Rela bahayakan anak kecil sebab mak obses nak anak putih! Ini bukan isu baru sebab pernah juga tular pasal budak kecil yang diajar ibunya makan suplemen semata-mata nak anak berkulit putih gebu.
Hah, agaknya apa kesannya?
Nak-nak pula tengok ramai golongan retis yang promosikan produk putih itu. Padahal anaknya dah memang sejak azali putih.
Situasi inilah menyebabkan ramai mak-mak yang obses untuk mendapatkan produk, kosmetik dan suplemen pemutih kulit. Lambakan produk di pasaran menyebabkan golongan ini ghairah dan pada masa yang sama keliru tentang produk yang baik untuk mereka.
Elok ke tidak cara ini, jemput baca pandangan Puan Intan Dzulkefli ini tentang momokan ‘orang putih itu lah yang kononnya cantik’…
Ummi… kakak nak buh krim,” kata Maira sambil memegang krim SPF sunblock ummi.
“Laaa… ni orang besar punya, kakak kecil lagi, tak perlu pakai krim.”
Jelas ummi sambil tersengih.
“Kakak nak putih…”
Kata Maira sambil pandang Insyirah adiknya.
Lalu sengihan ummi pun menghilang.
Semakin meningkat usia, memang perasan kulit Maira semakin gelap. Sebagai ibu, ummi okay saja. Biasalah tu perubahan kulit mengikut cuaca. Kalau asyik berjemur main di luar memanglah semakin gelap.
Namun, bila bertemu orang, tak dinafikan ramai juga yang menegur,
“Kakaknya gelap ikut ayahnya. Adik cerah ikut emaknya.”
Alah, sebenarnya Maira masa kecil pun cerah juga. Ummi jangkakan Insyirah makin besar pun akan jadi sawo matang juga nanti.
Rupanya dalam pada ummi berkata-kata dalam hati tu, Maira pandang je ummi. Pandangannya tu sayu je hati ummi melihat.
1) Selalu nampak golongan yang taksub sikit-sikit nak putih macam korea, putih seluruh badan seperti snow white atau putih hingga nampak urat hijau – DIKECAM seperti tak bersyukur. Namun, percayalah mungkin antara puncanya mereka OBSES nak putih kerana telah DIBULI dengan kata-kata yang mereka tak suka dengar tentang fizikal mereka – sejak dari kecil.
Dibanding-bandingkan antara adik beradik, kawan. Seolah-olah, berdosa kalau hitam, gemuk, kulit sawo matang ni. Seolah-olah tiada tempat dalam masyarakat.
2) Selalu juga nampak post pertanyaan kaum ibu/bakal ibu di group hamil/parenting yang bertanya “TIPS UNTUK BAGI ANAK PUTIH,” sampai ada yang sanggup telan pil/suplemen entah dari mana sumber semasa hamil semata-mata nak lahirkan anak yang putih!
Paling mengarut tular baru-baru ini kes ibu beri anak makan suplemen untuk putihkan kulit, sehari hingga 4 biji walhal anaknya lelaki dan baru berumur 4 tahun!
Tak tahu puncanya kenapa ibu-ibu terlalu obses mahukan anak yang putih. Barangkali pada kelahiran anak terdahulu ibu-ibu ini tertekan dengan komen yang menghina warna kulit anaknya. Atau mungkin melihat insiden seperti ini berlaku di depan mata.
Putih baru cantik. Putih baru comel.
Di Barat, walau kebanyakan mereka non-muslim, namun sudah meluas awareness tentang pentingnya anak rasa BANGGA dengan apa yang Tuhan berikan kepada mereka. Hargai walau apa jua warna kulit yang dimiliki.
Malah media mereka juga menominasi antara kanak-kanak yang tercantik di dunia ialah dari kalangan bangsa Nigeria berkulit hitam.
Sayangnya, kita di Malaysia ini masih ‘dijajah’ stigma, kulit putih baru cantik hinggakan anak-anak baru lahir pun terkena tempiasnya. Allah… menyedihkan.
Dunia hari ini.. secara tak langsung membuatkan anak-anak kita kejarkan sangat kecantikan luaran, kejar populariti untuk jadi instafamous. Hingga kadang sanggup buat hal-hal yang kita sewaktu di usia mereka untuk terfikir untuk buat pun!
Ada yang penampilan dah nampak tua 10 tahun dari usia sebenar pun. Sangat tak sabar nak jadi dewasa, nak kahwin. Kerana terpengaruh halusinasi video dan gambar romantik orang yang baru kahwin.
Tak percaya, sesekali lihatlah akaun media sosial anak remaja kita, siapa yang mereka follow, lihat bahasa komen-komen mereka pada akaun selebriti media sosial. Menjurus ke arah duniawi atau ukhrawi?
Hinggakan, maaf cakap, ada yang akhirnya hanya nampak matlamat hidup ini ialah untuk jadi cantik luaran, famous di media sosial dengan gambaran everly ever after marriage, perhiasan materialistik tetapi akhirnya terlupa tentang pembinaan jati diri, akhlak, adab dan al-haya’, Astaghfirullah.
Entah bagaimana saya hendak sampaikan semua ini dengan ayat yang lebih jelas. Bahawa sedar atau tidak antara runtuhnya nilai adab dan akhlak dalam golongan muda hari ini sedikit sebanyak berpunca dari kita sebagai ibu bapa dan masyarakat. Masyarakat di Malaysia khususnya.
Ibu-ibu, ajar anak kita, acknowledged segala pinjaman yang diberikan Allah dengan penuh santun. Jangan rosakkan muka dan tubuh badan dengan skincare dan suplemen yang terlarang semata-mata nak cantik.
Allah tidak lihat rupa paras, malah penghuni syurga yang mahsyur juga ada dalam kalangan orang berkulit hitam, itulah dia; Ummu Aiman dan Bilal ibnu Robbah. Ingatkan kisah Sayyidina Bilal, hamba abdi badwi yang walau beliau masih di dunia, tetapi sudah kedengaran bunyi langkahan tapak kakinya dalam syurga asbab amalannya yang tidak pernah meninggalkan solat sunat wudhu’. MasyaAllah…
Wajah yang cantik akan pudar seiring masa, yang tinggal hanyalah kecantikan iman. Walaupun kita touch up wajah dengan mekap paling mahal, balut tubuh dengan pakaian paling mahal di dunia, namun, di sisi Allah yang dinilai hanyalah keikhlasan dan ketaqwaan kita kepadaNya.
Insan yang bertaqwa insyaAllah akan masuk syurga bertemu Allah dan Rasul. Walau orang kata dia tak cantik. Masuk syurga nanti semuanya akan jadi muda remaja dan cantik.
Allahumma faqqihuma fiddeen, wa ‘alimhuma takwil.
Ya Allah, faqqihkan anak-anak kami di jalan agama, dan alimkan mereka ilmu takwil.
Amiin.