Adik beradik terkahwin sesama sendiri angkara ayah, peguam syarie dedah bahaya kahwin senyap-senyap. Ramai suka mengambil risiko bernikah secara senyap di Selatan Thailand dan luar negara.
Ada banyak sebab mengapa situasi ini terjadi. Antara kebiasaannya ialah, cinta tak direstui keluarga, isteri pertama tak beri kebenaran berkahwin, sudah mengandung luar nikah termasuk hal-hal lain.
Peguam syarie, Tuan Fahmi Ramli telah mengupas BAHAYA kahwin senyap-senyap di luar negara seiring dengan kisah drama Lelaki Itu yang kini sedang trending di kaca tv. Ikuti sebab kenapa kahwin secara senyap tidak digalakkan dalam Islam dan sudut perundangan syariah negara. Juga kisah apa akan jadi jika perkahwinan itu dikurniakan anak.
Ikuti kupasannya.
Siapa tonton drama TV3 tajuknya Lelaki Itu lakonan Dato Adi Putra, Che Puan Sarimah Ibrahim, Fazura, dan ramai lagi. Trending juga drama ni sekarang. Tapi ye la, ada juga orang cakap jarang dah tengok drama di TV. Takpe, kita sama. Saya pun layan kat online saja.
Drama ni menarik dengan pelbagai isu kekeluargaan yang biasa dikendalikan oleh Peguam-peguam Syarie dan mungkin ada dikalangan anda yang membaca ini juga tahu perkara ini berlaku dikalangan anda.
Saya tak nak ulas tentang curang ke, faraid ke, Fazura kena pukul tapi boleh bertahan banyak kali dengan suami sebelum fasakh dalam kes tersebut.
Saya tertarik dengan isu Perkahwinan Adik-beradik sebapa antara Khairullah (Aedy Asyraf) dan Batrisya (Hannah Delisha). Ini isu besar yang semua orang patut buka mata dan tahu kenapa saya paling tak suka orang kahwin senyap-senyap.
Mereka pasangan muda yang berkahwin lari (di London sebab belajar disana tak dapat restu keluarga perempuan), dapat tahu yang mereka adalah adik-beradik Sebapa (satu bapa, lain ibu). Emosi satu hal, yang lebih berat kalau dah beranak-pinak lagi jemmmm.
Ada beberapa isu yang saya akan terangkan.
Macam mana boleh jadi Poligami senyap-senyap?
Cara orang nak poligami ni sebenarnya secara betul, pihak lelaki perlu memfailkan permohonan Poligami di Mahkamah Tinggi Syariah dan dapatkan kebenaran Hakim bukan kebenaran isteri pertama. Jadi, boleh jadi isteri pertama datang untuk bersetuju atau mungkin tak setuju dan lalui proses bicara.
Teapi, kalau si suami tu tipu alamat rumah isteri pertama, dan kemudian notis dihantar ke alamat yang salah atau suami guna apa jua helah untuk tidak memberitahu isteri, kes mungkin berjalan secara sebelah pihak jika penyampaian saman telah disempurnakan.
Ini yang kadangkala terjadi di Mahkamah. Isteri tak tahu suami ada naik Mahkamah dan dapat perintah Poligami. Tapi perlu ingat, memberi maklumat atau keterangan palsu adalah dikira kesalahan dan boleh dikenakan hukuman Denda atau Penjara atau kedua-duanya.
Apa yang selalu terjadi bab kahwin senyap ni?
Paling common, nikah di Sempadan Thailand dan balik Malaysia tak buat Pengesahan di Mahkamah Syariah. Ada juga yang balik Malaysia buat pengesahan, tapi isteri tak dimaklumkan.
Saya selalu cakap sebelum ini, kesan yang paling teruk kahwin senyap ni, adalah kepada WANITA. Betul, jujur saya cakap. Kalau tak buat pengesahan, kesannya pada wanita dari segi pusakanya, dari segi kelahiran anak yang tak boleh dinasabkan kepada bapanya dan pelbagai lagi.
Macam mana boleh tak tahu satu bapa?
