Jocelyn Chia Bukan Lagi Warganegara, Kerajaan Singapura Mohon Maaf

Share

Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya. Terbaru, Kerajaan Singapura memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia berikutan tindakan melampau pelawak yang berasal dari negara itu, Jocelyn Chia.

Tidak Mencerminkan Pandangan Singapura

Menurut Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia, Vanu Gopala Menon, beliau sangat terkejut dengan komen-komen menyinggung yang dibuat oleh Jocelyn dalam sebuah pementasan komedi berdiri baru-baru ini.

“Kerajaan Singapura tidak boleh menerima sebarang kata-kata atau tindakan yang boleh mencetus kemudaratan atau menyinggung perasaan orang lain dan Jocelyn, yang tidak lagi memegang kewarganegaraan Singapura, sama sekali tidak mencerminkan pandangan kami.

“Saya dengan ikhlas memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia atas kata-kata yang menyakitkan daripada dia,”

kata Vanu Gopala dalam satu kenyataan pada Rabu.
Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia, Vanu Gopala Menon

Lawak Melampau Memperlekeh & Menghina Malaysia

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan pelawak yang berasal dari Singapura, Jocelyn yang memperlekeh dan menghina negara menerusi persembahan komedi berdirinya disifatkan sebagai melampau oleh netizen.

Lebih mengejutkan, wanita berkenaan turut menggunakan tragedi kehilangan pesawat MH370 sebagai modal jenaka sehingga menimbulkan kemarahan warganet.

Menerusi video tular berdurasi satu minit 29 saat yang dimuat naik di laman sosial TikTok, pelawak itu menyifatkan pembangunan Malaysia jauh ketinggalan berbanding Singapura yang bergelar negara maju selepas lebih 40 tahun berpisah dari Tanah Melayu.

Rosakkan Keharmonian 2 Negara

Dalam masa sama, Vanu Gopal berkata, sebagai jiran terdekat, Singapura dan Malaysia menikmati hubungan yang kukuh dan di pelbagai peringkat, dengan ikatan yang cukup mendalam.

“Kita juga mempunyai hubungan sejarah yang unik dan hubungan yang erat antara rakyat dengan rakyat.

“Komen-komen seperti yang dibuat oleh Chia tidak membantu dan merosakkan kepercayaan dan persahabatan rapat yang dinikmati oleh kedua-dua negara dan rakyatnya,” tegas Vanu Gopal lagi.

Mesti Baca: Jocelyn Chia Dah Tutup Akaun Di Media Sosial, Koyak Dengan Kecaman Warga Malaysia
Baca Lagi Di Sini:Membebel, Buat Lawak Tak Kelakar, Itulah Cara Isteri Meluah Rasa, Layan Sajalah Wahai Suami

Mingguan Wanita: Terlajak kata memang buruk padahnya. Sebelum nak berkongsi pandangan di depan khalayak ramai, fikir dulu kesan baik dan buruknya. Bukan semua perkara boleh dijadikan lawak. Perlu ada batasannya.

Sumber: Astro Awani

Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE Mingguan Wanita untuk dapatkan info dan artikel-artikel terkini serta menarik.

Published by
Suhaidah Abd Wahab