Tak semua suami faham cara menyantuni isteri yang bakal melahirkan. Lagi-lagi yang baru pertama kali berhadapan situasi cemas dari saat isteri pecah air ketuban atau keluar tanda darah sampailah isteri selamat melahirkan permata hatinya. Kalau salah hitung, memang boleh panik suami dibuatnya.
Pengalaman yang dikongsikan Raisul Fadhla Safiruddin berhadapan situasi isteri yang bakal melahirkan anak keempat mereka boleh dijadikan panduan. Seharusnya suami faham betapa pentingnya isteri mendapat ketenangan dari saat berada di dalam bilik labour room sampailah selesai proses melahirkan.
Kebijaksanaan suami mengurus emosi isteri, akan membantu isteri lebih tenang melalui proses bersalin dan seterusnya. Sememangnya kehadiran suami di sisi isteri di bilik bersalin itu amat penting sekali. Baca untuk anda tahu selanjutnya.
Balik dari D’sora Hotel dan D’Tempat Country House di Sendayan, saya sekeluarga sambung rehat kat rumah bagi menghimpun tenaga. Malam itu memang tidur awal sebab keletihan.
Esok harinya dalam pukul 2 pagi saya terbangun dari tidur dan lihat isteri sudah ada tanda hendak bersalin.
Anak-anak 3 orang masih lena. Nak pergi ke hospital tak boleh nak nak tinggal mereka. Tapi kalau nak bawa pun satu kerja pula.
Fikir punya fikir, akhirnya saya call dan minta anak saudara perempuan saya Athira Arasz untuk datang ke rumah tolong tengokkan anak-anak.
Sementara itu, saya siapkan barang dan angkut ke kereta untuk dibawa ke hospital.
Apabila anak saudara saya sampai, saya terus keluar menuju ke Kajang Plaza Medical Centre lalu tol PLUS. Alhamdulillah sampai dalam masa kurang 30 minit.
Selepas buat pendaftaran dan bayar deposit, kami terus dibawa ke wad bersalin.
Bidan dan jururawat buat kerja yang diperlukan. Setelah pemeriksaan, kami dimaklumkan ada masa lagi sebelum bukaan penuh.
Jururawat uruskan tempahan bilik dan isteri boleh berehat di sana dulu sambil menunggu.
Apabila masuk subuh, saya segera beransur ke Masjid Jamek Bandar Kajang bagi menunaikan solat secara berjamaah.
Selepas solat, ingatkan sempat sekejap nak lelapkan mata dalam kereta. Tiba-tiba isteri mesej maklumkan sakit makin kerap.
Saya terus naik ke bilik dan bincang dengan isteri apa nak buat. Waktu itu isteri belum solat subuh lagi. Tapi nak solat dah tak larat. Akhirnya saya buat keputusan tekan tombol panggil bidan untuk buat pemeriksaan.
Jalan dah buka 8 cm. Sebelum ke labour room, alhamdulillah isteri sempat makan beberapa biji tamar dan minum air zamzam untuk bekalan tenaga.
Di labour room isteri boleh bersalin bila-bila masa sahaja, tapi belum solat subuh lagi. Saya pakaikan semula tudung dan stoking, kemudian minta isteri bertayamum dan solat sambil berbaring. Kalau bersalin sebelum sempat solat, tak pasal-pasal buat maksiat sebelum lahirkan zuriat.
Tidak lama kemudian Dr. Anita sampai. Dulu anak ke-3 kami juga disambut oleh beliau. Jururawat menyediakan peralatan yang diperlukan untuk proses kelahiran.
Disingkatkan cerita, pada pukul 7:21 pagi Isnin 14hb Mei 2018, akhirnya lahirlah anak kami yang ke-4, anak lelaki ke-2. Berat 3.1 kg, panjang 53 cm.
Kalau tunggu 3 hari lagi, boleh sama tarikh lahir dengan ayahnya yang kacak. Tapi tak apa, lelaki kacak memang kebanyakannya lahir bulan Mei. Hehe.
Sepatutnya pagi itu adalah hari pertama masuk kerja selepas Pakatan Harapan menang pilihanraya. Tapi kelahiran anak kami itu telah menghadiahkan 3 hari cuti tambahan kepada saya dan 80 hari cuti bersalin kepada isteri saya. Haha.
Bersalin adalah satu peristiwa hidup mati dua nyawa, iaitu ibu dan bayi. Dalam proses itu suami sebolehnya perlu ada bersama untuk memberi sokongan. Selama 4 kali bersalin, alhamdulillah saya dapat mendampingi isteri.
Selepas anak lahir, tarbiah pertama kepada anak adalah laungan azan dan iqamah oleh ayah di telinganya.
Secara fitrahnya pasangan muslim menghendaki yang menyambut kelahiran anak mereka adalah seorang muslimah. Walaupun ada banyak perbincangan tentang keharusan bagi doktor lelaki menyambut kelahiran.
Proses kelahiran bukan hanya apabila berlaku bukaan penuh dan bayi keluar dari rahim. Tapi ia bermula dari pemeriksaan bukaan (VE), pemeriksaan CTG, induce (jika perlu), sambut kelahiran, episiotomy (jika perlu), uri keluar, jahit dan seterusnya.
Dalam proses ini, kehadiran suami di sisi untuk jaga aurat isteri sangat-sangat diperlukan. Ini juga untuk meringankan beban emosi isteri sekali gus memudahkan proses kelahiran.
Kecederaan emosi sepanjang proses ini boleh buat isteri rasa trauma sepanjang hayatnya.
Bukan apa, ada sesetengah hospital tak benarkan suami masuk ke labour room masa proses ini atas sebab tertentu.
Seorang isteri pastinya mahu bersalin dalam keadaan yang paling selesa. Jika mampu dan keadaan memungkinkan, saya akan usahakan agar isteri bersalin di hospital swasta.
Alhamdulillah, setakat ini semua anak kami lahir di hospital swasta dan disambut oleh doktor muslimah.
Walau bagaimanapun itu semua ada harganya. Kami memilih hospital yang mengenakan caj berpatutan.
Nak kata pakej bersalin hospital swasta murah, memang tak murah. Tapi nak kata mahal, sebenarnya masih ada yang menawarkan harga tidak terlampau mahal. Pilih yang tawarkan harga berpatutan.
Terima kasih Dr. Anita dan warga kerja KPMC.
P/S: Pakej bersalin kat KPMC kalau normal bermula bawah RM2,000 untuk 3 bedded. Isteri saya duduk bilik 2 bedded RM2,000 lebih sikit sahaja.
Sumber/Foto : Raisul Fadhla Safiruddin
.