Tempoh kuarantin, mempunyai lebih banyak masa bersama didalam rumah seharusnya dapat mengeratkan lagi hubungan suami isteri dan keluarga. Namun demikian, entah dimana silapnya dalam tempoh tersebut juga boleh meruntuhkan rumahtangga yang dibina.
Selepas lebih empat bulan ‘berperang’ menangani penyebaran COVID-19 dan dua bulan melalui perintah berkurung, negara China kini berdepan dengan peningkatan pasangan yang memohon perceraian.
Menurut laporan, terdapat ramai pasangan suami isteri di bandar besar seperti Xi’an, Dazhou dan Tongchuan di China telah memohon untuk memfailkan perceraian.Ia dikatakan berlaku gara-gara penguatkuasaan perintah kuarantin dalam usaha mengekang penularan wabak penyakit Koronavirus-2019 atau COVID-19.
Cecah Had Maksimum
Memetik laporan Daily Mail, sebuah pejabat pendaftaran di Dazhour, Wilayah Sichuan, menerima lebih 300 permohonan bercerai dalam tempoh tiga minggu sehingga 13 Mac 2020.
Di Xian, antara destinasi pelancongan popular di China dalam Wilayah Shaanxi, juga menyaksikan permohonan perceraian meningkat sejak ia dibuka semula pada 1 Mac.
Sebuah pejabat pendaftaran di Xian menerima 14 permohonan sehari, mencecah had maksimum yang dibenarkan. Malah ada pejabat pendaftaran kini menetapkan akan hanya menerima tidak lebih 10 permohonan perceraian dalam sehari berikutan jumlah permohonan yang meningkat.
Pengurus Pejabat Perdaftaran Perkahwinan Dazhour, Wilayah Sichuan, Lu Shijun memberitahu, 300 pasangan mendaftarkan perceraian sejak 24 Februari hingga 13 Mac 2020. Ini merupakan angka pendaftaran tertinggi bagi sesebuah pejabat pendaftaran.Menurut Lu, angka permohonan perceraian ini naik mendadak dibandingkan dengan sebelum merebaknya COVID-19.
2 Sebab Utama
Menurut beliau mungkin terdapat 2 sebab utama yang mengakibatkan berlakunya perkara ini.
Pertama, Pejabat Pendaftaran Perkahwinan baru sahaja dibuka semula selepas ditutup buat sekian waktu untuk mematuhi perintah lockdown di negara China.Permohonan yang mungkin hendak dibuat lebih awal, tetapi tidak dapat dilakukan kerana pejabat-pejabat pendaftaran ditutup hampir sebulan ketika penularan COVID-19 berada di kemuncak.
Kedua, ramai pasangan China dikatakan menuntut cerai akibat dari kuarantin yang terlalu lama sekali gus mencipta pelbagai drama dan konflik dalam rumah tangga mereka.Menghabiskan banyak masa bersama di rumah bukan sahaja menjadi jemu tetapi juga mewujudkan suasana tegang, sering bergaduh walaupun mengenai perkara-perkara kecil dan remeh. Akibatnya mereka memilih untuk bercerai, ujar Lu.
Baca Lagi Di Sini: COVID-19:Pertama Kali China TIADA Kes Jangkitan Baru, Hantar Bantuan Ke Malaysia
MW: Tak sangka kuarantin terlalu lama, suami isteri banyak masa di rumah pun boleh jadi punca bercerai. Apa-apa pun, pasangan suami isteri kena bijak luangkan masa bersama-sama, lakukan aktiviti yang boleh mengeratkan hubungan dan kemesraan di rumah. Paling penting saling bertolak ansur dalam tempoh ini.
Sumber: Daily Mail
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI