Tiada Isteri Tolak Untuk Dididik, Memang Dalam Hati Setiap Isteri Mahu Suami ‘Menyumpah’ Dia…”

Share

Melayan isteri dengan baik bukanlah bermaksud tak boleh langsung untuk mendidik dan menegur isteri. Ya, sebagai seorang wanita, isteri suka dimanjakan.

Salah satu cara untuk memanjakannya adalah dengan memberi gelaran yang baik-baik buat si isteri.

Bukan ke Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wa sallam pun memanggil Siti ‘Aisyah dengan panggilan manja “Ya Humaira” (wahai si merah jambu)?

Percayalah dari hati yang ‘cantik’ itulah keluar kata-kata, perilaku, dan sikap yang baik-baik.

Nak lagi dekat, jemput renungkan situasi rumah tangga yang digambarkan oleh Puan Nieza Termizi.

Panggilan Baik Buat Isteri

Seorang sahabat FB saya ketika menceritakan detik-detik kematian allahyarham isteri beliau yang menghidap kanser, berkali-kali menyebut isterinya sebagai calon syurga. Tak semena-mena air mata saya menitis.

Subhanallah..pastinya terlalu istimewa seorang wanita apabila perginya dengan redha suami. Serta dalam hati suami kuat ‘merasakan’ bahawa dialah calon syurga. Maka inshaAllah syurgalah tempatnya.

Sewaktu fenomena drama Nur, Ramadan yang lalu, saya tertarik dengan babak pasangan Ustaz Hamadi dan Ecah. Berkali-kali suaminya mengugut,

“Awak tinggi suara dengan saya? Derhaka namanya. Nerakalah tempat awak”

Dan berkali-kali jugak Ustaz Hamadi menerakakan isterinya bila ada yang tak kena di matanya. Sampai satu masa, bila Ecah dah tak tahan sangat, dia membalas,

“Isteri mana yang tak ke neraka kalau dapat suami macam awak!

Insaf saya dengan watak, dialog dan babak mereka. Ya..ini memang benar berlaku dalam masyarakat kita. Suami menggunakan kuasanya untuk membuta tuli menjatuhkan hukuman. Berdosa, derhaka, neraka.

Cara Terbaik Didik Isteri

Sahabat-sahabat,

Isteri adalah amanah yang dijodohkan oleh Allah pada kita untuk dididik dan ditarbiah. Elok kita, eloklah dia. Sempurna kita inshaAllah sempurnalah dia. Tiada isteri yang menolak untuk dididik. Malah banyak yang ternanti-nanti suami mengajak ke jalan yang baik. Mahu solat bersama, mahu mengaji dan baca taklim bersama, mahu ke kuliah pun bersama.

Benar..banyak suami yang culas.

“Abang, jom baca ma’tsurat sama-sama”
“Abang, boleh semak bacaan al-quran saya?
“Abang, malam ni kita qiam sama-sama nak?

Jawapannya, kadang-kala mengecewakan hati si isteri. Malas, tak ada masa, bacalah dulu, lain kalilah, dan sebagainya.

Sesungguhnya impian lelaki dan wanita beriman itu sama. Ibarat mendayung sebuah sampan. Jika seorang mudik ke hulu, seorang mudik ke hilir, dah pastilah sampan tak akan sampai ke destinasi yang sama. Sebaliknya jika sama-sama mendayung ke arah yang sama inshaAllah sampailah kita ke destinasi tujuan.

Membaca buku “Isteriku Bidadariku” tulisan Ustaz Ebit Lew banyak menemukan saya tentang satu formula penting untuk bahagia dalam rumahtangga. Setiap kali ada suami berjumpa ustaz untuk mengadu masalah rumah tangga, soalan yang ustaz tanya sama sahaja,

“Abang ada solat jemaah dengan isteri?

“Abang ada buat bacaan taklim di rumah?

“Abang ada bantu isteri buat kerja rumah? Ada bagi hadiah, bunga atau buat surprise untuk tunjukkan kasih sayang?

Kata kuncinya jaga syariatullah dan sunnatullah.

Syariatullah

Jaga solat jemaah di masjid, kadangkala jemaah bersama isteri, betulkan solat, cari kusyuk dalam solat dan solat awal waktu. Hidupkan majlis ilmu di rumah, buat bacaan taklim, mengaji bersama dan cakap pasal agama.

Sunnatullah

Ambil hati isteri, jaga emosi isteri, sayangi dia, hargai dia dan penuhi keperluan emosinya.

Itu apa yang dapat saya simpulkan. Dan saya dan suami masih lagi bertatih-tatih dalam mempraktiskan ‘formula’ ini.

Memang dalam hati setiap isteri mahu suami ‘menyumpah’ dia menjadi calon syurga.

Tengok status whatsapp suami dia tulis, “Isteriku Bidadariku”. Itupun hati sudah melompat suka.

Apatah lagi jika suami berkata,

“Abang bersaksi ayang adalah seorang isteri yang baik dan solehah. Syurgalah tempatmu..”

Subhanallah itulah ucapan yang paling dinanti bagi seorang isteri. Ucapan redha seorang suami untuk isterinya.

Menegur Pun Ada Lenggoknya

Ingatlah, suami mithali juga pasti akan berlembut dan berbaik dengan isteri. Wanita yang akan menjadi teman sehidup dan semati itu pasti tidak akan dikasari secara fizikal mahupun emosi.

Berikan didikan agama dan moral pada isteri. Sebelum menegur, berikan pengiktirafan kepada kebaikannya dengan kata pujian.

Kemudian, berikan kata teguran secara lembut dan berhemah yang dapat menjadikan isteri anda insan solehah.

Semoga bermanfaat.

Published by
Nadia