Telekung mahal atau murah Allah tak pandang, yang penting ikhlas & istiqomah. Baru-baru ini telah tular apabila seorang pengasas hebat berkongsi sebuah video pendek di akaun Tik Toknya memaklumkan telekung bernilai RM16,000 digunakan untuk berjumpa Allah sekaligus menghilangkan rasa bersalah memakai beg berharga belasan ribu untuk berjumpa rakan-rakan.
Perkongsian tersebut telah menimbulkan perbincangan dan pertikaian di kalangan warganet. Malah video tersebut yang mendapat 16.6 ribu tanda suka juga dihujani pelbagai komen. Ada yang memberikan komen positif, negatif dan tidak kurang yang mencadangkan agar wang tersebut dibelanjakan bagi kegunaan para asnaf.
Dek kerana hal tersebut Mingguan Wanita terpanggil untuk mendapatkan komen dari aspek agama. Pendakwah Bebas, Ustaz Hj Mohd Riza Hj Kamaruddin telah sudi memberi pandangannya secara umum.
Moga nasihat dan perkongsian dari Ustaz Haji Mohd Riza ini memberi manfaat kepada semua.
“Pertamanya saya ingatkan diri saya dan kepada kita semua agar bertaqwalah kepada Allah dalam semua urusan termasuk dalam urusan pakaian lebih-lebih lagi berpakaian ketika hendak beribadah kepada Allah.
Islam sama sekali tidak pernah melarang cara dan rekabentuk pakaian kita ketika hendak beribadah asalkan ia bersih dan menutup aurat secara syarie dan hendaklah ia berpakaian ikhlas kerana Allah.
Syarat diterima sesuatu ibadah itu adalah Ikhlas dan Ittiba’ ( mengikuti petunjuk Rasulullah) dalam semua perkara ibadah termasuk berpakaian ketika beribadah.
Secara umumnya, Islam tidak menetapkan jenama khusus bagi pakaian individu muslim. Ini menunjukkan keluasan dalam menggayakan pakaian walaupun ketika solat samada mengikut pakaian adat setempat sekalipun pelbagai gaya dan reka bentuk fesyennya. Namun, perkara yang perlu dititikberatkan ketika mengayakan pakaian ialah wajib menepati ciri-ciri pakaian yang menutup aurat dengan sempurna selain mengikut piawaian yang telah ditentukan syarak.
Bagi menjawab persoalan yang diajukan berkisar wanita yang memakai telekung untuk solat dengan harga yang mahal mungkin kerana gaya rekabentuknya, cara jahitannya atau kerana jenamanya. Maka, saya cenderung menyatakan bahawa ia merupakan satu nikmat Allah untuknya dan dia wajib mensyukurinya namun dia perlu berhati-hati agar dia termasuk dalam kategori orang yang bersifat melakukan pembaziran dalam berpakaian, apatah lagi JIKA disertakan niat untuk bermegah dengan mempamerkan kecantikan secara berlebihan. Islam melarang umatnya melakukan pembaziran serta sikap bermegah berdasarkan dalil-dalil berikut:
يَا بَنِي آدَمَ خُذُوا زِينَتَكُمْ عِندَ كُلِّ مَسْجِدٍ وَكُلُوا وَاشْرَبُوا وَلَا تُسْرِفُوا ۚ إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الْمُسْرِفِينَ
Maksudnya : “Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat Ibadat (atau mengerjakan sembahyang), dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; Sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas.”
(Surah al-A’raf : 31)
Ayat di atas menunjukkan bahawa manusia perlu bersikap sederhana dalam melakukan sesuatu kerana Allah tidak suka sama sekali mereka yang melampaui batas. (Rujuk Tafsir al-Maraghi, 4/2174). Ayat ini turut menjelaskan bahawa Allah SWT tidak suka kepada mereka yang melakukan pembaziran pada makanan, minuman dan semua aspek lain (Rujuk Tafsir al-Muyassar 1/154). Bahkan, Allah menjelaskan bahawa perbuatan membazir adalah amalan syaitan berdasarkan firman berikut:
إِنَّ ٱلْمُبَذِّرِينَ كَانُوٓا۟ إِخْوٰنَ ٱلشَّيٰطِينِ ۖ وَكَانَ ٱلشَّيْطٰنُ لِرَبِّهِۦ كَفُورًا
Maksudnya Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya. Surah al-Isra’ (27)
Saya menasihatkan diri sendiri dan kepada semua umat islam agar tidak berlebih-lebihan dalam berpakaian kerana ia akan boleh menimbulkan rasa bangga diri dan berlagak angkuh kepada orang lain.
Rasulullah SAW melarang memakai pakaian untuk meraih kemasyhuran. Ini berdasarkan hadis daripada Ibn Umar R.Anhuma, Nabi SAW bersabda:
مَنْ لَبِسَ ثَوْبَ شُهْرَةٍ أَلْبَسَهُ اللَّهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ ثَوْبَ مَذَلَّةٍ
Maksudnya : “Siapa yang memakai pakaian syuhrah di dunia maka Allah memakaikan kepadanya pakaian kehinaan pada hari kiamat.”Riwayat Ibn Majah (3606)
Maksud pakaian syuhrah ialah baju yang ketara perbezaannya dengan manusia lain dari sudut warnanya atau bentuknya yang mampu untuk menggamit pandangan manusia lain untuk tertumpu melihat kearahnya sehingga menimbulkan perasaan ujub dan takbur dalam diri pemakai. Hadis tersebut turut menunjukkan larangan memakai pakaian syuhrah (Lihat, Nail al-Authar (303).
Namun perkara tersebut berbeza bagi mereka yang berkemampuan untuk berpakaian cantik disertakan niat tawadhuk (rendah diri) kerana ingin menzahirkan nikmat kurniaan Allah SWT kepadanya. Ini bertepatan dengan sebuah hadis Nabi SAW yang menasihatkan sahabatnya yang kaya dan bersabda:
فَإِذَا آتَاكَ اللَّهُ مَالاً فَلْيُرَ أَثَرُ نِعْمَةِ اللهِ عَلَيْكَ ، وَكَرَامَتِهِ
Maksudnya: Jika Allah mengurniakan kepada kamu harta, maka perlihatlah kesan nikmat Allah ke atas kamu dan kemuliaannya. Riwayat Abu Daud
Perkara kedua dalam isu ini adalah sifat hasad dan dengki melihat kelebihan yang dimiliki oleh orang lain. Sifat hasad dan dengki ini bermula dengan pandangan mata seseorang dan akan bersarang dalam hatinya yang akan membuatkan dirinya merasa tidak senang melihat nikmat dan kurniaan Allah kepada orang lain.
Sehubungan dengan itu saya sekali lagi menasihatkan diri sendiri dan kepada seluruh umat islam agar sentiasa berhati-hati dan berwaspada agar kita tidak dijangkiti dengan virus yang bakal merosakkan amal ibadah kita kelak.
Sabda Rasulullah SAW:
إِيَّاكُمْ وَالْحَسَدَ فَإِنَّ الْحَسَدَ يَأْكُلُ الْحَسَنَاتِ كَمَا تَأْكُلُ النَّارُ الْحَطَبَ
Maksudnya: Hendaklah kalian menjauhi sifat hasad dengki, kerana ia menghapuskan kebaikan, sepertimana api menghanguskan kayu. Sunan Abi Dawud (4903)
Namun terdapat juga hadith yang memberi pengecualian dalam sifat hasad dan dengki ini. Sabda Rasulullah SAW:
لاَ حَسَدَ إِلاَّ فِي اثْنَتَيْنِ رَجُلٌ آتَاهُ اللَّهُ مَالاً فَسُلِّطَ عَلَى هَلَكَتِهِ فِي الْحَقِّ، وَرَجُلٌ آتَاهُ اللَّهُ الْحِكْمَةَ، فَهْوَ يَقْضِي بِهَا وَيُعَلِّمُهَا
Maksudnya: Perasaan hasad dan dengki itu dilarang kecuali pada dua perkara: dengki terhadap seseorang yang Allah SWT kurniakan kepadanya harta dan dia membelanjakannya pada jalan kebenaran, serta seseorang yang dikurniakan hikmah dan dia berhukum dengannya dan mengajarkannya. Sahih al-Bukhari (73)
Rasulullah SAW juga bersabda mengingatkan kita :
لاَ حَسَدَ إِلاَّ فِي اثْنَتَيْنِ رَجُلٌ آتَاهُ اللَّهُ الْقُرْآنَ فَهُوَ يَقُومُ بِهِ آنَاءَ اللَّيْلِ وَآنَاءَ النَّهَارِ وَرَجُلٌ آتَاهُ اللَّهُ مَالاً فَهُوَ يُنْفِقُهُ آنَاءَ اللَّيْلِ وَآنَاءَ النَّهَارِ
Maksudnya: ‘‘ Perasaan hasad dan dengki itu dilarang kecuali pada dua perkara: dengki terhadap seseorang yang dikurniakan ilmu tentang al-Qur’an dan dia membacanya sepanjang malam dan siang, serta dengki terhadap seseorang yang dikurniakan harta dan dia menginfakkannya (ke jalan Allah SWT) sepanjang malam dan siang ‘. Sahih al-Bukhari (7529) dan Sahih Muslim (815)
Akhirnya saya ingin menarik perhatian para pembaca semua tentang kisah seorang lelaki dari kaum ansar yang Rasulullah istiharkan dia sebagai Lelaki Ahli Syurga dihadapan para sahabat baginda sebanyak tiga kali di masa dan tempoat yang berbeza sehingga membuatkan Abdullah bin Amru al-Ash bertindak menyelidiki apakah amalan lelaki tersebut sehingga dia diistiharkan oleh Rasulullah sebagai Ahli Syurga.
Setelah tiga hari dia tumpang bermalam di rumah lelaki tersebut Abdullah bin Amru Al-Ash tidak menemui apa-apa ibadah yang luar biasa yang dilakukan sehingga dia bertanya kepada lelaki tersebut ;
“Sebenarnya apa rahsia amalanmu yang membuatkan Rasulullah mengatakan bahawa kamu ahli surga?” soal Abdullah Ibnu Amru.
Lelaki itu berkata, ”Ya, benar, amalanku adalah seperti yang kamu saksikan.”
Setelah merasa yakin jawapan dan kejujuran lelaki tersebut , Abdullah bin Amru Al-Ash pun mahu beransur pulang. Namun, belum jauh dari rumahnya, orang itu berlari-lari untuk memanggil kembali Abdullah bin Umar semula sambil menjelaskan kepadanya :
“Ketahuilah, amalanku adalah seperti yang kamu lihat. Namun, aku tidak pernah merasa iri atau dengki kepada seorang pun dari orang-orang islam atas kebaikan atau kenikmatan yang mereka perolehi dari Allah SWT.”
Mendengar itu, Abdullah bin Amru al-Ash berkata, ”Inilah amalan yang dapat engkau lakukan dan yang belum dapat kami lakukan!” (HR Ahmad : 12236)
Baca Disini : Mulianya Hati Farah Lee, Misi Sumbangan Telekung & Sejadah Kepada Mangsa Banjir Luar Jangkaan
Musim Wabak Convid-19 Sebaiknya Bawalah Telekung & Sejadah Sendiri
Mingguan Wanita : Bersederhanalah dalam segala hal. Semoga perkongsian ini memberikan manfaat pada kita kaum wanita.
Facebook : https://www.facebook.com/mingguanwanita
FB Grup Cerita Mak-mak Hari Ini : https://www.facebook.com/groups/ceritamakmak
Website: https://www.mingguanwanita.my/
Instagram : https://www.instagram.com/mingguanwanita/?hl=en
YouTube: https://www.youtube.com/c/MingguanWanitaOfficial/featured
Twitter: https://twitter.com/mingguanwanita?lang=en
Telegram MW: https://t.me/mingguanwanita
Hidup satu kaki, ibu anak 4 ini tidak sesekali mengalah.