Terjaga Tengah Malam, Bacalah Doa Ini Insya Allah Segala Hajat Dimaqbulkan

Share

Lumrah menjadi mak-mak selalu terjaga daripada tidur pada waktu tengah malam demi menguruskan anak-anak. Baik anak mahu menyusu, tukar lampin, anak terjaga tak mahu tidur dan sebagainya. Peluang yang ada, terjaga pada waktu tengah malam ini sebaik-baiknya jangan disia-siakan. Ini kerana pada waktu tersebut paling afdhal menunaikan solat sunat tahajud namun demikian jika tak mampu sekurang-kurangnya
banyakkanlah membaca doa yang disarankan oleh Nabi SAW ini.

Berikut perkongsian daripada Puan Farhana Muhammad yang boleh dijadikan panduan;

Duhai ibu, jangan disia-siakan saat anak kecil ‘mengejutkan’ si ibu pada waktu malam!

Apabila bergelar ibu, lebih-lebih lagi ibu yang mempunyai anak-anak kecil, pasti pada waktu malam si kecil ‘mengejutkan’ ibunya. Mungkin kerana lapar atau mungkin kerana lampin basah.

Jadi, jangan biarkan ‘aktiviti di tengah-tengah malam’ berlalu begitu sahaja tanpa si ibu memanfaatkannya sambil-sambil menyusukan anak atau menukar lampin yang basah.

Apa kata usai menukar lampin atau ketika menyusukan anak, si ibu berdoa sebegini;

لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ
لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ
سُبْحَانَ اللَّه وَِ الْحَمْدُ لِلَّهِ وَلاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَاللَّهُ أَكْبَرُ وَلاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللَّهِ
ثُمَّ قَالَ: “اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي” أَوْ دَعَا اسْتُجِيبَ لَهُ فَإِنْ تَوَضَّأَ وَصَلَّى قُبِلَتْ صَلاَتُهُ

“Tidak ada Tuhan yang disembah kecuali Allah semata, tiada sekutu bagiNya. BagiNya kerajaan dan untukNya segala pujian, dan Dia berkuasa atas segala sesuatu. Segala puji bagi Allah, Maha Suci Allah, Tiada Tuhan yang berhak disembah selain Allah, Allah Maha Besar. Dan tidak ada daya serta kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah.”

Kemudian diucapkan: “Ya Allah ampunilah aku” atau dia berdoa nescaya akan dimakbulkan untuknya. Apabila dia berwuduk nescaya diterima solatnya.” (HR: Muslim)

Doa Terjaga Tengah Malam

Doa ini diajar oleh Ustazah Norhafizah Musa dalam salah satu kuliahnya di Masjid Hulu Kelang. Kata ustazah, apabila kita terjaga di tengah malam, seeloknya baca doa demikian dan disusuli dengan doa yang kita sendiri hajatkan. InshaaAllah, doa tersebut akan dimaqbulkan. Lebih elok lagi sekiranya kita mampu bangun menunaikan solat selepas membaca doa tersebut.

Mungkin bagi si ibu yang anaknya suka mengempeng, bangun menunaikan solat di tengah malam satu mujahadah yang cukup besar. Ditambah lagi dengan rasa ngantuk, bersengkang mata dengan karenah si kecil memang menjadi bertambah sukar. Setidak-tidaknya, ibu boleh memanfaatkan berjaga malam itu dengan membaca doa sedemikian.

Ummu Haura’
Ingatan buat diri sendiri.

MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat, dan dijadikan amalam seharian setiap kali terjaga pada waktu tengah malam.

Sumber: Farhana Muhammad

Published by
Suhaidah Abd Wahab