Terasa gatal sahaja mulut ingat menegur perangai suami yang ralit dengan telefon bimbit di tangan, sudahlah seharian dia di pejabat langsung tak tanya bininya dah makan ke belum. Masuk sahaja dalam rumah, baring atas sofa terus sambung tengok hp, berlagak macam ada bisnes juta-juta.
Mujurlah anak baru sorang dan tak banyak merengek. Tak adalah sakit hati sangat tengok tingkah laku suami. Tetapi lama-lama bara yang terpendam tu terkeluar juga, lagi-lagi tengok laki lagi lama genggam hp dari genggam tangan anak. Telefon bimbit memanglah mampu rapatkan hubungan yang jauh tetapi sedihnya anak bini depan mata terabai.
Menurut Prof Madya Dr Mohd Nor Mamat, Pensyarah di Akademi Pengajian Islam Kontemporari UiTM, hak privasi tidak dinafikan merupakan hak masing-masing. Secara prinsipalnya, memang tidak perlu suami menceroboh untuk memeriksa telefon isteri, apatah lagi isteri memeriksa telefon suami. Asasnya, suami isteri perlu saling percaya mempercayai satu sama lain dan sama-sama menjaga hati pasangan masing-masing.
Kebiasaannya, apabila berlaku situasi kita memeriksa telefon pasangan kita, menampakkan bahawa kita tidak percaya kepada dirinya. Apatah lagi apabila isteri memeriksa telefon suami, menunjukkan tidak hormat dan kurang adab terhadap suami, iaitu walinya. Oleh hal yang demikian, sebaiknya tidak perlu menceroboh hak antara satu sama lain.
Tambahnya, biar pun terdapat keperluan tertentu untuk memeriksa, biarlah berlaku untuk tujuan yang baik-baik sahaja. Sekiranya timbul keraguan atau kekeliruan yang kuat, usahakan cara berbincang dengan baik. Gunakan kaedah psikologi juga mungkin lebih berkesan. Sekiranya pasangan kita sering menggunakan telefon bersendirian atau pun banyak bermesej dengan orang lain, cuba kita fahami keperluannya.
Barangkali dia kesunyian kerana kita tidak menjadi pasangan yang membahagiakannya. Mulakan bermesej dengan ayat-ayat manis yang menggembirakannya. Sekiranya kebahagian yang dicari ada pada diri kita, tidak ada sebab untuk dia mencari pada yang lain. Bagi kita, elakkan daripada telefon kita mengandungi perkara yang tidak baik dan tidak ada sebab untuk kita terasa atau pun marah sekiranya pasangan kita memeriksanya.
Anggaplah si dia memeriksa kerana terlalu sayangkan kita. Tetapi, ingatkan diri kita terlebih dahulu iaitu janganlah suka memeriksa telefon pasangan kita kerana pasangan kita lebih suka dan gembira bila terasa dipercayai.
Walaupun ada unsur kecurangan sedikit, dengan sebab keluhuran kepercayaan kita mungkin menyebabkan pasangan kita tidak jadi meneruskan kecurangan itu. Hubungan dan kasih sayang disubur atau dikubur, kuncinya ada pada tindakan kita.
Nasihat Agar Anak Bini Tidak Terabai
- Hubungan kita berasaskan kepercayaan. Selagi ada wujud saling percaya-mempercayai, insyaallah potensi hubungan terus berkekalan akan ada atau setidak-tidaknya peluang hubungan kembali baik masih wujud. Namun apabila tiada kepercayaan, hubungan yang sedang terjalin juga berpotensi retak pada bila-bila masa.
- Elakkan daripada melakukan sesuatu yang boleh menimbulkan curiga pasangan. Contohnya, menghantar mesej secara sembunyi-sembunyi, menyimpan gambar yang tidak sepatutnya walaupun tiada tujuan salah, keterlaluan mengelakkan telefon kita dilihat oleh pasangan dan sebagainya, walaupun mungkin tiada masalah asalnya, tetapi boleh menimbulkan keliru dan prasangka buruk pasangan.
- Elakkan menggunakan pelbagai ‘password’ dan halangan untuk dibuka, kecuali bertujuan untuk keselamatan, atau sekadar mengelakkan risiko telefon terbuka sendiri di dalam poket dan sebagainya.
- Sesekali kita kongsikan sama-sama telefon kita agar menghilangkan rasa syak wasangka dan ini juga boleh menambahkan lagi keintiman hubungan serta kepercayaan antara satu sama lain.
- Perbanyakkan fungsi telefon kita untuk pasangan kita dan keluarga. Ini juga mengurangkan rasa curiga dan rasa ingin memeriksa telefon kita.
- Pesanan yang sangat penting, isteri janganlah masuk campur atau terlalu cuba ingin tahu sekiranya suami bersembang atau berwhatsapp dalam grup sesama lelaki, kerana kadangkala ada perkara yang mudah timbulkan salah tafsiran isteri. Contohnya, sesama lelaki, cerita kahwin dua, malam Jumaat dan cerita perempuan cantik bukanlah bertujuan curang ataupun serius, tetapi lebih kepada mengisi kekosongan masa.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI