
Isi Kandungan
ToggleEntah apa yang merasuk ibu kepada bayi comel ini hingga sanggup membuang bayi yang cukup sifatnya. Namun sudah pasti ada masalah tertentu yang ibu ini tidak dapat nyatakan hingga sanggup membuang darah daging sendiri.
Telah dihurung semut ketika orang ramai menemui bayi lelaki baru lahir ini yang ditinggalkan dalam semak. Mujur nyawa bayi masih panjang, dia telah diselamatkan.
Ditemui Telah Dihurung Semut
Seorang bayi lelaki dipercayai baru lahir ditemui dalam keadaan dihurung semut di dalam semak di Jalan Sidang Hassan 1, Bukit Katil, Melaka semalam.
Menurut Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri (Risikan/ Operasi), Superintendan Yusharifuddin Mohd Yusop, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada 3.05 petang sebelum sepasukan pegawai dan anggota bergegas ke lokasi.
Beliau berkata, bayi itu ditemui masih mempunyai kesan darah di tubuhnya oleh seorang lelaki yang terdengar tangisan sebelum mencari arah bunyi berkenaan.
Baca Juga Di sini:
Bukan Galakkan BUANG BAYI Tapi NAK SELAMATKAN NYAWA!
Untuk info lebih menarik, klik saja di sini.
Bayi Ditinggalkan Dalam Semak
“Ketika itu saksi dikatakan sedang berehat di rumahnya sebelum terdengar tangisan bayi.
“Dia ke arah semak terletak tidak jauh dari rumahnya dan menemui bayi terbabit dihurung semut serta terdapat kesan darah,” katanya.
Beliau berkata, tiada sebarang dokumen ditemui bersama bayi berkenaan dan seterusnya dibawa ke Hospital Melaka dan ditempatkan di wad kanak- kanak.

Bayi Baru Lahir Stabil
Menurutnya, bayi itu kini berada dalam keadaan stabil dan diberi bantuan pernafasan kerana mengalami masalah jangkitan serta pernafasan laju.
“Menurut laporan doktor, bayi lelaki itu adalah baru lahir dengan berat badannya kira-kira 2.2 kilogram dan dipercayai lahir cukup bulan.
“Sehubungan itu, usaha mengesan ibu kepada bayi itu giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan,” katanya.
MW: Dalam keadaan terdesak manusia sanggup lakukan apa saja. Namun janganlah dibuang anak itu seolah-olah tiada nilai kerana masih ramai wanita yang belum dikurniakan zuriat biar pun telah berusaha bermacam-macam cara.
Sumber: myMetro
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Kerana Suami Abby Abadi Dapat Urus Bayi-bayi Ini, Siap Suami Tolong Azankan

Isi Kandungan
ToggleKata pelakon Abby Abadi dia tak kaya mana pun. Biasa-biasa saja. ‘Dapat habis.. dapat habis.. jual rempeyek je pun’. Dan dia bukanlah menjual bayi-bayi sebagaimana tuduhan yang dilemparkan kepadanya dalam forum bincang di internet.
Panjang lebar Abby terangkan macam mana prosedur dia dan suami nak menguruskan bayi-bayi yang kemudiannya diserahkan pada mak ayah angkat. Dia tolong urus, berurusan juga dengan pihak berkuasa. Bukannya dia jual bayi tu dan kaut kekayaan.
Paling banyak membantu memudahkan urus bayi-bayi itu tentulah suaminya, Muhammad Faizal Zakaria yang lebih dikenali Jai Ezzany. Betapa baiknya suami, tenang saja uruskan bayi-bayi itu.
Kerana Suamilah Saya Dapat Uruskan Bayi-bayi Ini
“Terima kasih suami tolong azankan baby-baby ni.. Semoga ALLAH balas kebaikan suami dengan sejuta rahmatNYA.
Seorang yang sangat baik, tenang. Kurang nak bercakap dengan orang-orang yang tak kenal… Marah pun diam je.. Kalau dengan saya je buleh sembang semua benda.. Dan kerana suami juga saya mampu menguruskan baby-baby ini dengan baik.
Selalu bila saya jadi perantara je, saya kenalkan & akan suruh Mak Pak angkat jumpa sendiri dengan Mak Baby. Saya tolong dealkan awak apa yang perlu dan tak perlu. Dan kemudiannya mereka akan berjumpa sendiri bagi jadi.
Cuma sejak payah nak ke mana-mana ni beberapa kali saya dan suami tolong uruskan semua sekali termasuklah untuk 2 baby Kelantan /Terengganu ni.. Kami turun padang dari awal sampai habis. Salah satu sebab besarnya adalah kerana PKPB. Lagi sebabnya adalah kerana Mak Ayah angkat serba tak tahu. Terangkan pun tak faham-faham juga sampai nak register surat beranak pun tak tahu juga… jadi saya bincang dengan suami. Suami kata ok. Dia rajin nak bawak kereta ke situ sana sini, sambil cari makan katanya.. Tu sebab kami gigih ke Kelantan /Terengganu ini. Tak cerita awal sebab segan kalau tak lepas atau gagal.
Saya Tak Kaya Pun, Jual Rempeyek Je..
Masa ke Balai di Kuala Lumpur, siap dah surat, tinggal nak cop dapatkan kebenaran je.. Saya dah bincang dengan suami kalau tak lepas, baliklah semula ye sayang. Mak Ayah angkatlah kena uruskan sendiri. Suami ye kan je.. Dpt lepas Alhamdullillah. Tak lepas, tolong dari jauh jelah.
Dipendekkan cerita.. Luluss. Polis terus cop je. ALLAH permudahkan. Polis yang bertugas tak tanya banyak. Cuma tanya ada urusan apa, sebut anak angkat, terus dia kata ok, baca sebab musabab yang kami senaraikan & sign. Tak tanya pun kenapa, mengapa & bagaimana.. ALLAH Maha Berkuasa atas segalanya.
Takyah jeles-jelaslahhh.. Saya tak kaya pun.
Biasher-biasher je. Dapat habis, dapat habis. Jual Rempeyek je punnn.. Tengah tunggu orang kaya yang takde waris datang cari & bantu saya. Tinggalkan harta lagi baik hahahaa InshaALLAH Saya akan gunakan sebaik-baiknya harta dia untuk bantu mereka yang memerlukan. buleh camtu. Bulehlahhh.. besar pahala.”
Allah bukan saja rezekikan Abby Abadi dengan anak yang ramai, malah sekeping hati yang mulia.
Ini Pula Abby Jawab Tuduhan Dia Jual Bayi
“Ini contoh bil swasta yang saya bayar untuk ambil Darda. Yahudi sungguh kan? Tapi takpelah.. sebab bil tinggi semua tak nak, dapat pada saya. Rezeki sungguh sebab bertuah sangat anak ini. Sangat membahagiakan kami.. comel, baik & bijak.
Ada lagi tuduhan pada saya. Dia tulis kat forum tu kata baby saya tak kasi pilih… aii ingat ikan ke nak pilih-pilih? Nak baby biar ikhlas. Terima seadanya. Yang saya uruskan pun untuk beri pada mak ayah angkat. Saya pastikan sihat sempurna. Nak yang begitu begini, putih, hidung mancung, kaki panjang.. kalau beranak sendiri pun takkan dapat ikut kehendak kita kan?

Tapi tulah bila kata saya tak kasi tanya apa-apa langsung.. menipu sangat. Saya cerita je semua background mak ayah baby. Sah ke tak sah ke, warganegara ke, bukan warganegara semua saya bagitau awal. Cuma orang kita ni sebahagiannya jenis yang banyak cekadak, rasist. Bila kita senang hati nak bantu, dia nak treat kita macam orang suruhan dia pulak. Yang tu saya reject awal.
Saya Usaha Uruskan Bayi-bayi, Tak Jual Ye.. – Abby Abadi
Saya ni tak sempat nak bercerita semua benda. Walaupun nampak macam saya rajin sangat bersembang dalam ni kan? Tapi sebenarnya banyak lagi yang tak sempat cerita sebab saya banyak buat kerja lain juga. Yelah.. cari rezeki nak bagi makan anak-anak, nak bayar bil lagiii.. celah mana tah dorang menilai saya kaya.. ikut sedap tekak je buat fitnah. Tak takut mati kaaaa ni?
Penat tau.. nak menjawab fitnah-fitnah macam ni.. Saya sehabis baik tolong semampu saya dan saya beruntung ada suami sejenis yang sangat rajin membantu & sangat supportif. Cukuplah menfitnah. Saya tak larat nak cerita semua benda. Lepas ni saya tolong dari jauh je ye sebab ramai yang dengki, dorang nampak saya macam jalan-jalan time PKPB ni padahal saya berurusan dengan pihak berkuasa juga.
Apapun terima kasih semua pihak yang percayakan saya & sudi memudahkan urusan saya. InshaALLAH, kalau ada permintaan, saya usaha uruskan. Saya tak jual ye. Saya uruskan saja. Sekian.”
MW : Sampai hati mereka yang buat fitnah pada Abby ini. Punyalah dia usaha tolong bayi-bayi itu. Sampai jumpa mak ayah angkat yang jaga mereka dengan baik. Beri kehidupan baik-baik pada bayi tu.
Sumber/Foto : Abby Abadi
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
‘Aisyah Kuat Sikit Ya, InsyaAllah Cantik Macam Dulu’ Tolong Doakan Bayi 17 Bulan Ini Dapat Lawan Trauma

Isi Kandungan
ToggleSetiap hari ibu bayi ibu 17 bulan yang pernah hilang diculik warga Nepal ini akan berkongsi perkembangan terkini anaknya, Nur Aisyah Hasmizan. Lagi-lagi seluruh tubuhnya masih belum pulih kesan dari gigitan serangga ketika ditinggalkan bersendirian di dalam semak samun dekat pencawang elektrik di Kampung Parit Lanjut, Mukim Sungai Terap, Muar, Johor.
Terkini, maklum ibunya, Noorfadila Yusofe, 30 setiap hari sebaik terjaga dari tidur Aisyah mesti menangis. Barangkali trauma masih bersisa kesan kekejaman yang dilakukan ke atas diri si kecil ini. Cuma nak ayahnya saja, Hasmizan Othman, 35. “Tapi tidur tetap nak peluk mama. Kalau dah nangis susah tau nak pujuk. Manja sangat ni. Aisyah memang manja dengan papa. Siap tak nak tengok mama lagi.”
“Aisyah kuat lawan sikit ya trauma tu. InsyaAllah Aisyah cantik macam dulu.” Doa Noorfadila pada anaknya yang masih lagi trauma dengan kejadian yang menimpa dirinya itu.
Dari sehari ke sehari, facebook ibu ini tidak putus-putus dengan kiriman doa dari rakyat Malaysia yang prihatin dan jatuh kasih selepas mengetahui kisah anak kecil ini.
Terlalu Ramai Sayangkan Aisyah
Kongsi Noorfadila lagi, semalam anak perempuannya itu alami demam. Dan dia mohon warga Malaysia mendoakan anaknya itu.
“Ya Allah terlalu ramai sayangkan Aisyah. Mama tak sangka sangat-sangat. Ramai tunggu perkembangan terkini Aisyah. Ramai sangat-sangat pm sehingga tak terbalas. Mana sempat saya balas ya.
“Ramai sangat nak bagi Aisyah macam-macam. Rezeki Aisyah. Aisyah pembawa rezeki kepada kami juga. Banyak sumbangan saya dapat. terima kasih semua. Saya tidak mampu membalas budi baik anda dengan harta tapi saya berdoa moga Allah membalas segala kebaikan anda semua.”
Barangan Anda Memang Dah Pos Segalanya
Dalam diuji anak sakit ini, Noorfadila sebenarnya perlu juga menyelesaikan urusan niaga yang telah dilakukan sebelum ini. Dia tetap berusaha untuk melunaskan setiap tanggungjawabnya.
“Kepada pelanggan-pelanggan saya. Saya kehilangan data anda semua. Jika anda terbaca post ini, saya mengalami pelbagai dugaan 2 hari ini. Saya harap anda semua faham.
“Jika barang anda belum sampai itu kerana keadaan pos nak raya terlalu pack tapi saya memang dah pos.”
Ujarnya lagi, kepada pelanggannya yang dia tak dapat ingati nombor tracking atau mempunyai masalah boleh menghubungi talian whatsappnya : 014 712 4248.
“Saya cuba ingat siapa anda dan cari detail tentang anda. Saya tak lupa tentang barangan anda. Saya memang dah pos segalanya. Terima kasih masih sudi percayakan saya.”
Sememangnya selepas kejadian tempoh hari telefon bimbit Noorfadila masih gagal ditemui.
Anak Pembawa Rezeki
Sambung ibu ini lagi, “Anak pembaca rezeki. Dalam awak diduga, sakit, merana tapi awak tetap anak pembawa rezeki kepada keluargamu. Ramai sangat sayangkan Aisyah. Banyak sangat kami dapat daripada anda semua.
Terima Kasih..
√ Kepada staf-staf hospital yang bagi Aisyah duit dan kata-kata semangat pada mama Aisyah
√ Pada sumbangan-sumbangan dari semua penyumbang di dalam fb, mama hampir tak kenal semua tapi mereka gigih nak sumbangkan Aisyah ubat, hadiah dan duit pada Aisyah. Terima kasih semua.

√ Pada akak kita Ainny Midie Akleema Aqeel yang menggantikan hp kita yang telah dicuri. Terima kasih sangat-sangat kak.
√ Pada YB PAS DUN Jorak, Haji Najib atas sumbangan duit dan hamper.
√ Kepada Ada BC Mary Kay bagi hamper sampai 2.
√ Pada BFF kita Siti AMinah Ahmad bagi surprise bouquet coklat/bunga pada kita, runner siap tambah patung untuk Aisyah.
√ Pada Chena Ezan bagi KFC dan mainan pada Aisyah
√ Pada Hafiz Minan bagi makanan
Terima kasih buat semua kerana sudi datang dan bagi macam-macam. Kebaikan anda semua saya tak mampu balas dengan wang ringgit tapi saya doakan kamu semua dimurahkan rezeki dan diberi ganjaran suatu hari nanti.
Sumber/Foto : Diela Yusofe
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Lahir Dengan Masalah Jantung, Paru-paru & Klef Bibir, Ibu Mohon Doakan Aulia Terus Kuat

Isi Kandungan
ToggleMendapat perkhabaran gembira bahawa diri kini hamil adalah suatu yang cukup indah buat Rosmani Abdullah, 45 dan pasangan, Faizol Anizam Saad. Meskipun ini bukan kelahiran pertama buat Rosmani, tapi buat pasangan ini yang masing-masing berjodohan setelah perkahwinan terdahulu tidak berjaya, anak yang bakal dilahirkan adalah zuriat pertama hasil perkongsian hidup berdua setelah hampir tiga tahun hidup bersama.
Hamil di lewat usia, Rosmani sendiri tahu apa risiko yang bakal ditempuhi. Tapi semuanya diserahkan kepada Yang Maha Esa kerana rezeki yang hadir jua datangnya dari Allah SWT. Kehamilan kali ini tidak seperti terdahulu. Kalau dahulu setiap kali hamil pasti alahan yang dialami agak teruk, tapi kali ini bagaikan semuanya dipermudahkan. Rasa syukur itu hadir buat ibu kepada lapan orang cahaya mata ini.
Setiap apa yang berlaku pasti ada hikmahnya. Selepas berpindah ke rumah sewa baru yang terletak di Puchong, Selangor, Rosmani membuat pemeriksaan berkala untuk ibu hamil di klinik kesihatan berdekatan. Ketika itu usia kandungan sudah mencapai tujuh bulan. Setelah pemeriksaan dibuat, jururawat dan doktor bertugas menyatakan ada sesuatu yang tidak kena dengan bayi yang dikandung. Lantas Rosmani dirujuk ke Hospital Shah Alam supaya dapat melakukan pemeriksaan menyeluruh.
Ternyata kehamilan kali ini tidak selancar yang disangka. Daripada imbasan yang dibuat janin dalam kandungan punya masalah kesihatan. Apa yang dimaklumkan oleh doktor, bayi yang bakal dilahirkan Rosmani akan mempunyai masalah jantung, bibir sumbing dan tangan tidak akan terbuka.
Kandungan Bermasalah
Mendengar perkhabaran sedemikian rupa, hati ibu manalah yang tidak akan sedih dan sayu. Anak yang dikandung bakal lahir dengan segala macam penyakit yang serius, tapi Rosmani percaya dengan ketentuan Ilahi bahawa semua yang terjadi ada hikmahnya. Dia dan suami perlu reda dan kuat untuk bayi yang bakal dilahirkan kelak.
“Dapat berita hamil kali ini saya dan suami cukup gembira, maklumlah anak pertama untuk kami berdua setelah berkahwin tiga tahun yang lalu. Ini adalah perkahwinan kedua buat kami. Jadi keterujaannya agak lain. Sementelah pula setelah membuat imbasan anak yang bakal dilahirkan adalah anak perempuan. Untuk suami ini adalah anak perempuan pertama dalam hidupnya yang mempunyai dua orang anak lelaki sebelum ini. Saya sendiri sudah ada tujuh orang anak, lima perempuan dan dua lelaki.
“Awal kehamilan memang tiada apa masalah sehinggalah usia kandungan masuk lapan bulan. Bila saya buat pemeriksaan di klinik kesihatan, air ketuban banyak dan mereka minta saya untuk rujuk ke Hospital Shah Alam. Setelah dibuat pemeriksaan menyeluruh dengan kandungan saya, menurut doktor janin dalam perut ada masalah kesihatan.

“Hari yang dinanti bakal tiba. Saya dimasukkan ke hospital lebih awal dari tarikh jangkaan kerana masalah kandungan. Tiga kali saya induce tapi masih lagi tiada tanda-tanda untuk bersalin. Doktor beri kata dua jika masih tidak bersalin saya akan bersalin melalui kaedah pembedahan. Pada mulanya saya enggan tapi memandangkan risiko yang bakal saya dan anak yang akan dilahirkan saya pasrah dengan saranan doktor berikan. Tak putus saya berdoa dan positifkan diri, akhirnya alhamdullilah saya lahirkan bayi kami dengan keadah bersalin normal,” ujar Rosmini.
Lahir Dengan Masalah Jantung Berlubang, Injap Paru-paru Bocor dan Klef Bibir dan Lelangit
Tanggal 13 Mac 2019 lahirlah seorang bayi perempuan yang diberi nama Aulia Ayesya. Syukur tidak semua yang doktor jangkakan berlaku, Aulia dilahirkan dengan masalah jantung berlubang, injap paru-paru bocor dan juga klef bibir dan lelangit. Walaupun begitu, tidak tegar rasanya melihat anak yang sekecil itu terpaksa menanggung sakit yang begitu serius. Namun sudah dari awal ibunya bersedia dan reda dengan apa yang berlaku.
Dengan keadaan sebegitu, sejurus dilahirkan, Aulia ditahan di Neonatal Intensive Care Unit (NICU) selama dua bulan setengah untuk dipantau tahap kesihatannya sebelum dibenarkan pulang.
“Selepas dilahirkan lama juga Aulia berada di NICU, lebih kurang dua bulan lebih. Sepanjang tempoh tersebut saya memang berulang alik ke hospital untuk menjenguknya setiap hari. Ketika musim perayaan hari itu, Aulia dibenarkan balik ke rumah. Ahli keluarga di kampung ramai yang ingin melihat saya dan bayi, melihatkan keadaan Aulia yang sudah agak kuat, saya tawakal kepada Allah dan bawa Aulia pulang ke kampung yang terletak di Kelantan.
