
Selalu hati sendiri akan memberontak bila diri mula berasa dianiaya oleh orang yang sangat kita percayai. Sakitnya hati bila bertemu dengan orang yang salah. Kesannya, sehingga mahu membalas perbuatan yang dilakukan itu.
Nasihat pendakwah terkenal, Ustazah Asma’ Harun ini bagus untuk anda hadamkan baik-baik. Ada hikmah dalam setiap ujian getir bertemu dengan orang yang salah ini.
Tuhan bukan saja-saja menguji, tentunya ujian ini adalah untuk kita kembali kepadaNya. Hadamkan.
Ada Sebab Tuhan Temukan Dengan Orang Yang Salah
Allah menemukan kita dengan manusia yang mengecewakan, kerana Dia ingin kita faham bahawa hanya Dia tempat berharap.
Allah menemukan kita dengan manusia yang menyakitkan hati, kerana Dia ingin kita faham bahawa hanya Dia yang menyembuhkan.
Allah menemukan kita dengan manusia yang mengambil haq kita, kerana Dia ingin kita faham bahawa tiada apapun milik kita.
Allah menemukan kita dengan manusia yang menzalimi, kerana Dia ingin kita faham bahawa hanya Dia yang Maha Adil.
Allah menemukan kita dengan manusia yang tidak menghargai, kerana Dia ingin kita faham bahawa hanya Dia yang memberi ganjaran.
Belajarlah mengikuti sebagaimana perkataan para Nabi dan orang yang ikhlas:
ﻭَﻣَﺎ ﺃَﺳْﺄَﻟُﻜُﻢْ ﻋَﻠَﻴْﻪِ ﻣِﻦْ ﺃَﺟْﺮٍ ۖ ﺇِﻥْ ﺃَﺟْﺮِﻱَ ﺇِﻟَّﺎ ﻋَﻠَﻰٰ ﺭَﺏِّ ﺍﻟْﻌَﺎﻟَﻤِﻴﻦَ
“Dan aku sekali-kali tidak minta upah/balasan kepadamu atas ajakan itu; upahku tidak lain hanyalah dari Rabb semesta alam.”
[asy-Syu’ara’:164]
Muhasabah jauh ke dalam diri, boleh jadi kitalah orang yang menzalimi, menyakiti, mengkhianati dan mengecewakan ?
Allahu Akbar. Teruskan jadi baik, jangan merasa sudah baik, lebih baik rasa masih kurang baik, lalu sentiasalah buat baik. Moga hidup dan mati baik dan Syurgalah sebaik-baik tempat kembali.
Baik single daripada bersama orang yang salah.
MW : Ringkas pesanan ustazah Asma, namun setiap baik katanya menusuk hingga ke dasar hati. Wahai hati yang sedang berduka, bangkitlah dan ingatlah bahawa setiap ujian itu, Allah beri kerana dia sayang. Mahu hambanya dekat dan ingat padaNya.

Sumber/Foto : Asma’ binti Harun
Follow kami di :
Facebook Mingguan Wanita
Instagram Mingguan Wanita
Twitter Mingguan Wanita
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Jaga Solat, Barulah Aliran Rezeki Berkat Dan Mencurah

Isi Kandungan
ToggleJaga solat kerana solat itu adalah tiang agama. Mari kita mulai kehidupan tahun baru ini dengan muhasabah diri. Kita tinggalkan pengalaman tahun lalu dengan keazaman untuk melalukan sesuatu yang lebih baik pada tahun ini.
Mendepani kehidupan yang serba mencabar, kita perlu kembali kepada asas-asas kehidupan yang dituntut dalam Islam. Antara yang sangat diperlukan adalah kesyukuran.
Ibadah Malam Rasulullah
Bercerita mengenai syukur, sirah tentang ibadah malam Rasulullah s.a.w hingga bengkak-bengkak kaki menjadi motivasi untuk dicontohi. Bila Saidatina Aisyah r.a. bertanya kenapa dilakukan sampai begitu rupa, baginda ingin menjadi hamba Allah SWT yang sentiasa ingin bersyukur (‘abdan syakura).
Keinginan untuk menjadi hamba yang sentiasa bersyukur ini perlu meresap di dalam sanubari muslim mukmin. Ia menjadi tuntutan daripada satu ayat dalam surah al-Fatihah yang dibaca saban waktu, “Hanya kepada Engkau kami menyembah dan hanya kepada Engkau kami memohon pertolongan”.
