Uncategorized

Terbaring selama dua jam selepas kemalangan, Siti Jamumall kongsi tragedi kemalangan

Share

Terkejut dengan berita anaknya  mengalami kemalangan jalan raya, ibu kepada pempengaruh dan ahli perniagaan Siti Jamumall hampir pengsan.

Ibu mana yang tidak terkejut dan sedih melihat anaknya terbaring atas jalan raya apatah lagi kemalangan itu hampir meragut nyawa.

Ditambah apabila Siti Jamumall, 24, atau nama sebenar Siti Suriani Wahiddin ketika itu dibiarkan terbaring selama dua jam selepas mendakwa sebuah pusat perubatan swasta tidak mahu menerima kesnya.

Siti Jamumall yang juga ibu tunggal kepada dua cahaya mata berkata, dia berterima kasih kepada ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang sudi menghantarkan bantuan.

Terbaring selama dua jam selepas kemalangan

“Allah masih sayangkan saya. Sejujurnya, saya kesal apa yang berlaku. Tidak sepatutnya pihak berkenaan membiarkan pesakit yang dalam keadaan kecemasan. Saya pun tidak tahu kategori sakit macam mana yang mereka boleh terima.

“Apa pun, terima kasih kepada ambulans KKM yang sudi membantu dan bawa saya ke hospital berdekatan untuk mendapatkan rawatan segera,” katanya.

Menurutnya, dia dipindahkan ke sebuah pusat perubatan lain bagi mendapatkan rawatan lanjut.

“Syukur perkhidmatan di sini sangat laju. Selepas jumpa doktor dan buat ujian imbasan X-Ray, saya dimaklumkan patah jari dan luka-luka biasa.

“Terima kasih sekali lagi kepada semua yang mendoakan, menghantar mesej dan datang melawat,” katanya.

Terdahulu, Siti Jamumall dilaporkan mengalami kemalangan jalan raya selepas motosikal dinaiki hilang kawalan dan merempuh pembahagi jalan di Setia Alam, Selangor, pada Ahad.

Published by
Rosmah Idayu