“Ketika di kampung, kesihatan Aulia agak merosot kerana tiubnya yang tercabut dan saya perlu ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Sebaik sahaja sampai ke rumah di Puchong, keesokkan harinya saya bawa Aulia ke Hospital Shah Alam. Sekali lagi Aulia ditahan dan sehingga sekarang kesihatan Aulia tidak stabil dan masih di rawat di hospital.
“Sejak dimasukkan ke hospital pada Jun lalu sehingga kini saya berulang alik ke hospital setiap hari. Keadaan dia memang tak stabil. Sekejap dia demam, sekejap dia ok. Begitulah keadaan Aulia. walaupun begitu, perkembangannya seperti juga bayi yang lain, dia tetap respon bila diagah dan diajak bercakap. Suka bila orang melayan dia bercakap. Kadang memang tak sampai hati melihat anak sekecil itu penuh dengan wayar dan dicucuk sana sini. Hanya doa dan harapan yang saya ada untuk melihat anak saya Aulia sihat seperti kanak-kanak yang lain,” ujar Rosmani lagi.

Kos Rawatan Semakin Bertambah
Sejak bulan Jun yang lalu, si kecil Aulia berada di wad. Benarlah demi kasih sayang kepada seorang anak, ibu dan ayah sanggup lakukan apa sahaja. Selama itulah Rosmani dan suami berulang alik ke hospital yang kini sudah masuk hampir tiga bulan. pastinya banyak kos yang diperlukan buat menanggung bukan sahaja kos rawatan, kos susu malah kos pengangkutan dan juga lain-lain.

Akur dengan dugaan yang menimpa, kepada Allah tempat keduanya memohon segala kesulitan. Reda dan pasrah dengan qada dan qadar yang telah ditetapkan untuk mereka berdua. Hanya doa dan usaha serta tawakal yang menguatkan mereka berdua bagi membesarkan si kecil yang menderita dengan penyakit yang tiada kesudahan ini.
“Dengan keadaan anak yang begini memang membutuhkan semangat yang kuat dari saya dan suami. Apa yang kami lakukan adalah memohon kepada Yang Maha Kuasa agar terus permudahkan urusan kami dan berikan kekuatan untuk menghadapi semua ini. Saya yakin akan ada keajaiban buat anak saya suatu hari nanti.
“Saya tak nafikan memang kos rawatan yang diperlukan untuk Aulia memang tinggi. Aulia bergantung kepada susu khas sebagai sumber makanan kerana keadaannya itu. Malah rawatan untuknya juga mencecah sehingga hampir RM4,000 setiap bulan. Dengan saya yang tidak bekerja dan suami hanya bekerja sendiri sebagai pemandu teksi, itu semua kadang merungsingkan saya.
“Tak lama Aulia akan berusia enam bulan, kos rawatan juga akan bertambah. Bukan tiada bantuan yang saya dapat, bantuan daripada kariah surau tempat saya tinggal, Zakat dan bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat sedikit sebanyak dapat ringankan perbelanjaan untuk Aulia. Tapi ya lah dengan pendapatan suami yang tak menentu dan kos rawatan yang semakin bertambah. Dengan masalah jantung berlubang, kini Aulia sedang menunggu pembedahan jantung dalam waktu terdekat dan semestinya itu semua memerlukan kos yang banyak. Tapi saya percaya pasti ada rezeki untuk Aulia. Jika ada yang sudi untuk membantu memang saya alu-alukan, paling tidak pun doakan kesihatan Aulia dan semoga Allah permudahkan pembedahan dan urusan rawatan yang bakal dilaluinya nanti. Doa saya juga anak saya akan sihat seperti kanak-kanak lain,” ujarnya penuh harapan.
Bagi yang ingin membantu dan meringankan beban keluarga Rosmani dan anaknya Aulia bolehlah menyalurkan bantuan ke akaun CIMB Rosmani Abdullah bernombor 7612948217 atau Bank Simpanan Nasional bernombor 0320029838526355.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI