Tetiba Anak Sakit Telinga, Mak Ayah Tolong Jangan Dibuat Main!

Share

Pernah tak anak mengadu sakit telinga secara tiba-tiba di rumah? Haaaa… kalau betul anak pernah sakit telinga mak-mak kena terus bawa jumpa doktor ya.

Tak boleh lah peram kat rumah tunggu baik sendiri sebab takut terkena jangkitan telinga yang kita langsung tak pernah terfikir. Ini macam yang Dr Ezairy M.Sallih kongsikan, ada kesan tertentu kalau anak mula sakit telinga. Nah, jemput baca!

Kalau Anak Sakit Telinga

Kenapa jangkitan telinga sangat berbahaya?

Jangan dibiar jika anak anda mengadu sakit telinga, keluar cecair kuning, nanah, darah atau apa-apa yang tidak normal.

Tahukah anda bahawa komplikasi akibat jangkitan pada dalam telinga berpotensi untuk mengancam nyawa?

Jangan dibuat main!

Struktur telinga kita sebenarnya bersambung dengan hidung, tekak dan juga ada sambungan dengan rongga-rongga sekitar seperti rongga mastoid dan sebagainya.

Jika jangkitan pada telinga tidak dikawal pada peringkat awal, ia boleh merebak ke kawasan-kawasan yang saya sebutkan ini. Masalah lain dan lebih serius boleh berlaku.

Mastoiditis merupakan jangkitan yang berlaku pada kaviti mastoid yang terletak di bahagian belakang telinga. Ia merebak dari telinga tengah untuk membentuk abses atau nanah di ruang udara mastoid tulang temporal.

Pesakit yang mengalami mastoiditis kebiasaannya akan mengalami gejala klinikal dan sistematik yang sangat tidak sihat.

Jadi, apa simptom dan gejala pesakit yang mengalami mastoiditis ini?

Macam mana nak tahu?

Pesakit yang mengalami mastoiditis akan dilihat septik: iaitu demam, lemah dan lesu. Kanak-kanak akan menjadi tidak selesa, kerap menangis dan tidak akan makan serta minum. Pesakit akan mempunyai tanda dan gejala dari jangkitan telinga yang lebih teruk. Akan ada tanda kemerah-merahan dan sakit serta bengkak yang signifikan di belakang telinga.

Adakah mastoiditis ini akan berhenti setakat itu sahaja?

Tidak.

Mastoiditis boleh merebak lagi jauh ke dalam sel-sel udara untuk membentuk abses atau nanah subperiosteal dan kawasan-kawasan sekitarnya!

Jadi, jika anak-anak anda ada mengalami dan mengadu sakit telinga, disertai demam, ada cecair keluar dari telinga, sakit juga di bahagian belakang telinga, jangan tunggu lagi. Bawa jumpa doktor untuk pemeriksaan. Pemeriksaan menyeluruh dan terperinci akan berjaya mengenalpasti masalah anak anda, walaupun untuk sesetengah kes agak sukar untuk mendiagnos pesakit pada peringkat awal.

Published by
Nadia