Setiap mahligai yang dibina atas dasar suka sama suka atau lebih tepat lagi atas dasar cinta pastinya mengimpikan hubungan yang berkekalan hingga ke hujung nyawa. Tapi siapalah kita manusia yang hanya mampu merancang, segalanya telah ditentukan oleh Yang Maha Berkuasa. Rumah tangga yang dibina oleh Elinaton Misrani, 35, bersama bekas pasangan hanya mampu bertahan selama dua tahun sahaja.

Bangkit

Hati mana yang tidak sedih dengan perpisahan yang melanda. Baru sahaja ingin mengecapi rasa bahagia, punya teman hidup ditambah pula dengan kehadiran cahaya mata yang masih kecil pelengkap masjid yang dibina. Namun seperti wanita yang senasib dengannya, Elinaton perlu bangkit demi kelangsungan hidup diri dan dua orang anak yang masih panjang perjalanan hidup.

“Perkahwinan saya dan bekas suami atas dasar cinta. Kami melangsungkan perkahwinan pada tahun 2012. Saya sangkakan dialah imam yang akan membimbing saya hingga ke syurga. Tapi itu semua hanya tinggal kenangan buat saya.

“Campur tangan orang ketiga dalam hidup kami menambahkan lagi kekusutan yang ada. Ditambah dengan ketidak sefahaman antara kami berdua. Mungkin ini semua ujian untuk saya tempuhi bagi mematangkan lagi diri dalam kehidupan yang penuh dengan cabaran. Saya anggap jodoh antara kami tidak panjang,” ujar Elinaton memulakan bicara.

Bangkit Demi Anak-anak Yang Masih Kecil

IKLAN

Usia anak-anak yang masih kecil ketika ditinggalkan oleh sang ayah pastinya tidak banyak memberi kesan kepada si kecil. Tapi buat ibu mereka, ia bukanlah satu perkara yang mudah. Usia perkahwinan yang masih baharu dengan anak-anak yang masih kecil, hidup bagaikan hilang arah, hilang tempat bergantung harap.

“Teramat pedih rasanya ketika mula-mula berpisah. Hanya air mata peneman hidup. Setiap hari saya menangis mengenang nasib diri. Pelbagai persoalan berlegar-legar di fikiran, saya kebingungan, diselubungi dengan dilema ke mana arah tuju haluan kehidupan saya dan anak-anak selepas ini. Setiap hari saya berdoa semoga ditunjukkan jalan diberi petunjuk untuk meneruskan kehidupan bersama anak-anak tersayang.

Teruskan Kehidupan Tanpa Suami, Wanita Ini Buat Dua Kerja Untuk Besarkan Anak-Anak
Bersama ibu dan ayah serta kedua orang anak yang masih kecil penyumbang semangat untuk Elinaton bangkit dari kesedihan

“Tapi dalam masa yang sama Allah hadirkan rasa kesedaran untuk saya terus bangkit demi tanggungjawab bukan sahaja terhadap diri malah untuk anak-anak yang masih kecil. Dengan keadaan saya yang sering bersedih saya risau anak-anak akan terabai dan akan ada kesan buruk terhadap mereka. Saya tak mahu berterusan mengenang nasib diri, dipandang rendah dan disisihkan, saya perlu bangkit walaupun tanpa seorang lelaki bergelar suami di sisi,” ujar Elinaton lagi.

Tambah Kemahiran

IKLAN

Mujurlah diri ketika berpisah mempunyai pendapatan sendiri. Tapi berapalah sangat jumlah yang diperolehi lebih-lebih lagi untuk membesarkan anak-anak yang kini sudah berusia enam tahun. Tapi Elinaton percaya dengan rezeki Allah, yang penting usaha dan tawakal. Justeru bagi menambah pendapatan yang sedia ada, pelbagai usaha dilakukan oleh wanita ini.

“Saya tak terus meratap dengan keadaan yang menimpa saya perlu bangkit dari kejatuhan, redha dengan apa yang berlaku. Apa yang saya lakukan adalah terus berdoa, berusaha dan bertawakal serta mengharapkan bimbingan dari-Nya. Semoga akan ada sirna buat saya dan anak-anak di hujung perjalanan kehidupan kami nanti.

“Alhamdullilah, sedikit sebanyak saya bersyukur mempunyai pekerjaan tetap. Dapatlah membantu saya demi meneruskan kelangsungan hidup. Tapi jujur saya katakan ianya sangat mencabar kerana berapa sangatlah gaji yang saya dapat dengan jawatan sebagai seorang pembantu operasi. Saya perlu buat sesuatu dan tak boleh hanya berpeluk tubuh sahaja. Rezeki tak akan datang bergolek tanpa usaha.

IKLAN
Teruskan Kehidupan Tanpa Suami, Wanita Ini Buat Dua Kerja Untuk Besarkan Anak-Anak
Wanita perlu punya kemahiran untuk majukan diri walaupun hidup tanpa suami di sisi

“Setelah hidup sendirian saya banyak terlibat dengan persatuan ibu tunggal. Dari situ saya mengikuti kursus-kursus bagi mempertingkatkan jati diri dan kemahiran yang ada. Saya belajar di Giat Mara, CIC dan beberapa lagi pertubuhan untuk melengkapkan diri dalam dunia yang semakin mencabar pada hari ini. Alhamdullilah dengan kemahiran yang saya ada, saya mengambil upah menjahit secara sambilan untuk menambah pendapatan saya sekeluarga,” ujar wanita yang berasal dari Bera, Pahang ini.

Sokongan Keluarga

Dalam meniti kebangkitan hidup, ibu bapa dan keluarga memainkan peranan penting buat Elinaton. meskipun sedih dengan apa yang berlaku terhadap salah seorang wanita dalam keluarga mereka, ahli keluarga ini reda dan sering menasihati supaya terus tabah menghadapi ujian yang melanda.

“Ibu dan ayah serta ahli keluarga yang lain banyak membantu saya untuk bangkit semula. Mereka juga turut bersedih dengan keadaan yang menimpa saya ini dan sering menjadi tempat untuk saya mengadu dan sentiasa menasihati diri ini supaya tabah menghadapi dugaan Allah ini. Doa mereka juga buatkan saya bangkit dan kuat seperti hari ini. syukur Alhamdullilah.”

Teruskan Kehidupan Tanpa Suami, Wanita Ini Buat Dua Kerja Untuk Besarkan Anak-Anak
Elinaton bersama rakan-rakan dalam pasukan RELA

Bagi Elinaton wanita yang senasib dengannya perlu meneruskan kehidupan walaupun tanpa seorang suami di sisi. Pesannya jangan sesekali menyalahkan takdir. Hakikatnya anda semua bukan keseorangan. Bersyukurlah kerana masih ada keluarga, rakan-rakan yang sentiasa menyokong dan menghulurkan bantuan di saat anda memerlukan. Paling penting selagi masih mampu untuk bekerja, jangan cepat putus asa dan kuatkan iman yang ada untuk menghadapi apa sahaja ujian dan dugaan yang melanda.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI