Berita terkini, kanak-kanak 11 tahun yang berkahwin dengan peraih getah berusia 41 tahun, kini hanya mampu menahan rindu terhadap suaminya itu apabila dia kini ditempatkan di Pusat Kebajikan Thailand, sejak awal bulan ini.
Ibunya, Aminah Itam, 47, mengakui anaknya yang dipanggil Ayu itu amat merindui dan mahu menemui suaminya tapi tidak dibenarkan pihak berkuasa Thailand.Aminah berkata, Ayu hanya dapat menatap wajah suaminya dalam telefon bimbitnya.
Katanya, Ayu kini berada di Pusat Kebajikan Thailand, tidak jauh dari pekan Sungai Golok dan hanya boleh dikeluarkan selepas berumur 18 tahun.
Aminah yang juga warga Thailand, berkata dia dan suami juga ditempatkan di pusat kebajikan itu dengan semua perbelanjaan makan dan minum ditanggung kerajaan Thailand.
“Kami hanya menemani Ayu untuk tempoh beberapa bulan saja dan kerajaan Thailand berjanji untuk menyediakan peluang pekerjaan kepada saya dan suami.
“Mungkin selepas ini kami akan tinggal di Thailand dan berhenti mengambil upah menoreh getah di negara ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Panggong Lalat, di sini, hari ini.
Beliau pulang ke rumah sewanya pagi tadi untuk mengambil semua barangan serta pakaian untuk dibawa pulang ke Thailand.Aminah akan pulang ke Thailand semula petang ini kerana pihak berkuasa negara itu tidak membenarkannya memasuki Malaysia bagi tempoh lama.
Pada 18 Jun lalu, kisah perkahwinan Ayu dan peraih getah itu menjadi viral selepas isteri kedua lelaki itu mendedahkan perkara itu di dalam laman sosial Facebook.
Berikutan itu, lelaki terbabit yang tinggal di Kampung Lalang, Kuala Betis, sudah didakwa di Mahkamah Rendah Syariah Gua Musang atas dua tuduhan baru-baru ini.
Peraih getah itu kemudian didakwa di Mahkamah Rendah Syariah Gua Musang atas dua tuduhan iaitu berkahwin dan berpoligami tanpa kebenaran. Dia kemudia dikenakan hukuman denda RM1,800 bagi kedua-dua kesalahan itu.
Semoga keputusan yang dibuat ini adalah yang terbaik demi masa depan kanak-kanak ini.
Sumber: bharian