Hidayah itu milik Allah, namun ia perlu dicari dan bukan dinanti. Malah hidayah juga datang dalam pelbagai cara seperti yang dilalui oleh Nur Amira Ann Lee Abdullah, 32 tahun. Bermula dengan rasa ingin tahu yang mendalam tentang Islam membuatkan anak kelahiran Seremban, Negeri Sembilan mulai mendekati agama Islam.
Di fikiran Nur Amira adalah lebih baik dia mencari ustaz atau orang yang lebih arif untuk mengetahui tentang agama Islam. Oleh itu, dirinya mengambil keputusan untuk ke Pusat Islam. Rezekinya barangkali, dia diajak untuk mengikuti kursus yang dianjurkan oleh Pusat Islam kepada saudara baru dalam tempoh lima hari.
“Walaupun pada awalnya saya kurang percaya untuk ikuti kursus tersebut kerana ketika itu masih belum bergelar muslim, tetapi segalanya ada hikmahnya. Selepas tiga hari menjalani kursus tersebut, saya telah mengetahui pelbagai perkara tentang Islam. Saya banyak bertanya itu dan ini tentang apa yang sangsi tentang Islam.
“Segala kekeliruan saya mulai terjawab, sepatutnya pada hari keempat saya perlu bekerja keranasaya hanya mengambil cuti selama tiga hari sahaja. Oleh kerana rasa ingin tahu dan keseronokan dengan ilmu baru saya dapat, saya habiskan kursus selama lima hari itu.
“Selepas seminggu, saya ambil keputusan untuk mengucapkan dua kalimah syahadah. Memang terlalu cepat, tetapi apa yang saya takut ketika itu jika saya berlengah lagi, saya tak sempat peluk Islam bagaimana pula nasib saya,” ungkapnya yang memeluk Islam pada 18 November 2009 ketika berusia 22 tahun.
Sesungguhnya bukan mudah buat Amira untuk menerangkan tentang niatnya untuk memeluk agama Islam kepada ahli keluarga terutamanya ibu tercinta. Apatah lagi Amira merupakan anak “mak” dan dia sangat rapat dengan ibunya. Segala-galanya dia berkongsi dengan ibu, jadi apabila ibunya tidak merestui keputusan membuatkan Amira jadi pilu.
Menurutnya, seumur hidup dia tidak pernah mengingkari perintah atau arahan ibunya tetapi saat memeluk agama Islam, dia terpaksa melukakan hati ibunya yang sangat dia sayangi.
“Saya memang sendirian ke pejabat agama Islam untuk mengucap syahadah. Sebelum saya keluar rumah, saya beritahu perkara sebenar dan ibu saya terus menangis. Saya juga sedih kecilkan hati mak ketika itu tetapi saya terpaksa juga lakukan tindakan ini kerana percaya tindakan saya betul.
“Saya juga terangkan kepada mak bahawa Islam bukanlah apa yang kami fikirkan selama ini. Saya janji dengan mak yang saya memang tidak akan berubah, saya tetap anaknya. Cuma agama sahaja yang berubah.
“Tidak dinafikan pada peringkat permulaan, muncul beberapa masalah seperti isu makan, tempat solat dan mengenakan hijab. Ia memakan masa lapan tahun untuk saya terangkan agar mak faham dan tidak memandang serong tentang Islam. Ia bukan satu hal yang mudah buat saya,” jelasnya lagi.
Tambah Amira dugaan terbesar buatnya setelah bergelar seorang Muslimah adalah dalam mengenakan hijab. Kakaknya sendiri menyoal itu dan ini apabila dia perasan ada sahaja muslim yang tidak mengenakan hijab dan mengapa pula perlu berhijab padahal baru menganut Islam.
Dalam masa yang sama, Amira tahu betapa berdosanya dia jika tidak mengenakan hijab, akhirnya Amira tekad mengenakan hijab setelah menerangkan bahawa apa yang Amira lakukan adalah menurut ajaran Islam dan bukannya mengikut orang.
Menurut Pensyarah di Admal Aviation College ini lagi, setelah mengucapkan syahadah, dirinya telah mengikuti pelbagai kelas untuk mendalami ilmu agama antaranya kelas fardhu ain, bengkel solat, bengkel menguruskan jenazah yang dianjurkan untuk saudara baru oleh Majlis Agama Islam, Negeri Sembilan.
“Masa awal-awal dahulu, saya memang banyak ikuti kelas yang dianjurkan, maklumlah banyak perkara yang masih saya jahil serta tidak tahu. Alhamdulillah kini hanya sesekali saya mengikuti majlis agama kerana semua kelas asas telah saya ikuti.
“Sudah tentu, menjadi harapan terbesar saya untuk melihat salah seorang ahli keluarga saya mengikut jejak langkah saya menganut agama Islam terutamanya mak saya. Setiap hari saya pasti berdoa dan saya juga harapkan semua pembaca Mingguan Wanita mendoakan ibu saya mendapat hidayah.
“Selain itu, harapan untuk diri saya untuk menjadi seorang Muslimah yang lebih baik. Saya juga tanam niat untuk menjadi lebih baik dari semalam. Dalam masa yang sama, saya memasang impian untuk melahirkan pendakwah satu hari nanti yang mampu berbahasa mandarin bagi memudahkan kefahaman di kalangan bangsa Cina tentang Islam.
“Oleh sebab itu saya dengan bantuan rakan baik saya membuka tadika Islam Mindacerah Mandarin untuk melatih khalifah kecil dalam berbahasa Mandarin dan suatu hari mereka mampu berdakwah dalam bahasa Mandarin,” ungkapnya Amira satu-persatu.