itu perit untuk dilalui.
“Adeeb Hud paling rapat dengan arwah suami, namun dia masih tidak mengerti kejadian menimpa ayah dan abangnya, apabila melihat treler di jalan dia akan kata itu ayahnya,” katanya.
Shamshira juga berterima kasih kepada kerajaan negeri dan semua pihak yang mendoakan dan menziarah kami serta membantu hari kejadian hingga pengebumian,” katanya.
Keluarga Akan Terima Bantuan
Sementara itu, Dr Wan Norashikin berkata, kerajaan negeri simpati dengan kejadian yang menimpa keluarga itu dan akan menyalurkan bantuan bagi meringankan beban Shamshira yang tidak berkerja.
Katanya, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) juga bersedia membantu keluarga itu.
“Kerajaan negeri akan meluluskan bantuan Takaful Tabarru dan permohonan Kad Prihatin, manakala JKM juga akan memberikan kaunseling kepada Shamshira.
“Kami hadir menziarah, memberi sokongan dan menyampaikan sumbangan daripada kerajaan negeri dan berharap Shamshira terus kuat dan tabah,” katanya.
MW: Semoga Shamsira kuat menghadapi ujian ini, tak mudah berdepan dengan ujian sebegini berat. Tentu sedih setiap kali mengenangkan arwah suami dan dua anaknya. Al-Fatihah.
Sumber: myMetro