Tetiba Suami Dijemput Allah Hari Ini, Apa Persediaan Yang Isteri Ada?

Share

Tiada siapa pun tahu sampai bila Allah pinjamkan suami kepadanya, namun kematian adalah takdir Allah yang seharusnya diterima dengan redha dan berlapang dada.

Bagi kaum isteri, pemergian suami akan tetap meninggalkan kesan yang cukup mendalam. Bayangkan orang yang sudi berkongsi rasa dan memberi perlindungan kepada isteri tiba-tiba pergi meninggalkannya, bagaimana dengan nasib anak-anaknya?

Ya, bukan kehendak wanita itu tetapi ujian dari Allah, jangan pula hanya berserah tetapi bersipalah untuk mengharunginya. Jangan kerana suami mati, mak-mak pun ibarat mati sebab tiada tempat untuk bergantung.

Inilah yang kaum isteri perlu persiapkan dan jemput renungkan sekejap perkongsian saudara Abd Ghani Haron ini. Tolonglah persiapkan diri, bukan kita mengharap tetapi ambillah ikhtibar atas apa yang berlaku kepada wanita lain.

BILA TETIBA SUAMI PERGI DAHULU

Seorang ibu muda dengan dua orang anak kecil, tanpa disangka kehilangan suami kerana kemalangan. Seluruh hidupnya tetiba menjadi gelap, dia tidak pernah bekerja, suami tidak meninggalkan harta, rumah pun sewa, motor hancur dalam kemalangan. Bila dirujuk kwsp, tidak mencarum, begitu juga perkeso. Si isteri tidak boleh memandu, tidak pernah berniaga walau kecilan. Ibubapa dah meninggal, mentua pula hidup kais pagi makan pagi. Lelehan airmata dengan anak didokongan dan masih memaut baju si ibu, menceritakan seluruh ketakutannya menghadapi hari muka.

Jangan rasa tidak ada apa, situasi ibu muda ini mungkin berlaku kepada anda, tetiba suami dijemput Allah hari ini, apakah persediaan yang ada? Saya tidak mengandai isteri yang mati kerana mudah si suami mencari ganti, tetapi jika suami yang pergi, si isteri amat sukar dapat pengganti. Saya cuba mengajak anda untuk sedikit berfikir bagi menyiapkan diri, jangan hanya berserah kerana jika Allah menyuruh untuk menyiapkan diri menghadapi musuh, maka bersiaplah juga kita pada berbagai kemungkinan untuk hidup.

Bila dah berkahwin, perkara utama adalah rumah, berusaha buat rumah atau beli rumah, jangan nak menyewa selamanya. Sekurangnya bila suami tiada, rumah telah ada. Bila beli rumah, biasanya ada insuran takaful sekiranya berlaku kematian, insuran tolong bereskan. Jadi berusahalah untuk beli walau rumah kecik dahulu, atau jika ada tanah, buatlah dangau atau pondok kecil dulu, supaya jika apa pun terjadi, tempat berteduh telah ada.

Pastikan suami yang bekerja dengan swasta mencarum dengan kwsp dan perkeso, semak dengan badan itu untuk pastikan majikan mencarum. Jika kerja sendiri pun, boleh mencarum, supaya bila suami tiada, ada sedikit simpanan kwsp, ada pencen penakat yang dikeluarkan oleh perkeso, jika suami tidak boleh bekerja kerana sakit atau cacat, ada pencen ilat. Sekurangnya ini dapat meringan separuh beban. Jika ada kemampuan, ambillah insuran takaful terutama bagi suami sebagai ikhtiar dan persiapan.

Berdirkari dan Belajar Ilmu Yang Boleh Datangkan Sumber Rezeki

Isteri kena lengkapkan diri untuk mengambil tugas suami. Belajar memandu motor atau kereta dan biar ada lesen supaya boleh mengganti suami menghantar anak sekolah, anak atau suami sakit ke klinik atau hospital, boleh memandu utk bekerja atau berjualan. Belajar juga mengurus hidup,cara bayar bil, urusan bank, perlesenan, urusan dengan jabatan kerajaan dan sebagainya. Jika suami berniaga, ambil tahu sumber bekalan, pengendalian perniagaan, mengenali pelanggan supaya boleh disambung tugas suami. Begitu juga dalam tugas lain.

Ambil pengetahuan juga tentang faedah yang boleh dituntut bila berlaku kematian dari berbagai badan. Contoh dari unit pencen kerajaan, perkeso, tuntutan kwsp, wang khairat dari perkeso, kwsp, jika ahli dalam badan yang menyediakan khairat seperti persatuan, pertubuhan dan lain-lain.

Seorang isteri sebaiknya menyiapkan diri dengan ilmu untuk berusaha sendiri jika ketiadaan suami. Belajarlah ilmu menyedia makanan, kerjatangan, jahitan, niaga kecilan, niaga online dan apa saja yang boleh disandarkan untuk menjana pendapatan.

Berapa ramai isteri yang terkapai-kapai bila suami pergi mengejut samada mati atau ditinggalkan.Masa baru kahwin memang manis, jangan lupa kekadang panas tidaklah hingga ke petang. Masa hangat bercinta, masukkan juga agenda perancangan hidup yang berbagai kemungkinan, jangan rancang sekadar hidup berdua, rancang juga hidup tanpa salah seorang dari kita. Jika betul sayang isteri dan anak, sediakan bekal kepada isteri. Yang jadi isteri, jangan asyik membelek muka untuk jadi putih sahaja, tukar tudung berbagai gaya kerana suatu hari mungkin awak akan sendirian mengesat air mata, menadah dan meminta-minta untuk menyuap anak yang diriba. Ujian Allah pasti tiba, cuma kita tidak mengetahui caranya.

Kematian Suami…

Jangan jadi situasi suami mati, seolah isteri dan anak kena turut terjun bersama dalam kuburnya, seperti suatu kebiasaan dalam sebuah agama lain. Para suami,jangan awak menangis dikubur kelak melihat keadaan anak isteri didunia yang menderita kerana kamu tidak menyediakan bekalan untuk mereka. Suami yang mencerai isteri tanpa tanggungan yang wajar dan hak, ingatlah anda adalah lelaki yang dayus, yang akan dituntut diakhirat oleh mereka yang ditinggalkan tanpa tanggungjawab. Selangkah mempersiap diri mungkin lebih baik dari menderita seumur hidup.

Sekadar mengingatkan. Wallahua’lam abdghaniharon.

Published by
Nadia