Telekung.Sepasang kain kapas putih itu ertinya semua wanita itu sama tarafnya. Walaupun syarat sah pakaian sembahyang cukup dengan menutup aurat, suci dan bersih daripada najis, tapi bila bertelekung tetap nampak lebih murnikan? Dan dalam uniform solat ini juga, saya, dan anda, kita tiada beza.
Saya pernah berbelanja ribuan ringgit untuk sepasang baju. Teramat cantik, dress sutera buatan pereka, berambu-rambu laksana ratu. Sarung sekali dan terus dry clean, sampai sekarang masih terperuk dalam almari. Tapi berbeza telekung yang dipakai setiap hari, aduh Norzalina… berkiranya nak beli!
Itu dulu, bertahun-tahun seingat saya, punya dua pasang telekung saja dalam simpanan. Basuh sepasang, pakai sepasang. Gilir-gilirlah tanpa rasa nak tambah pun. Ah bisik hati jahat, daripada beli telekung yang dipakai dalam bilik saja, lebih baik beli pakaian atau benda yang orang nampak.
Suatu hari anak perempuan saya, Mimi, tiba-tiba tunjukkan sepasang telekung comel berwatakkan Strawberry Shortcake kegemarannya. “Nenda beri,” katanya. Dia mahu solat bersama dan maka sejak itu, setialah Mimi di sisi saya pada setiap waktu solat. Beberapa kali si comel ni tanya, kenapa telekung Mommy putih kosong saja?
Jadi saya renung telekung anak saya. Dan ajaibnya dengan satu renungan itu, menukar seluruh pandangan saya terhadap uniform solat yang kita pakai setiap hari.
Telekung ini, yang kita pakai 5-6 kali, dari pagi sampai ke pagi, dari takbir Subuh sampai ke tahajud, kenapa tidak cantik rupanya? Tidak vogue. Tidak vass. Tidak elegan sepertimana himpunan baju-baju pereka di almari, yang dipakai paling kurang dua kali dan kemudian tak keluar-keluar lagi?
Saya ketap bibir. Istighfar meluncur seperti air. Dan saat itu saya rasa malu di depan Tuhan, serasa di depan mata ada taman syurga dan kawah neraka! Anehnya kenapa ya, wanita ni suka bercantik-cantik, tapi cantiknya di depan manusia, bukan di depan Allah SWT!
Saya nak tanya, jujurnya berapa telekung cantik dalam simpanan anda? Adakah cuma terlipat sehelai dua, atau pun penuh di almari, terhimpun kemas, lengkap digantung dan disarung garment bag,
sepertimana koleksi baju-baju kesayangan yang lain? Ada mak mak yang hobinya kumpul telekung?Cerita ini saya kongsi dengan semua wanita supaya kita sama-sama tukar uniform solat yang lebih cantik. Untuk siapa? Tentunya untuk hot dates kita yang wajibnya 5 kali sehari semalam itu, tambah 2-3 kali lagi untuk melepas hajat dan rindu. Benar kita bersendirian dengan Tuhan. Tapi bercantik-cantiklah, berwangi-wangilah… selagi mampu. Setahun sekali gantilah telekung baru. Ariani, Telekung Siti Khadijah, Telekung TEA, Mia Mikhail… Itu antara label telekung dengan koleksi cantik-cantik di mata saya.
Zaman ini telekung memang macam-macam rupanya. Berwarna, bercorak, berkilat, sejuk dan manis perinciannya. Ikut kitalah suka yang bagaimana. Mahu hipster, pakai yang tie-dye atau denim. Mahu feeling princess, cari yang sulaman bertebuk penuh atau renda Perancis yang romantik beropol-ropol.
Cuma bagi saya, warna telekung wajib yang pudar-pudar, yang lembut dan manis dipandang. Putih harus ada. Tapi perinciannya mesti istimewa. Jauhi warna gelap atau shocking! Tolong.
Berapa kerap kita perlu ganti telekung? Jawapannya, sekerap yang kita mahu. Bila bertelekung cantik, kita jadi seronok. Saya tak tahu orang lain, tapi saat mata mengerling telekung yang dipakai, hati saya berbunga-bunga, bacaan jadi lancar, konsentrasi meningkat dan makin teruja beribadah. Saya mahu nampak yang tercantik di depan Kekasih saya. Demi-Nya, saya buat untuk Dia.
Tip Jaga Kebersihan Telekung
(a) Saya amalkan menggantung telekung. Bukan lipat. Kadang-kadang selepas pakai, bahagian muka masih lembapkan? Jadi gantungkan supaya ia kering dan tak bertahi lalat.
(b) Kalau telekung bertahi lalat, cepat-cepat rendam dalam peluntur. Tapi rendam di bahagian tertentu saja supaya warna sulaman yang cantik-cantik tu tak luntur sekali.
(c) Basuh seminggu sekali kalau kerap gunakan telekung yang sama. Kalau selalu bertukar telekung, boleh jarakkan 2 minggu sekali. Saya basuh telekung dalam laundry bag dan asingkan cucian dengan baju-baju lain.
Selamat mencuba!
Norzalina Mohd Alias