Tersadai Dua Jam Menunggu Air Pasang Ketika Operasi Menjadi Pengalaman Buat Nurul Adni

Share

Biar pun bukan mudah bagi seseorang wanita menggalas tanggungjawab sebagai salah seorang anggota badan beruniform, tetapi ianya sama sekali tidak mematahkan semangat Nurul Adni Che Omar, 31 tahun.

Malahan dirinya meletakkan tanggungjawab itu sebagai cabaran utama dalam menjalankan tugasnya sebagai Laskar Kanan Maritim dalam Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Menurutnya segalanya bermula sejak di bangku sekolah menengah. Kala itu, wanita ini aktif dalam unit beruniform iaitu Kadet Bersatu Malaysia (Laut). Minat yang mendalam ketika di sekolah membuatkan dia memasang angan-angan untuk bergelar anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) setelah tamat belajar kelak.

Namun rezekinya bukan bersama TLDM sebaliknya bersama APMM. Bagi empunya diri, tidak kisahlah badan uniform apa sekali pun, sebaliknya kesediaannya untuk menjalankan amanah yang diberikan. Paling penting jua, seluruh ahli keluarga menyokong minatnya untuk menyertai APMM.

Dalam diam tak diam, kini hampir 12 tahun Nurul Adni bersama APMM atau Maritim setelah memulakan tugas pada bulan Januari 2007. Ibu beranak tiga ini awalnya  ditugaskan di Daerah Maritim 4 Klang, Selangor ( kini dikenali Maritim Negeri Selangor)

“Ketika mula-mula melapor diri di unit yang ditugaskan, perasaan ini memang bercampur baur.  Bayangkanlah staf baru, nak buat kerja pun kekok. Tidak dinafikan pada peringkat awal, saya ambil masa untuk sesuaikan diri dengan suasana baru. Mujur ada rakan sama yang batch melapor diri di unit sama.

“Kenangan manis terlalu banyak, tetapi paling saya tak boleh lupa apabila kami “grounded” di satu kawasan ketika keluar operasi dengan bot kilat. Kami tersadai hampir dua jam kerana perlu menunggu sehingga air pasang kerana bot tidak mampu bergerak. Walaupun kelam-kabut tetapi ianya pengalaman yang manis apabila kenangkan masing-masing muka menjadi gelap kerana terpaksa menahan panas.

“Sebagai anggota badan uniform, kadang-kadang kita perlu akur dengan arahan daripada pihak atasan. Kenangan pahit adalah apabila saya terpaksa tinggal berjauhan dengan suami dan anak-anak pada tahun 2012.

“Masa tu saya ditukarkan ke Ibu Pejabat Maritim di Putrajaya. Suami pulak perlu balik kampung atas masalah tertentu.  Lebih mudah, anak ikut suami balik ke kampung untuk memudahkan saya. Tetapi sedihnya saya tinggal sendirian, tetapi alhamdulilah lama-kelamaan segalanya berjalan dengan lancar,” jelas Nurul Adni satu persatu.

Disiplin Yang Tinggi

Tambah Nurul Adni, perkara utama yang membuatkan kita disenangi ramai adalah menerusi sikap yang kita pamerkan. Apa tugas sekali pun, jika kita tidak biasa dengannya sudah tentu akan membuatkan setiap dari kita merasa janggal.

Nurul Adni bersyukur dirinya seorang yang suka bertanya dan cepat mesra. Oleh itu, dirinya tidak memerlukan masa yang lama untuk menyesuaikan diri. Rakan sekerja tidak kiralah anggota dan pegawai juga memang banyak membantu Nurul Adni dalam menjalankan tugas setiap hari.

“Sebenarnya menurut pandangan saya sendiri, tiada perubahan sangat anggota maritim yang junior.  Mereka kebanyakannya telah dilatih dengan baik oleh jurulatih.  Oleh itu, tiada istilah manja atau sukar disuruh-suruh.

“Perlu diingat, menjadi anggota badan beruniform ini memang memerlukan disiplin yang tinggi dan perlu patuh arahan dari pegawai atasan.  Sama ada anda pengawai atau anggota, anda perlu akur. Kalau ada yang bermasalah mungkin berpunca daripada sikap mereka sendiri.

“Saya sendiri setelah lama bergelumang dengan Maritim, tanpa saya sedar tugas saya mendidik saya menjadi seorang yang berani,  berdisiplin tinggi dan hormat. Sikap ini bukan sahaja ketika menjalankan tugas, malah diaplikasikn dalam kehidupan harian saya setiap masa.

Cabaran Dalam Tugas

Tidak semua ahli masyarakat memahami bidang tugas badan beruniform, Nurul Adni sendiri menghadapi konflik ini. Kadang-kadang dalam menjalankan tugas, wanita berasal daripada utara tanah air ini dipandang serong seolah-olah menyalahgunakan kuasa.

“Tolong faham bahawa kami hanya menjalankan tugas yang telah diberikan.  Kadang-kadang ada sahabat,  jiran tetangga dan kaum keluarga yang ditahan akibat melakukan kesalahan di laut, kami terpaksa mengikut prosedur kerana  kami hanya menjalankan tugas yang diamanahkan.

“Selain itu sebagai maritime, cabaran utama adalah apabila kami diperlukan di lapangan tak kira masa dan keadaan.  Saya perlu sentiasa siapsiaga dalam masa yang sama harus seimbang tugas sebagai isteri dan ibu,” katanya yang berharap dapat terus menjalankan tugas dengan baik.

 

Published by
Syazwani Mehat