Ikrar ini meletakkan manusia berstatus sebagai hamba kepada Tuhan. Antara tanggungjawab hamba tentunya memiliki perasaan bersyukur kepada-Nya.
Pelihara dan Jaga Kefarduan Solat
Bila Rasulullah s.a.w menegaskan bahawa amalan pertama yang bakal disoal di hari pembalasan adalah solat, dan ia penentu penerimaan atau penolakan amalan-amalan lain, maka jelas kedudukan solat di dalam kehidupan seseorang muslim.
Justeru itu, kayu ukur tanda bersyukur kepada Tuhan adalah dengan menilai solat yang dikerjakan. Individu perlu bermuhasabah tentang solat yang dikerjakan saban waktu agar solat yang dikerjakan itu benar-benar menjadi tanda kesyukuran kepada Tuhan.
Muhasabah Tentang Solat
Bagaimana bermuhasabah tentang solat? Bila mengerjakan solat, individu meyakini bahawa solat yang dikerjakan berlaku dengan izin-Nya. Maksudnya, individu merasai bahawa Tuhan beri pertolongan untuk bersolat. Tuhan buka hati untuk menunaikannya. Tuhan memudahkan segala urusan berkaitan solat. Dia meyakini Tuhan kurniakan perasaan khusyuk serta kehadiran hati sewaktu dalam solat.
Mohon juga agar solat yang dilakukannya itu datang daripada kurniaan kasih sayang-Nya. Dengan kata lain, Tuhan menyayangi dirinya dan Tuhan berkehendakkan dirinya menjadi hamba yang pandai bersyukur. Maka dengan sifat kasih sayang-Nya (al-Rahman dan al-Rahim), Tuhan rezekikan kemudahan untuknya bersolat.
Kejayaan Didahului Dengan Jaga Solat
Sesungguhnya Allah SWT menjanjikan kejayaan dan kecemerlangan hidup melalui solat. “Sesungguhnya berjayalah orang yang beriman, (iaitu) orang yang khusyuk dalam solatnya.” (Surah al-Mukminun, ayat 1 – 2)
Dengan memperbanyakkan solat serta memelihara waktu dan kualitinya, seseorang mengukuhkan nilai ketakwaan diri. Nilai ketakwaan bakal menambah rezekinya. Bukankah Tuhan menjanjikan rezeki yang luas melalui jalan yang tidak disangka-sangka kepada orang-orang yang bertakwa!
Maksudnya, cara betul seseorang beroleh rezeki adalah melalui ibadah solat yang dikerjakan demi mencari keredaan Tuhan. Solat dipelihara maka barulah rezeki akan dilimpahkan kepada seseorang sebagai memenuhi janji Tuhan kepada hamba yang bertakwa serta banyak bersyukur.
Lagi artikel menarik di sini:
Bila Habis Period, Kena Jamak Dan Qada Solat. Jangan Main-Main Bab Fardu Ain
Nak Bebas Hutang Solat Jangan Tinggal, Berdoalah Namun Usahlah Berkira ‘Untung’ Setelah Berdoa
Rezeki Dalam Keadaan Diri Cuai
Bagaimana jika nikmat atau rezeki yang diperoleh itu tidak didahului dengan solat? Nikmat diperoleh dalam keadaan seseorang masih cuai atau meninggalkan solat, atau solat dalam keadaan leka dan lalai. Maka nikmat yang diperoleh itu belum menepati syarat sebagai rezeki Tuhan yang penuh berkat.
Rezeki dalam bentuk sedemikian belum mampu menambah kesyukuran dalam hati. Ia hanya menjauhkan seseorang daripada Tuhan, sambil menambah keegoan dan kesombongan diri. Ia bakal menjerumuskan seseorang ke lembah kebinasaan “al-Istidraj” sebagai tanda kemurkaan Tuhan kepada seseorang hamba.
Jaga Kualiti Solat
Dalam hal ini, maka tidak salah untuk bertanya kepada orang-orang yang sering dilanda masalah hidup tentang solatnya atau tentang kekhusyukan solat yang mereka lakukan. Kita khuatir masalah itu sebagai tanda Tuhan tidak memandangnya dengan pandangan rahmat dan kasih sayang-Nya.

Memang masalah hidup itu ujian Tuhan, namun solat yang menjadi keutamaan dalam hidup mampu memberi kekuatan emosi dan spiritual, lantas menyuburkan kesyukuran dalam hati.
Rasa Syukur Ubah Persepsi Masalah
Dengan kesyukuran itu maka persepsi tentang masalah hidup yang dihadapi mampu ditukar menjadi ujian Tuhan yang penuh hikmah untuk disyukuri. Lalu terhindar diri daripada sebarang rungutan, kekecewaan dan berburuk-sangka kepada Tuhan.
Semoga tahun baru ini menjanjikan kebahagiaan dan ketenangan hidup untuk kita. Tidak salah mengejar kejayaan yang dicita-citakan, namun jangan lupa untuk sentiasa bersyukur serta memelihara kefarduan solat. Mudah-mudahan kita dikurniakan rezeki yang berkat oleh-Nya, insya-Allah.
Artikel: Dr. Muhamad Jantan, Perunding Motivasi & Psikologi RMJ Holistic Solution
Jangan lupa follow kami di:
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Bertekak Kerana Salah Faham, Titik Mula Aliaa Kenal Islam

Lazimnya title ‘mualaf’ itu hadir sebaik menikahi pasangan Muslim ataupun memeluk Islam atas dasar cinta. Bezanya dengan wanita yang dilahirkan dengan nama Madonna Justin, gadis kacukan Melanau dan Iban ini kecintaannya terhadap Islam hadir secara tak sengaja.Ketika dibangku sekolah rendah dan menuntut di SK Sungai Sebintek, Sibu, Sarawak minatnya terhadap bahan bacaan menemukan dia dengan sesuatu yang memberi impak dalam kehidupannya hari ini. Tidak sekadar mengisi masa lapang dengan membaca, dua naskhah ini benar-benar memberi kesedaran buatnya mengenai agama dan kepercayaan yang dianuti.
“Nama saya Nur Hidayatul Aliaa Justin dan memeluk Islam secara rasmi pada 3 Jun 2007. Saya dilahirkan dengan nama Madonna Justin dan merupakan anak kacukan Melanau dan Iban. Di mana bapa dari kaum Melanau manakala ibu pula berbangsa Iban. Saya mempunyai dua orang adik perempuan berlainan bapa dan seorang adik lelaki berlainan ibu.
“Sebelum memeluk Islam, saya merupakan penganut agama Kristian…sama seperti ahli keluarga yang lain. Saya mendapat pendidikan awal di SK Sungai Sebintek, Sibu, Sarawak. Selaku anak jati Sibu persekitaran saya tidak memberikan saya info yang jelas berkenaan agama Islam. Kisah saya mengenali Islam hadir tanpa sengaja sebaik saya membaca dua buah buku yang berjudul Habil dan Qabil serta buku berkenaan Kisah 25 Rasul.
“Timbul di dalam hati persoalan berkenaan mengapa Jesus mati disalib sedangkan dia anak Tuhan, seperti yang dinyatakan dalam kuliah agama Krisitian ketika di gereja,”kongsi wanita yang dilahirkan pada 28 Jun 1989 kepada Mingguan Wanita ketika dihubungi menerusi emel.
Masih mencari jawapan
Usai tamat persekolah di peringkat rendah, Aliaa kemudian bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Luar Bandar Sibu, Sibu, Sarawak. Ketika di Tingkatan Dua, seperti cinta lama yang kembali berputik… Aliaa sekali lagi bertemu dengan sesuatu yang menarik perhatiannya dengan Islam ketika sedang mempelajari subjek Pendidikan Moral.
“Ketika itu guru ada menerangkan tentang nilai-nilai murni berkaitan agama Islam sewaktu kami sedang mengikuti kelas Pendidikan Moral. Persekitaran di sekolah dan juga tempat tinggal yang majoritinya hampir 90 peratus bukan Islam menjadikan keterujaan saya terhadap Islam terhalang akibat tiada tempat rujukan.
“Sewaktu di tingkatan lima, ketika di kantin…saya terdengar seorang pelajar memberi salam dan hati ini gembira tak terkata kerana akhirnya saya temui seorang pelajar yang boleh saya bertanyakan serba sedikit mengenai Islam. Pelajar tingkatan tiga itu ada menerangkan kepada saya perkara asas mengenai Islam dan Allah itu tuhan yang satu.
“Islam satu agama yang benar-benar boleh menyelamatkan saya. Ada juga perkara yang membuatkan kami berselisih pendapat sehingga berlakunya pertengkaran kecil antara kami berdua. Perselisihan faham itu membuatkan perasaan ingin mendalami Islam lebih lagi,”tutur Aliaa yang juga puteri kepada Justin Bin Benedict Rowney.
PLKN & insiden huruf “R”
Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) sekitar tahun 2006 telah membawa Aliaa ke Banting, Selangor. Pertama kali mengikuti program seumpama itu dan berjumpa lebih ramai lagi pelajar seusia beragama Islam dari negeri lain di Malaysia membuka mata Aliaa terhadap Islam. Ketika melakukan aktiviti flying fox…pelajar yang tidak memakai tudung (tidak kira muslim atau tidak) digalakkan menggunakan tudung bagi melindungi rambut mereka dari berlaku kemalangan ketika melakukan aktiviti tersebut.
“Sebaik mengenakan tudung buat kali pertama, saya rasakan ia cukup selesa. Saya terus mengenakan tudung sepanjang program PLKN berlangsung dan membuatkan orang terkeliru dengan status agama saya. Kebetulan seorang cikgu di situ meminta saya menyebut huruf “R”, dan kegagalan saya menyempurnakan sebutan huruf itu membuatkan saya ditegur.
“Bagaimana nak baca Al-Quran kalau sebutan huruf “R” tebal. Saya menangis mendengar ulasan cikgu itu, dalam pada masa yang sama kawan-kawan saya kemudian memaklumkan saya bukan seorang Muslim. Kejadian itu akhirnya membawa saya kepada momen memeluk agama Islam secara rasmi pada 3 Jun 2007, sambil disaksikan seorang ustaz dari Kolej Komuniti, Banting, beberapa orang jurulatih dan juga sahabat saya ,”kongsinya yang memegang status baru, sebagai seorang Muslimah ketika menimba pengalaman menerusi program PLKN itu.
Gerak hati ibu
Tiga minggu sekembalinya dari program PLKN, Aliaa mendapat tawaran melanjutkan pengajian ke peringkat matrikulasi di Labuan, Sabah. Urusan rasmi itu membuatkan ibunya, Isah Anak Meliw akhirnya mengetahui status agama barunya. Kecewa dan sedih, menurut Aliaa lagi ibunya menangis sebaik mengetahui status agama anaknya. Penerimaan keluarganya agak dingin sebaik isu pengislamannya diketahui.
“Ibu bertanya adakah kerana sesiapa atau saya sedang bercinta dengan seorang lelaki Muslim membuatkan saya menukar agama. Saya terangkan padanya, saya memilih untuk menjadi seorang Muslim kerana saya yakin Allah Tuhan Yang Satu dan Islam adalah satu-satunya agama yang benar dan boleh menyelamatkan saya.
“Penerimaan keluarga pada awalnya pengislaman saya agak dingin. Orang disekeliling yang mengenali saya sejak kecil berasa hairan kerana saya memeluk Islam bukan kerana berkahwin. Alhamdulillah saya masih menerima sokongan positif dari rakan-rakan satu matrikulasi, pensyarah dan keluarga angkat.

“Lama kelamaan perlahan-lahan saya dapat melihat perubahan pada keluarga saya. Tiada lagi daging khinzir dibawa masuk ke rumah ataupun menjadi hidangan keluarga. Arak dan tuak hanya akan dihidangkan apabila ada upacara perayaan seperti Hari Gawai dan juga Tahun Baru Cina. Sesekali ibu juga akan hadir ke sesi ceramah di kampungnya apabila ada topik berkaitan agama Islam dikongsikan bersama masyarakat setempat,”kongsi Aliaa mengenai sisi positif keluarganya sebaik menerima keputusannya memeluk Islam.
Kesukaran kecil yang membawa bahagia
Antara cabaran awal menjadi seorang Muslim adalah menguasai bacaan ketika solat dan membaca jawi serta Al-Quran.
“Antara cabaran awal bagi saya ialah menghafal bacaan di dalam solat. Selepas syahadah, solat sudah menjadi wajib untuk didirikan. Pada awalnya hanya mengikut gerakan orang lain yang solat tapi saya berusaha untuk menghafal bacaan di dalam solat. Seterusnya cabaran ialah menyambungkan huruf-huruf jawi untuk membaca al-Quran. Pada tahun ketiga baru saya dapat membaca al -Quran dengan baik.
“Kehidupan selepas menjadi seorang Muslim, menjadi lebih bermakna sebenarnya. Sebab tahu apa tujuan saya berada di dunia ini. Selaku seorang Muslimah, harapan saya ialah agar saya terus istiqamah menjadi hamba Allah yang sentiasa mendalami Islam, mengamalkan Islam, menyampaikan Islam kepada yang lain mengikut cara yang Allah redhai. Harapan untuk ke Mekah bagi menunaikan Haji memang ada, ia adalah suatu kewajipan bagi kita umat Islam,”kongsinya yang kini bertugas sebagai guru di SM Sains Kuching Utara menutup bicara.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
66 Tahun Pendam Hasrat Masuk Islam, Syukur Pertama Kali Berpuasa!

Isi Kandungan
ToggleSesungguhnya hidayah itu milik Allah.Meskipun telah memasuki usia warga emas, ia bukanlah penghalang untuk mendapat petunjuk daripadaNya dengan memeluk Islam sekaligus mengamalkan setiap ajarannya.
Ramadan kali ini disambut dengan penuh kesyukuran buat wanita mualaf warga emas Teo Chu Bee, 74. Hasrat untuk menganut Agama Islam sekian lama akhirnya tertunai sekaligus berpeluang menunaikan rukun Islam ketiga buat kali pertama pada tahun ini.
“Selama 66 tahun saya pendam impian hendak masuk Islam, tapi akhirnya tercapai juga walaupun sudah berusia,” kata seorang mualaf warga emas yang pertama kali menjalani ibadah puasa, semalam.
Teo Chu Bee, 74, bersyukur kerana dapat berpuasa bersama muslim yang lain selepas memeluk Islam pada 5 Disember tahun lalu.
Tertarik Islam Sejak Usia 8 Tahun
Katanya, dia sudah memendam hasrat untuk memeluk Islam sejak berusia lapan tahun lagi apabila tertarik dengan kelas seorang ustaz tentang Islam ketika belajar di sebuah sekolah rendah di Besut, Terengganu.
“Saya tengok kawan sembahyang dan mengaji al-Quran menyebabkan saya tertarik, tetapi pada masa sama saya takut. Saya hanya diam memandangkan keluarga saya ramai dan takut mereka tidak setuju serta marah.
“Alhamdulillah, apabila pindah ke Kelantan, saya terjumpa kawan lama yang bekerja di sebuah bank di Kota Bharu dan dia tahu perasaan saya pada Islam.
“Dia sering tanya saya bila mahu masuk Islam dan memaklumkan jangan tunggu lama dan saya kata nanti dulu. Namun pada suatu hari, saya rasa bersedia dan terus mengucap dua kalimah syahadah sambil menangis,” katanya ketika ditemui di Pengkalan Chepa, di sini.
Pilih Nama Nur Hidayah Bee Teo
Chu Bee melafazkan dua kalimah syahadah di sebuah bank iaitu di tempat rakannya bekerja sebelum melakukan perkara sama secara rasmi di Balai Islam Lundang.
Katanya, dia memilih nama Nur Hidayah Bee Teo sebagai nama Islam kerana beranggapan dirinya mendapat hidayah dan pertolongan daripada Allah SWT yang menunaikan impiannya untuk menganut agama Islam.
“Saya sebenarnya tiada masalah nak puasa penuh dan tahun ini lebih semangat sebab dah masuk Islam. Saya juga tak sabar nak ke masjid untuk solat tarawih,” katanya yang tinggal di Panji.

Chu Bee berkata, dia juga sudah boleh membaca al-Quran dan berjaya menghafal surah al-Fatihah selain belajar mengaji di Masjid Muhammadi, di sini bersama seorang ustazah seminggu sekali.
Selain itu, Chu Bee turut mendapat bimbingan mendalami Islam dengan menyertai Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) Cawangan Kelantan yang memberi tunjuk ajar tentang Islam kepadanya.
MW: Alhamdulillah, sesungguhnya Allah memberikan hidayah pada sesiapa sahaja yang dikehendakinya.Usia lanjut bukanlah halangan dan tidak pernah terlambat dalam mendapat hidayah daripadaNya. Semoga wanita mualaf ini kekal istiqamah dalam menjalani kewajipan berpuasa di bulan ramadan yang penuh keberkatan ini serta mampu melaksanakan ibadah yang lain dengan sempurna.
Sumber: Berita Harian
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI