Masalah rasa kosong dan sunyi dalam rumah tangga ini sebenarnya boleh muncul kalau salah seorang daripada pasangan buat perangai. Bukan sebab sibuk semata, tetapi sebab dah pandai cari alasan!
Nak-nak lagi kalau biasa meluah pada orang yang salah yang berlainan jantina. Inilah yang boleh mengundang kes curang dalam hubungan laki bini. Bagi mengelakkan situasi seperti ini jadi lebih keruh, jemput baca perkongsian saudara Amir Syahir…
“Isteri saya kerja sampai ke malam. Selalu takde masa untuk saya. Sibuk betul. Hujung minggu pun masih kerja.”
“Isteri saya selalu je outstation. Asyik tinggalkan saya dan anak-anak di rumah. Tak pernah ada masa untuk kami.”
Kalau suami tu kerja jenis banyak masa di rumah misalnya buat bisnes ke atau cikgu mesti dia rasa ada ruang kosong kalau isteri dia asyik kerja je. Contohnya jika isterinya seorang doktor. Yang selalu sibuk dengan jadual yang tidak tentu.
Mula lah si suami nak mengisi ruang kosong ni dengan perempuan lain. Berchat kat FB, main WeChat lah. Mula-mula nak kenal je, lepastu bertukar nombor telefon dan akhir sekali jatuh cinta kononnya. Yang si perempuan tu pulak melayan je.
Rumah tangga mula tidak lagi bahagia macam dulu. Si suami salahkan isteri tidak ada masa untuk dia. Si isteri pula tertekan sebab suami tidak memahami. Yang menjadi mangsa adalah anak-anak.
Siapa Yang Salah
Kenapa perkara macam ni boleh berlaku? Siapa yang harus dipersalahkan? Tak perlu saling menuding jari. Lebih baik duduk bersama dan berbincang bagaimana untuk mengembalikan kebahagiaan dalam rumah tangga seperti dahulu.
Sebelum kahwin, mesti dah saling kenal kan. Dah tau bakal isteri atau suami kerja apa. Jadi, tak perlu timbul soal macam ni. Si suami dah tau isteri dia doktor. Kerja yang tidak tentu masa. Jadi, dia perlu faham dan bertolak ansur. Kalau tak dapat terima, kenapa kahwin dengan dia?
Alasan mencari perempuan lain untuk mengisi ruang kosong itu tidak akan wujud jika perkahwinan yang dibina atas dasar kerana Allah. Pokok pangkalnya adalah hati sendiri.
Kalau ruang kosong tu diisi dengan buat benda yang kau minat macam memancing, memasak, bersukan, main game atau tanam pokok, takpe la. Ada faedahnya. Banyak lagi cara nak isi ruang kosong tu. Bukan dengan cara cari perempuan lain. Tu cari pasal namanya.
Para isteri jangan halang suami jika mereka banyak menghabiskan masa dengan sesuatu yang mereka suka. Mungkin itu cara mereka mengatasi ruang kosong tu.
Jangan Lupa Tanggungjawab Hakiki
Si isteri pun kena main peranan juga. Jangan nak berharap supaya suami je faham diri kau. Sesibuk mana pun dengan kerja, jangan lupa tanggungjawab sebagai isteri. Luangkan masa dengan suami dan anak-anak. Kerja sampai bila-bila pun tak akan habis.
Sekali-sekala ambil la cuti. Pergi bercuti bersama-sama suami dan anak-anak. Lupakan sekejap kerja tu. Pasti suami dan anak-anak kau akan rasa dihargai dan disayangi. Diorang pun akan faham dan terima cara kau bekerja yang tak tentu masa tu.
Lepaskan, Jangan Pendam
Jadi, kalau ada masalah bincang. Jangan nak salahkan isteri atau suami. Jangan pendam ketidakpuasan hati. Lama-lama memakan diri. Kalau tak puas hati dengan isteri yang takde masa, bagitau isteri. Bukan mengadu dengn perempuan lain yang kononnya memahami. Fikirkan juga nasib anak-anak. Tidak ada masalah yang tiada jalan penyelesaian.
Buat para suami, jangan mencipta alasan untuk mencari perempuan lain kerana isteri kau sibuk bekerja. Fikirlah, dia bekerja pun sebab nak bantu kau. Buat para isteri, sesibuk mana pun kau bekerja, jangan abaikan tanggungjawab dengan suami dan anak-anak.
Semoga kita semua dapat membina keluarga yang bahagia hingga ke Syurga.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI