
Memang tak rugi berbudi pada tanah. Selain hasilnya boleh dijual dan dimakan sendiri, manalah tahu pokok-pokok ini juga boleh dijadikan ‘cagaran’ untuk pinjaman pembiayaan kewangan nanti.
Dapatkan Pinjaman Institusi Kewangan
Berita baik buat pemilik 58 spesies pokok yang mempunyai nilai ekonomi kini boleh mencagarkannya untuk mendapatkan pinjaman daripada institusi kewangan. Cagaran ‘pokok berharga’ ini merupakan inisiatif yang diumumkan oleh Kerajaan Thailand baru-baru ini.
Dasar baharu itu dimaklumkan oleh Jurucakap Kerajaan Thailand, Narumon Pinyosinwat, menerusi laman Facebook beliau.
“Dasar ini diusulkan Menteri Perdagangan sebagai pendekatan bagi membantu orang ramai mendapatkan pembiayaan kewangan dan mempromosikan penanaman pokok-pokok berharga dari segi ekonomi dalam kalangan masyarakat.
“Justeru, kementerian mengeluarkan peraturan mengenai jenis jaminan lain yang dapat digunakan di bawah Undang-Undang Jaminan Perniagaan BE 2558.
Pada masa sama, jenis pokok berharga dari segi ekonomi akan disesuaikan dengan Undang-Undang Perladangan Hutan BE ,” katanya.
Pinyosinwat turut memuat naik gambar dan senarai 58 jenis pokok berharga itu dengan nama yang dikenali dalam bahasa Thai diikuti nama saintifiknya dalam Bahasa Inggeris.

Antaranya ialah pokok jati, mangga, durian, asam jawa dan semua jenis buluh. – AGENSI
MW: Beruntungnya jika ada menanam pokok-pokok berharga ni. Boleh juga dijadikan cagaran untuk pinjaman pembiayaan kewangan di Thailand.
Sumber: Bharian
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
‘Kalau Bosan Berkurung, Berkebaya Lah Pula’ Gelagat Isteri Undang Bahagia Suami

Isi Kandungan
ToggleHaa.. macam-macam tau gelagat isteri bila ikut arahan Perintah Kawalan Pergerakan oleh kerajaan Malaysia ini. Berminggu-minggu berkurung dah tak dapat jalan-jalan, isteri pun cari idea macam mana nak hiburkan hati sendiri.
Kira macam me time juga lah ini. Lucu baca perkongsian Bro Ohsem, Akhtar Syamir tentang isterinya, Nora Azni. Terkejut ‘kawan’ tu.. naik hairan kenapa isteri bersolek, cantik-cantik berkebaya dalam rumah.. nak pergi mana? Rupanya ini ceritanya.
I Dah Tak Tahan Berkurung Dalam Rumah Ni
Kalau bosan berkurung, berkebaya lah pula. #KebayaPKPChallenge. Itulah yang dilakukan isteri saya Nora Azni hari ini.
Terkejut juga mula-mula bila tengok dia bersolek bagai. “I dah tak tahan dah berkurung dalam rumah ni, I nak keluar, tak kira la kena tangkap ke kena tahan ke.”
Rupanya, siap je berkebaya dan bersolek, terus ke bahagian luar rumah, ambil penyapu dan penyodok sampah dan mula menyapu. Hahaha.. Terkena saya hari ini.
Dia boleh sambung masak, basuh pinggan, lap meja, bersihkan kipas, sidai baju, lipat baju dan basuh tandas sambil melawa macam tu. Kelakar sungguh. Padahal memang itulah yang para isteri buat setiap hari. Bezanya hari ini, dia berkebaya.
Sesekali Bergurau Suami Isteri, Seronok Juga
Siap pegang beg tangan, simbolik kepada Dato Rizalman sound retis yang selalu ambil gambar tunjuk beg tangan tu. Hehe.. Jangan risau, takde duit pun dalam tu, kad Watson je.
Sekali-sekala bergurau begini, seronok jugak. Tergelak-gelak kami berdua masa ambil gambar tadi. Video pun ada, nanti saya upload.

Siapa nak join challenge ni? Jom share gambar korang pulak kat komen. Korang cuba share jugak, mesti ramai lagi nak sahut cabaran ni.
MW : Tak salah kan bercantik-cantik dalam rumah. Selain hiburkan hati sendiri, suami pandang hari-hari pun jadi seronok sama.
Sumber/Foto : Akhtar Syamir yang selalu menulis mengenai hubungan suami isteri, kekeluargaan dan isu semasa di Supergroup Telegram BroOhsem Fans di mana kita boleh berinteraksi dengan lebih rapat lagi, http://t.me/broohsemfans
Baca sini : WHO jangka pesakit kritikal bertambah, kes Covid-19 Malaysia memuncak pertengahan April.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Ibu Tunggal Jaga Tiga Orang Anak Hidap Penyakit Genetik Neufebromatosis

Isi Kandungan
ToggleIbu mana yang tidak sedih apabila melihat anak yang dilahirkan sihat dan mampu bermain dengan anak-anak lain, tiba-tiba disahkan mendapat penyakit genetik. Semua itu sudah mula dirasai oleh Puan Zainab Awang Draman, 59 tahun setelah diberitahu sendiri oleh anaknya ketika berusia belasan tahun.
Bercerita lebih lanjut, penulis dapat menemubual dengan Puan Zainab atau dipanggil Kak Nab melalui panggilan telefon sahaja memandangkan dia sekeluarga tinggal di Kg Padang Pak Amat, Pasir Puteh, Kelantan.
Kata Kak Nab, anak-anaknya sebelum ini tidak mengalami sebarang masalah kesihatan. Tetapi, apabila mereka meningkat dewasa iaitu berusia dalam belasan tahun, barulah menyedari timbul benjolan pada lengan anak sulungnya.
“Semasa mengandungkan mereka, saya tidak mengalami apa-apa alahan atau masalah, semuanya normal. Apabila anak sulung memasuki sekolah menengah, dia ada memberitahu saya tentang benjolan yang tumbuh di lengannya.
“Barulah saya terfikir, mungkin benjolan atau masalah ini ada kaitan dengan arwah suami. Ini kerana arwah ayah mereka turut mengalami masalah yang sama, terdapat benjolan pada badan dan wajah.
Mula Alami Masalah
Bagi mendapatkan pengesahan tentang masalah ini, Kak Nab membawa anaknya ke hospital untuk rawatan lanjut.
“Apa yang diberitahu oleh doktor, anak saya ini menghidap penyakit genetik daripada arwah ayahnya yang dipanggil Neufebromatosis. Doktor turut memberitahu penyakit ini tiada ubat dan benjolan itu tidak menimbulkan rasa sakit,” kata Kak Nab panjang lebar.
Ulas Kak Nab, sepanjang masa itu, anak-anak tidak mengalami sebarang masalah dan aktiviti harian berjalan seperti biasa. Cuma, benjolan itu semakin hari akan tumbuh semakin banyak dan mengambil masa untuk membesar.
“Namun, lebih memilukan apabila anak sulung yang dahulu belajar di Institut Latihan Perindustrian di Terengganu pada tahun 2013, tiba-tiba tidak boleh berjalan seperti biasa. Mujurlah dia sempat menghabiskan pelajarannya di situ dan terpaksa di bawa pulang. Kiranya, sudah masuk tujuh tahun anak sulung saya tidak mampu berjalan dan hanya menggunakan kerusi roda,” cerita Kak Nab tentang anak sulungnya, Muhammad Farhan Naim, 31 tahun.
Bercerita tentang anak keduanya pula, Muhammad Furizad, 29 tahun pula, sebelum ini dia berkerja di sebuah kilang terletak di Shah Alam, Selangor.
“Pada bulan Februari 2019, dia terpaksa berhenti kerja dan pulang ke kampung. Waktu itu, saya sudah nampak kelainan pada setiap langkah dia berjalan. Semakin hari, dia tidak mampu berdiri dan apabila melakukan pembedahan, dia hanya mampu terlantar,” katanya yang kini kaki Furizad semakin membengkok.
Ketumbuhan Pada Saraf
Memandangkan dua anak lelaki Kak Nab mempunyai masalah kesihatan bukan hanya penyakit genetik tetapi turut menyebabkan mereka tidak boleh berjalan.
Hasil pemeriksaan doktor mendapati ketumbuhan/benjolan itu bukan hanya pada kulit luaran tetapi pada bahagian dalam leher sehinggakan menekan saraf menyebabkan mereka tidak mampu berjalan. Pembedahan untuk membuang ketumbuhan perlu dilakukan untuk mengelakkan masalah penyakit lain pula yang timbul.
Berkampung Di Hospital
Bayangkan semasa Furizad ditahan di hospital selama tiga bulan lebih, Kak Nab hanya balik ke rumah sebanyak dua kali sahaja. Anak-anak yang lain terutamanya Farhan dan adiknya terpaksa diletakkan di bawah jagaan ibunya yang sudah uzur.
Lebih menyedihkan, semasa menjaga Furizad di hospital, anak perempuannya, Siti Sarah, 26 tahun mengalami sesak nafas dan dimasukkan ke bahagian kecemasan akibat paru-paru berair.