Dalam drama itu, tak tahulah bagaimana Nabila Huda kahwin senyap-senyap dengan Dato Adi Putra tu. Katanya kahwin atas sebab kesiankan nasib Nabila kemudian terus tinggalkan tanpa berita dah cerai atau tidak.
Kalau mereka berkahwin secara sah, cuma tak diberitahu, mungkin anak-anak yang kahwin akan dapat tahu mereka adik-beradik bila diminta Sijil Nikah ibu ayah di Pejabat Agama. Samalah kalau Nikah Siam pun, pejabat agama akan mintak buat pengesahan di Mahkamah dulu sijil nikah mak ayah.
Masalah timbul bila anak-anak yang kahwin ni pun kalau kahwin senyap-senyap di luar negara tanpa melalui prosedur perkahwinan luar negara. Asal cukup Rukun jer nikah ni. Tapi tak semak pun Syarat Sah Nikah.
Tambah pula yang tak siasat latar belakang family. Terus berkenalan, bercinta dan nak kahwin saja. Sebab tu Islam suruh taaruf betul-betul sebelum nikah.
Apa perlu buat kalau dah ‘terkahwin’ dan tersetubuh tanpa sengaja?
Kalau dah berkahwin, mereka tak boleh sebut cerai sebab cerai hanya untuk orang yang nikahnya sah. Tapi, kalau pernikahan sebegini berlaku, namanya Nikah Fasid, iaitu pernikahan yang tidak sah dari segi syarat sah nikah.
Haram hukumnya seorang lelaki berkahwin dengan saudara perempuan seibu sebapa, sebapa atau seibu. Ada pertalian darah dan nasab disitu. Kalau diteruskan juga, sepanjang hidup akan terus hidup dalam perzinaan.
Jadi, mereka perlu buat Permohonan Faraq Nikah di Mahkamah Syariah, iaitu mohon untuk membatalkan perkahwinan ini, dan mohon ampun serta bertaubat atas ketidaksengajaan isu ini.
Bagaimana kalau ada anak atau cucu hasil pertubuhan yang tidak sah ini?
Anak yang lahir daripada perkahwinan tidak sah ini tidaklah dianggap sebagai Anak Tak Sah Taraf. Tapi, namanya adalah Anak Wati’ Syubhah atau persetubuhan yang diragui.
Dari sudut undang-undang dan Hukum Syarak, anak-anak itu boleh dibin atau binti kepada bapanya serta mewarisi pusaka dan perwalian kerana mereka dianggap sebagai Anak Sah Taraf.
Enakmen Keluarga Islam Selangor 2003
Sek. 114. Persetubuhan syubhah
Jika seorang lelaki melakukan persetubuhan syubhah dengan seorang perempuan, dan kemudiannya perempuan itu melahirkan seorang anak dalam tempoh antara enam bulan qamariah hingga empat tahun qamariah selepas persetubuhan itu, maka lelaki itu hendaklah disifatkan sebagai bapa anak itu.
Kesimpulan:-
Saya perlu juga memberi kredit kepada Penerbit dan Pengarah Drama ini kerana membawa satu penceritaan yang boleh memberi nilai ilmu kepada masyarakat. Bosan juga kalau drama asyik cintan cintun saja. Masyarakat tak belajar sesuatu.
Pengajaran paling besar yang saya nak follower semua belajar adalah ‘Jangan Kahwin Senyap-senyap’. Kalau boleh jangan terfikir langsung nak buat macam tu. Fikirkan kesan jangka panjang.
Kalau ada yang baca ni dah terkahwin senyap-senyap, jangan tunggu pasangan dah mati baru nak buat pengesahan. Menyesal nanti.
BACA ARTIKEL MENARIK DI SINI :- Gadis 15 Tahun Diberi Vape Khayal, Lelaki Mengaku Perkosa Remaja Bawah Umur Lepas Beri Rokok Elektronik
Pergi Ke Luar Negara Bawa Emas, Sesak-sesak Boleh Jual Jadi Duit
“Tak Sabar Nak Rehat, Beli Makanan” Kantin Sekolah Ala Cafe, Tarik Perhatian Murid, Terbaik!
Ibu Usung Jenazah Anak Dalam Senyuman, Bahagia Syahid Dalam Perjuangan Di Palestin