Terkesan sungguh membaca secebis perkongsian yang dikongsikan Lutfi Lokman ini. Beliau merupakan ayah kepada 5 orang anak yang dahulunya terlalu sibuk mengejar kerjaya, sangat kurang masanya dengan anak-anak untuk melihat perkembangan dan proses pembesaran mereka.Segalanya urusan anak-anak diserahkan kepada isteri, sehinggalah sampai satu peringkat, dia menerima berita yang berjaya mengubah dirinya. Rentetan kisah tersebut, membuatkan dia muhasabah diri, menyesal dan menangis di atas kesilapannya yang terlalu fokus pada kerjaya.
ADA APA DENGAN ANAK?
Petang tadi ketika dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur, isteri saya bertanya, “Saya lihat awak sekarang banyak habiskan masa dengan anak-anak. Tak pemarah seperti dahulu. Anak nakal pun, awak peluk anak. Cakap elok-elok. Kenapa ya?”
Saya ketawa. Saya tidak menjawab kerana jawapan itu terlalu panjang untuk diceritakan.Perjalanan dari Port Dickson menuju ke Kuala Lumpur agak tenang. Kecuali ketika tiba di Bangi, ada sedikit kesesakan. Biasalah, Bangi kan bandaraya. Mesti perlu sibuk. Kami menghabiskan masa di Port Dickson untuk melihat pantai. Maklumlah, orang Terengganu ni memang suka pantai dan laut. Maka, tempat terdekat boleh kami berkunjung ialah Port Dickson. Nak pergi Pantai Dalam macam tak berapa kena.
….
Setiap hari, anak-anak dan saya akan bertemu pada waktu mereka telah hampir lena. Atau ketika solat subuh berjemaah. Itu sahaja. Waktu solat subuh, nak berbual apa sangat? solat pun sebelah mata terpejam. Selain itu, mereka akan keluar awal untuk ke sekolah dan kami jarang bertemu waktu matahari masih ada. Saya pulang lambat dari pejabat hampir setiap hari. Anak pula sudah tidur awal.
Pada hari minggu, saya berniaga ke pasar dan pulang ketika senja. Hanya ada waktu malam. Itu pun penat dan keletihan telah menguasai diri. Silap berbual, kena marah. Apalah sangat yang boleh didapati oleh si kecil ini semua.
Segala-galanya berubah apabila saya mendapat berita tentang anak sahabat saya Ustaz Nazri Mansor disahkan menerima Brain Tumor. Baca Disini:
Siapa sangka. Anak yang sihat, yang cergas, yang ceria tiba-tiba terlantar di hospital dan sudah tidak seriang dahulu.Saya sangat terkejut dan bersimpati. Namun, saya bersyukur kerana Tuhan menghadirkan Syamil untuk kita semua sedar tentang sesuatu.Tentang kasih seorang ayah terhadap anak-anak. Tentang nilai seorang anak buat ibubapa.
Berita ini benar-benar memukul jiwa seorang ayah. Saya memandang kesemua wajah anak saya yang dahagakan kasih sayang seorang ayah namun mereka hanya mampu menerimanya sebentar sahaja. Kadangkala apa yang diterima hanyalah kemarahan dan pukulan kecil kerana kenakalan mereka.
Ramai yang menasihati saya agar jangan terlalu mengejar kerjaya. Jangan terlalu meletakkan kerjaya sebagai priority utama. Ini juga nasihat emak kepada saya. Saya tidak hiraukan. Bagi saya, saya perlu fokus pada bina syarikat dan kerjaya. Anak-anak nombor empat dan lima.
“Mak tengok Pi ni stress sangat fikir pasal kerja. Hutang. Nak cari duit. Lihat sama anak dan isteri. Itu semua aset kita. Aset berharga dunia dan akhirat. Jika Pi tak lihat itu semua aset, Pi lihat itu semua amanah Allah beri. Untuk didik dan pelihara dengan baik. Jangan sampai waktu, anak dah besar dan sudah keras kepala. Kita terlepas semua moment mereka waktu kecil. Waktu masih lembut. Waktu masih boleh terima kata. Menyesal tak sudah nanti,” amanat emak diberikan kepada saya pada suatu hari yang baik ketika kami di Terengganu.
Emak menyuarakan kebimbangan apabila melihat saya hanya menumpukan pada kerja sehingga tidur pun bermimpi kerja. Berbual pun berkisar pada kerja. Namun, tiada apa yang berubah dalam hidup dan kerjaya. Malahan, semakin penat kerana mengejar sesuatu yang tidak pasti. Pasti ada sesuatu yang tidak kena. Ujar emak.
Sesungguhnya, saya pernah murung dan berubah tingkah laku kepada seorang yang pemarah ketika dilanda masalah pekerjaan tempohari. Saya tidak dapat berfikir dengan baik. Kesabaran saya sangat tipis. Dengan anak-anak lagilah teruk. Mereka langsung tidak berani bersuara dengan saya. Akibat yang diterima sangat sakit.
Saya pernah jatuh terduduk. Keluarga pun sudah berhempas-pulas memberikan bantuan sehingga tiada apa yang dapat diberi kecuali kata semangat dan jangan putus asa. Saya pernah merayu di FB untuk bantuan daripada para sahabat. Boleh baca di sini:
Alhamdulillah. Hasil bantuan semua, kata-kata semangat dan sokongan, saya bangkit kembali. Saya cuba bangun.Melihat kepada anak-anak. Saya lihat sinar dalam mata mereka. Benar. Perkara yang lepas jangan dikenang.
Saya sudah terlepas beberapa saat indah bersama mereka. Saya jarang luangkan masa untuk mendengar cerita dan permainan yang telah mereka ciptakan. Saya tidak mengenali rakan-rakan sekolah mereka. Saya tidak tahu cerita kejayaan peperiksaan mereka. Tahukah anda, Basmah mendapat 100% dalam ujian Pendidikan Islam? Naseem mendapat 96% dalam beberapa mata pelajaran. Saya tidak tahu sehingga pada suatu hari perlahan-lahan mereka bawa kertas ujian dan maklumkan pada saya ada benda nak cerita dengan Baba.
“Apa dia?” soal saya keras. Tangan masih memegang dokumen dan kertas kerja.
Lalu si comel ini menunjukkan kertas ujian masing-masing. Kecuali Waseem. Saya menangis kerana saya tidak pernah mengajar mereka untuk menghadapi peperiksaan tersebut. Segalanya saya serahkan kepada isteri bagi menguruskan anak-anak. Saya langsung tidak mempunyai masa dan tidak tahu waktu bila anak saya ada ujian sekolah.
Teruk betul diri ini.
Malam tadi pula, saya melihat Hanaan dan Haneen (kembar) bermain bersama mereka. Bermain mangkuk dan gelas yang dibelikan oleh nenek mereka. Sungguh comel dan tanpa saya sedari, mereka telah boleh berbual sesama sendiri dalam bahasa yang saya fahami.
Ya Allah. Apa jadi pada aku ni?
Anak membesar pun saya tidak peduli. Anak boleh bercakap pun saya tidak sedar. Saya tidak tahu! Tahukah anda, saya kadang-kadang confuse dengan si kembar ini. Tidak tahu mana satu Hanaan dan Haneen. Asyik bertukar ketika panggil. Walhal umur mereka sudah hampir 3 tahun!
Perkara-perkara ini membuatkan saya menangis. Menangis dan menangis. Menyesal di atas kesilapan saya yang terlalu fokus pada kerjaya. Padahal, rezeki itu bukan terletak pada usaha kita. Ia adalah kurniaan Tuhan pada hambaNya siapa sahaja yang Dia ingin berikan. Untuk itu, saya sudah berjanji akan menumpukan perhatian pada anak-anak yang merupakan amanah daripada Tuhan kepada hambaNya. Bila-bila masa sahaja, amanah ini boleh direntap dan diambil.Ada orang menginginkan anak walau seorang. Yang kita ni, Tuhan kurniakan sampai 5 orang anak boleh pula sia-siakan.
Sedangkan ketika berumur lima dan enam tahun pun saya masih lagi teringat dengan jelas memori indah ayah dan emak sama-sama membuatkan kapal terbang polisterin kepada saya lalu kami bermain di taman. Inikan pula anak-anak yang sudah mencecah 11 tahun.
Ya Allah. Ampunkan dosa kami, ibubapa yang kadang-kadang terlupa tentang tanggungjawab dan amanah ini. Pelihara lah anak-anak kami ini. Masukkan iman dan taqwa dalam diri mereka. Penuhi lah diri kami dan keluarga dengan kasih sayang dan harmoni. Wujudkan lah ikatan mesra antara kami satu sama lain. Pandu lah kami ke arah keluarga yang diredhai oleh Mu Ya Allah. Jadikan lah kami serta anak-anak ini pembela agama Mu Ya Allah.
Kurniakanlah rezeki memiliki anak kepada sahabat-sahabat kami yang ingin menimang cahaya mata. Agar mereka juga dapat merasai kebaikan daripada zuriat mereka sendiri.
Terimalah doa kami ini Ya Allah. Ya Razzaq.
Amin.
Itulah jawapan saya kepada isteri. Panjang kan? Nanti dia ingat saya berleter pada dia pula. Maka saya memilih untuk menjawab di sini sahaja.
Share sahaja jika mahu.
Ikhlas,
Lutfi Lokman
EPL TRAVEL AND TOURS.
Semoga perkongsian ini bermanfaat. Sebenarnya ia juga satu peringatan buat kita. Ramai mak ayah yang terlalu sibuk bekerja dan tanpa sedar terlepas momen penting, pembesaran anak-anak sewaktu mereka kecil. Semoga ia dapat ‘menjentik’ hati kita, agar jangan alpa dan terlalu fokus dalam mengejar kerjaya. Nikmatilah saat anak-anak membesar, hargailah setiap masa bersama mereka.
Sumber: Lutfi Lokman