Mahu tidak mahu, Kak Nab perlu bergilir-gilir menjaga anaknya. Seorang di Tingkat 7 dan Siti Sarah di Tingkat 2, Hospital Universiti Sains Malaysia. Buat masa sekarang, Siti Sarah turut mengalami penyakit genetik yang sama tetapi tidak seteruk abang-abangnya.
Harapkan Bantuan
Kini, ketiga-tiga adik beradik ini bergantung sepenuhnya kepada Kak Nab untuk menguruskan kehidupan harian.
Katanya lagi, jika sebelum ini dia mengambil upah menjahit pakaian untuk menyara keluarga namun selepas ketiga-tiga anaknya itu tidak mampu berdikari menyebabkan dia sukar untuk bekerja.
Tambah Kak Nab lagi, setiap bulan dia perlukan perbelanjaan sekitar RM1,000 untuk makanan, lampin pakai buang dan kos ulang alik ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) untuk rawatan susulan tiga beradik ini.
”Apa yang Kak Nab harapkan agar sentiasa diberi kesihatan pada diri untuk menjaga mereka dan dapat mengambil upah menjahit kembali. Malah, besar harapan saya supaya anak-anak kembali sihat seperti orang lain,” katanya mengakhiri perbualan.
Bagi yang ingin menghulurkan bantuan boleh menyalurkan ke akaun Zainab Awang Draman, Bank Simpanan Nasional (BSN) 03100-29-83414106-3.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Ibu Tunggal Jadi Ketua Keluarga, Suami Meninggal Saat Dia Hamil Anak Ke 6

Isi Kandungan
ToggleBerat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Tiada siapa yang menduga dalam usia 35 tahun, dialah ketua keluarga yang perlu menyara anak-anak selepas kematian suami yang dicintai.
Bukan sesuatu yang mudah untuk dilakukan, tapi kehidupan perlu diteruskan demi kelangsungan hidup bersama 6 orang anak yang disayanginya. Dialah tempat untuk anak-anak bergantung harapan.
Sebagai ketua keluarga, ibu tunggal langsung tidak menyalahkan ketentuan takdir. Apa yang berlaku ini akan dipikul tanpa sebarang keluhan mahu pun penyesalan.
Baca Artikel Menarik Lain Di Sini: Selepas Setahun Lalui Kesedihan & Kepahitan Hidup, Akhirnya Ibu Tunggal Ini Bangkit
Ibu Tunggal Ini Seolah Sudah Lali, Anaklah Penghibur, Penawar, Kawan Karib Dunia Akhirat
Info Lebih Menarik DI SINI
Jadi Ketua Keluarga Selepas Kematian Suami
Dalam temubual eksklusif, Salasiah Matudi, 35 tahun memberitahu, beliau kehilangan pasangan hidup yang dicintainya pada 9 April tahun lalu akibat kegagalan fungsi jantung.
Pemergian arwah Kamaruddin Ahmad sangat meragut jiwa dan mindanya kerana arwah menghadap ILAHI pada usia masih muda iaitu 32 tahun dan meninggalkan enam orang zuriat.
Lebih menyentuh perasaan, ketika itu, beliau sedang hamil empat bulan.
“Hati mana yang tidak luluh. Bohong kalau saya katakan apa yang terjadi ‘tidak sakit‘. Namun, demi anak-anak, saya sesekali tidak akan menitiskan air mata di hadapan mereka. Biarlah kedukaan ini saya pendam sendirian,“ tutur beliau.
Penceritaan Salasiah terhenti seketika tatkala mula mengisahkan detik akhir suaminya ‘hilang‘ dari pandangan mata buat selama-lamanya.
“Sebaik arwah menghela nafas terakhirnya, saya meminta pihak hospital untuk membenarkan anak-anak melihat wajah arwah buat kali terakhir agar mereka tahu ‘ke mana pergi‘ ayah mereka pergi. Keadaan pada masa itu juga agak kalut kerana Perintah Kawalan Pergerakan baru dikuat kuasakan.
“Anak-anak saya rata-ratanya masih kecil, tetapi nampaknya mereka seperti memahami bahawa seseorang yang hidup, pasti akan ‘diambil‘ ILAHI,“ katanya sambil cuba menahan linangan air mata.
Cekal Tanpa Keluhan
Mengunjungi kediamannya yang terletak di Kampung Kemensah, Ampang Jaya, Selangor, membuatkan emosi penulis bergejolak. Perasaan sayu dan simpati menyentuh sanubari ini.
Masakan tidak, bukan sahaja kediamannya kelihatan usang, kedudukannya juga terletak berhampiran dengan anak sungai. Ia memungkinkan segala musibah yang tidak diingini boleh berlaku pada bila-bila masa.
Namun, kata Salasiah, beliau tujuh beranak sudah buntu dan tidak tahu ke mana hendak dituju.
“Sebenarnya, rumah ini adalah ihsan pemilik tanah yang membenarkan saya sekeluarga menetap di sini. Biarpun berlantaikan papan dan bahagian dapur kadangkala basah dek kerana terdapat kebocoran air, tetapi kami gembira dapat tinggal di rumah dua bilik ini.
“Memang betul, sesekali air sungai deras jika hujan lebat, tetapi syukur tidak ada tanah runtuh atau banjir berlaku setakat ini. Alhamdulillah anak-anak juga bijak dan tidak ke sungai, apatah lagi bermain-main di kawasan sekitarnya kerana kesemua mereka lebih senang bermain dan duduk di dalam rumah,“ ujarnya.
Walaupun hidup tanpa dilingkari kemewahan, Salasiah berkata, pelajaran anak-anak tidak akan diabaikan.
Seorang anaknya bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Keramat, manakala tiga yang lain ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Taman Permata.
Pada saat kerajaan melaksanakan sistem pendidikan Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR), mereka hanya bergantung kepada sebuah telefon bimbit milik arwah, beritahu Salasiah.
“Saya telah memaklumkan kepada pihak guru bahawa sukar anak-anak untuk belajar dengan hanya sebuah telefon bimbit. Saya bimbang jika mereka ketinggalan dalam pembelajaran, tetapi apa daya, itu saja yang kami termampu,“ katanya.
Keresahan ibu tunggal itu seolah-olah didengari apabila terdapat pihak yang prihatin memberi sumbangan telefon pintar kepadanya termasuk talian internet untuk memudahkan pembelajaran anak-anak.
Dengan kemudahan itu juga, Salasiah berkata, beliau mula berjinak-jinak melakukan perniagaan dalam talian dengan menjual tudung dan cadar demi menambah pendapatan.
“Saya harap usaha ini diredai-NYA dan taklah saya terlalu bergantung dengan ihsan semata-mata. Orang memang boleh tolong, tetapi sampai bila? Jadi, saya perlu mencari jalan lain sebagai sumber rezeki demi membesarkan anak-anak.
“Saya memang tak pandai teknologi, anak-anak yang bantu. Saya juga gembira kerana kadangkala penduduk sekitar datang membeli tudung dan cadar yang saya jual,“ katanya.
Kepada penulis, Salasiah tidak henti-henti mengungkapkan ucapan terima kasih kepada jiran dan masyarakat di Ampang Jaya.
“Saya sangat berterima kasih dengan segala bantuan yang diberikan mereka terutamanya Ahli Jawatankuasa Masjid Al-Mardhiyah, Taman Melawati.

Keprihatinan mereka juga membolehkan saya mendapat bantuan zakat dan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat yang secara tidak langsung meringankan beban,“ kata wanita kelahiran negeri Cik Siti Wan Kembang itu.
Kepada anda yang prihatin untuk membantu ibu tunggal enam anak yang terus gigih menjalani kehidupan meskipun tidak henti dilanda ujian, boleh menghulurkan sumbangan ikhlas melalui akaun bank Maybank di 162200112382 atas nama Salasiah Matudi.
Kredit: Sinar Plus
Mingguan Wanita : Semoga ibu tunggal ini tabah dalam meneruskan kehidupan bersama anak-anak.
Baca Artikel lain DI SINI: “Saya Kesempitan Wang’, Ibu Tunggal Sanggup Larikan Motosikal Untuk Membayar Kos Perubatan Anak
Bangkit Wanita Mingguan Wanita
Group khas buat semua wanita B40 dan M40 yang mahu bangkit maju dari kehidupan sekarang menerusi perkongsian tip, promosi kursus anjuran Mingguan Wanita, perkongsian kisah inspirasi wanita. #langkahyakinlakarkejayaan
Follow kami di :
Facebook Mingguan Wanita
Instagram Mingguan Wanita
Twitter Mingguan Wanita
#bangkitwanita
#langkahyakinlakarkejayaan
#bisnesdarirumah
#mingguanwanita
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI