Tiada Jaminan Ayah Merokok Luar Rumah, Anak, Isteri Tak Sakit

Share

Segelintir ayah merokok berfikiran, merokok luar rumah lebih selamat sebab dapat mengelakkan anak dan isteri dari bau asap rokok. Malah, mengurangkan risiko penyakit pada yang tersayang. Tanggapan ini sebenarnya salah!

Perlu difahami, asap rokok yang dihembuskan perokok dinamakan asap rokok sekunder. Manakala sisa bahan kimia daripada asap rokok yang melekat pada permukaan seperti pakaian dan sofa itu dipanggil asap rokok tertier.

Walaupun anak-anak dan isteri tidak merokok, melalui seorang ayah yang merokok mereka tetap terdedah dengan risiko perokok pasif.

Apa itu Perokok Pasif?

Perokok pasif adalah individu yang menghisap asap rokok sekunder dan asap rokok tertier. Lebih memburukkan keadaan, asap rokok tertier ini berpotensi melekat pada permukaan sehingga enam bulan! Biarpun anda sudah membuka tingkap dan menganginkannya dengan kipas, kesannya tidak akan mudah hilang.

Asap Rokok Tetap Melekat Pada Baju Ayah Merokok

Begitu juga pada baju perokok. Bau asap yang melekat pada baju perokok mengundang risiko lebih bahaya para orang lain yang bakal mereka temui. Siapa lagi yang paling dekat kalau bukan anak-anak dan isteri.

Bukti saintifik jelas mengesahkan asap rokok ini memberi kesan buruk kepada kesihatan majoriti rakyat yang tidak merokok. Sudahlah terpaksa ‘menelan’ asap rokok tanpa rela, anak isteri terdedah pula dengan risiko diancam penyakit berbahaya.

Baik asap rokok sekunder mahupun tertier, keduanya mengandungi lebih 7,000 bahan kimia yang bersifat karsinogenik. Selain berisiko menyebabkan kanser, ia juga menyebabkan pelbagai komplikasi kesihatan terhadap jantung dan paru-paru. Sudah banyak kes yang berlaku di Malaysia di mana perbuatan merokok oleh si Ayah telah menyebabkan anak-anak dan isteri menghidap penyakit berbahaya berkenaan.

Jelas, walaupun perokok merokok di luar rumah, anak isteri tetap terdedah dengan risiko penyakit. Sebaiknya, berusahalah untuk bebaskan diri anda daripada tabiat merokok.

Buat Larangan Merokok Di Rumah Sendiri

Setelah memahami akan bahaya asap rokok pasif ini, beranilah untuk menyahut saranan Kementerian Kesihatan menerusi kempen ‘Speak Out: Suarakan Hak Anda!’.

Jangan pernah rasa putus asa untuk menegur suami anda yang merokok. Menurut kajian yang dijalankan oleh Bahagian Pendidikan Kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia, 74.9% perokok bersetuju jika mereka ditegur. Barangkali suami anda adalah salah seorang daripadanya. Jadi, berilah perokok kesedaran ini.

Jika restoran boleh diwartakan sebagai kawasan larangan merokok, mengapa anda tidak boleh mewartakan rumah sendiri sebagai kawasan yang diharamkan merokok?

Meskipun tidak mudah untuk melakukannya, tetapi adalah menjadi tanggungjawab kita bersama untuk memastikan orang di sekeliling, apatah lagi insan yang disayangi tidak terjejas dengan asap rokok. Mulakan norma baharu ini dari sekarang.

Begitupun, menegur perokok pun ada caranya. Ini saranan yang boleh anda usahakan.

 

Tiga Cara Menegur Perokok Secara Berhemah

Pertama, mulakan dengan niat yang baik.
Tujuan menegur adalah supaya orang di sekeliling tidak terkena asap rokok basi yang
berbahaya kepada kesihatan.

Kedua, gunakan perkataan yang baik.
Jangan sesekali menggunakan perkataan atau sindiran yang menyinggung perasaan.

Ketiga, sampaikan teguran tanpa provokasi.
Tegur mengikut kesesuaian tempat, dan sampaikan dengan cara yang paling berhemah dan penuh sopan. Paling penting, elakkan provokasi.

Sekiranya suami anda yang merokok memberi respon kurang baik, BERTENANGLAH!

Senyum dan yakinlah sebenarnya anda telah melakukan yang terbaik, untuk anda dan insan sekeliling. Anda telah menunjukkan satu teladan yang sangat baik kepada orang sekeliling terutamanya anak-anak anda. Berdoa dan yakinlah, lambat laun, pasti suami anda akan sedar.

Published by
Netty Ah Hiyer