Tersimbah asid ketika masih kecil, gadis tidak pernah berdendam dengan ayah. Perselisihan faham antara ibu dan bapanya yang berlaku 14 tahun lalu sehingga menyebabkan wajahnya cacat kerana terkena percikan cecair dipercayai asid tidak membuatkan Nurul Dahyatul Fazlinda Mat Haizan berdendam dengan mereka.
Insiden yang tidak disengajakan oleh bapa dan ibunya masih segar dalam ingatan Nurul Dahyatul Fazlinda, 22, kerana parut itu kekal hingga kini.
Lebih menyedihkan apabila dia tidak mengetahui bahawa bapanya membawa pulang sebungkus plastik berisi cecair yang dicampurkan dengan minyak enjin motosikal.
“Saya tidak pernah pun berdendam dengan ayah. Selepas kejadian itu, mereka bercerai dan kami adik-beradik duduk dengan mak.
“Ayah dimasukkan ke dalam penjara disebabkan isu ini dan dibebaskan pada 2017. Waktu cuti sekolah dulu memang kami akan balik ke rumah ayah,” katanya ringkas ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.
Artikel lain: Anak Melecur Hampir Seluruh Badan Terkena Asid, Saluran Paip Sinki Jiran Meletup!
Gara-gara Enggan Bayar Sewa Pak Mat Bertindak Kejam Simbah Asid Pada Anak-anak Tuan Rumah
Anak Gadis Disimbah Asid, “Sudah 8 Kali Jalani Pembedahan Akibat 70% Badan Melecur…” – Bapa
Ujarnya, perkara tidak diingini itu berlaku sekelip mata apabila dia dan adik lelakinya, Mohd Irfan, yang kini berusia 16 tahun, cuba menjenguk untuk melihat keadaan ibu serta bapanya.
“Masa mereka bergaduh, kami ada di dalam bilik tetapi saya dan adik cuba menjenguk. Ayah pegang satu bungkusan plastik yang ada cecair di dalamnya.
“Ibu dan ayah cuba berebut bungkusan tersebut sehingga menyebabkan bungkusan plastik itu pecah dan kami terkena percikan cecair yang sebenarnya asid dicampur dengan minyak enjin,” ujarnya.
Akibat kejadian itu, dia mengalami cedera parah pada bahagian muka dan mata, manakala adiknya, Mohd Irfan dan ibunya, Che Ku Zaimah Che Ku Awang turut mengalami kecederaan.
Ditanya mengenai keadaannya yang terkini, Nurul Dahyatul Fazlida memaklumkan dirinya semakin pulih dari segi mental dan fizikal walaupun masih kurang keyakinan untuk berjumpa dengan orang lain.
Anak kedua daripada empat beradik itu berkata, dia kini sedang menjalani rawatan dengan pakar pembedahan plastik di sebuah hospital di Kuala Lumpur.
“Rawatan yang saya terima ini melibatkan pengisian lemak di hidung sebanyak empat kali supaya pembedahan plastik di hidung nanti berjalan lancar.
“Saya sukar bernafas sekiranya tengah demam atau selesema yang teruk,” jawabnya ringkas.
Orang ramai yang ingin menyalurkan bantuan boleh dibuat menerusi akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 1150041000040457 atas nama Nurul Dahyatul Fazlinda bagi meringankan beban terutama kos rawatan dan perjalanan yang terpaksa ditanggung untuk ke Kuala Lumpur dari Terengganu.
Sumber: Sinar Harian
Anak perempuan meningkat remaja. Nana Mahzan akui agak risau. Namun punya cara tersendiri didik anak. Paling penting kata Nana perlu banyak berbicara dengan anak perempuan. Berkongsi cerita sangat penting dan pastikan anak menghormati dan mendengar kata ibu ayah.