Hiburan

“Terima kasih kerana bersama dari langkah pertama kita mbak.” Pengurus meninggal dunia, KRISDAYANTI Titip Doa & Rasa Sayu

Share

Kehilangan individu yang sama-sama menyaksikan jatuh bangun dalam kerjaya dan kehidupan sememangnya memberi tamparan hebat buat mana-mana individu. Itulah yang dialami oleh diva popular Indonesia, Krisdayanti apabila berkongsi khabar duka mengenai pengurus kerjayanya, Selby Anwar yang disahkan meninggal dunia pada Isnin, 3 Februari 2025.

Industri hiburan di Indonesia sememangnya mengenali sosok Selby sebagai pengurus Krisdayanti di mana Selby telah  berkhidmat dengan penyanyi tersebut sejak tahun 1993 lagi sejurus selebriti itu memenangi pertandingan Asia Bagus mewakili Indonesia pada tahun 1992.

32 Tahun Bersama

Selby adalah antara orang kuat di sebalik tabir kejayaan karier seni Krisdayanti bermula dari album pertamanya sehinggalah digelar Diva Indonesia. Malah Selby sentiasa berada di sisinya untuk setiap pencapaian manis dan jatuh bangun kerjaya dan kehidupan diva Indonesia itu.

Hubungan akrab mereka bagaikan adik-beradik dan kelibat Selby turut kelihatan di majlis keluarga dan percutian keluarga Krisdayanti.

Selby digambarkan sebagai seorang pengurus yang setia menemaninya berkarier selama 32 tahun. Tidak ramai selebriti yang memiliki hubungan akrab bersama pengurus lebih 3 dekad dan pastinya Selby mempunyai sifat yang amanah dan mendapat kepercayaan penuh Krisdayanti menguruskan perjalanan kariernya sehingga ke akhir hayatnya.

Menerusi satu hantaran di Instagramnya, Kisdayanti berkongsi rasa tentang kehilangannya dan memuat naik beberapa foto kenangan terakhir.

“Terima kasih untuk bersama dari langkah pertama kita kak, 1993. Hingga sekarang melepaskanmu dan akan terus terpatri kerana hati dan kerja baikmu selamanya.”

Selby Anwar meninggal dunia setelah dirawat di salah sebuah rumah sakit swasta di Jakarta. Jenazah Selby Anwar telah selamat disemadikan di Tempat Pemakaman Umum (TPU) Pondok Benda, Pamulang, Tangerang Selatan.

Follow kami di TELEGRAMINSTAGRAMTIKTOKFACEBOOKTWITTER dan YOUTUBE

Published by
Rosmah Idayu