Baru-baru ini kita dikejutkan dengan banyak kes wanita yang mengalami kemurungan. Kalau sebelum ini ada cikgu yang mengajar di Sekolah Kebangsaan Pengkala Chepa, 35 tahun, mati lemas di Pulau Perhentian disebabkan mengalami masalah kemurungan dan tiba-tiba berlari keluar dari chalet milik abangnya yang terletak berdekatan kejadian sekitar jam 1 pagi, terbaru seorang guru wanita berusia 36 tahun pula yang mengalami kemurungan ditemukan mati dalam keadaan terlentang dipercayai terjatuh dari tingkat lima sebuah pasar raya, di Ipoh.
Mayat guru tersebut ditemukan oleh orang awam dalam keadaan berlumuran darah di kawasan laluan kereta pasar raya pada pukul 3.50 petang. Tetapi barangan peribadi mangsa yang merupakan guru di sebuah sekolah di Pasir Putih seperti telefon bimbit dan rantai tangan juga tidak terusik.
Dalam kes ini, ada saksi yang merupakan pengawal keselamatan pasar raya itu ada menegur mangsa supaya tidak berlegar di kawasan berkenaan namun larangan itu tidak diendahkan wanita terbabit yang terus terjun.
Suami wanita itu yang hadir di tempat kejadian mengesahkan mangsa pernah mengalami kemurungan dan baharu minggu lalu mendapatkan rawatan di hospital.
Walau apa pun yang berlaku, lelaki ini redha dan tidak menyalahkan mana-mana pihak kerana mengakui isterinya tidak dapat menerima beban kerja yang banyak setelah mengalami kemurungan.
Ternyata kemurungan petanda bahawa seseorang wanita itu menghadapi cabaran kehidupan terlalu lama. Ini peringatan kepada insan di sekelilingnya bahawa wanita itu terlalu banyak berkorban, berusaha dan mengalah, sudah tiba masanya untuk dia dibantu dan disokong.
Kita sepatutnya melihat dengan teliti dan berbicara secara terbuka lagi serius akan isu kesihatan mental.
Langkah pertama dalam memulihkan diri kita dari kemurungan ialah untuk menerima hakikat bahawa ada masa dan waktu, kita memerlukan bantuan dalam menghadapi cabaran kehidupan.
Ya, kita tak boleh pendam sendiri. Carilah seseorang yang kita percayai untuk berkongsi rasa dan paling utama banyakkan solat, zikir dan mengaji al-Quran.
1. Perasaan murung atau sering marah-marah hampir sepanjang hari dan hampir setiap hari dalam tempoh dua minggu. Perasaan ini dilaporkan oleh pesakit secara subjektif seperti perasaan rendah diri ataupun daripada pengamatan orang luar contohnya selalu menangis.
2. Hilang semangat atau tak berminat melakukan aktiviti sosial yang biasa dilakukan hampir setiap hari. Contohnya tidak berminat untuk bersukan lagi atau berjumpa dengan sanak-saudara.
3. Berat badan merosot daripada asal dalam waktu yang singkat atau kurang selera makan.
4. Corak tidur berubah, sama ada kurang tidur (insomnia) atau terlebih tidur (hypersomnia).
5. Perubahan dalam melakukan aktiviti seharian, sama ada terlebih aktif atau kurang aktif.
6. Selalu letih dan kurang tenaga dalam melakukan aktiviti harian.
7. Perasaan bersalah yang tidak setimpal dengan sesuatu kesalahan perbuatan atau merasakan diri tidak berguna.
8. Tak mampu memberikan konsentrasi atau berfikir secara rasional. Pesakit juga merasakan susah untuk membuat keputusan dalam kehidupan hariannya.
9. Asyik sebut bukan-bukan dan fikir tentang nak mati atau bunuh diri dengan kerap.
Sebenarnya ramai juga yang tidak menunjukkan simpati kepada kaum wanita yang mengalami masalah kemurungan. Tambah memburukkan keadaan apabila kebanyakan wanita yang berdepan masalah ini tak nak merebut peluang untuk mengatasi tekanan yang dihadapinya. Akhirnya rasa stress dan kemurungan itu membawa kepada kes kronik sehingga berlakunya kes bunuh dan sebagainya.
Apa yang terbaik bagi mengurangkan kemurungan dalam diri, tolonglah meluah tentang rasa pada orang terdekat atau paling selamat cari doktor pakar untuk membantu diri sendiri keluar daripada masalah.Dan yakinlah anda tidak keseorangan dalam masalah ini, moga segalanya dipermudahan untuk emosi yang lebih baik.