Dalam kehidupan seharian yang kita lalui bukan semuanya perjalanan yang tertulis dengan indah. Penuh onak dan duri yang perlu ditempuhi. Ada masanya diri rasa ditindas, teraniaya, maruah diri dipijak-pijak, hati luka disakiti.
Tak kiralah berpunca daripada pasangan, kawan-kawan atau sesiapa sahaja yang bijak mengambil kesempatan menganiaya diri.Namun jangan bersedih, teruslah berdoa kerana ada jaminan doa orang yang teraniaya tiada penghalang dan antara doa yang dimakbulkan.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Ada tiga golongan yang doa mereka tidak ditolak: Orang yang berpuasa hinggalah dia berbuka, doa pemimpin yang adil dan doa orang yang dizalimi.”
(Hadis riwayat Tirmizi)Sebagaimana dalam HR Bukhari (1395), Muslim (19) dalam hadis Ibnu Abbas radhiyallahu’anhuma ketika Mu’adz radhiyallahu’anhu diutus oleh Rasulullah shallallahu’alaihi wasallam, beliau menasihatkan padanya:
“Takutlah kepada doa orang yang dizalimi kerana sesungguhnya tiada hijab atau penghalang di antara doa mereka dengan ALLAH SWT.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Selain itu antara golongan lain yang turut mustajab doanya adalah doa daripada mak ayah. Oleh itu, selain berdoa sendiri selagi mana mak ayah masih hidup, rebutlah peluang minta mereka mendoakan segala yang baik-baik buat kita.
Minta didoakan agar diberi keberkatan dalam kehidupan, dilimpahkan rezeki yang melimpah ruah, diberikan kemudahan dalam mengatasi setiap kesusahan dan sebagainya. Perlu diingat doa mak ayah itulah juga menjadi asbab kejayaan kita selama ini.
Dari Abu Hurairah ra., ia berkata, Rasulullah SAW bersabda,
“Ada tiga doa mustajab yang tidak diragukan lagi, iaitu doa orang yang teraniaya, doa musafir, dan doa ibubapa untuk anaknya”. (Hadis Riwayat Tirmidzi)
Jika kita sebagai mak ayah pula, banyakkan berdoa untuk anak-anak. Jangan sekali-kali mengucapkan perkara yang tidak elok/kasar kepada anak-anak kerana setiap perkataan yang keluar dari mulut mak ayah itu adalah doa.
Akhir sekali, sebagai salah satu usaha, perbanyakkanlah berdoa dan meminta padaNya tidak mengira masa waktu sedih mahupun gembira. Sesungguhnya Allah sangat suka pada hamba-hambaNya yang ‘meminta-minta’ hanya padaNya tanpa rasa jemu dan putus asa.
Dari Abu Hurairah ra., bahwasanya Rasulullah SAW bersabda.
“Barangsiapa yang ingin doanya terkabul pada saat sedih dan susah, maka hendaklah memperbanyak berdoa pada saat lapang”. (Hadis Riwayat Tirmidzi & Al Hakim)
Bukan itu sahaja, dirikan solat dan banyakkan berdoa sewaktu bersujud kerana saat itulah keadaan yang paling dekat seorang hamba pada tuhannya. Segala rintihan, kesukaran dan keluh kesah mengadulah padaNya waktu ini, percayalah kesannya hati akan lebih tenang dan bahagia nanti.
Dari Abu Hurairah ra., meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Keadaan paling dekat seorang hamba dari rabbnya adalah ketika dia dalam keadaan sujud, maka perbanyakanlah berdoa (sewaktu sujud).” HR. Muslim No 1083.
Semoga perkongsian ini bermanfaat buat para pembaca mingguan wanita.