Bila nak sampai ayah? Itulah pertanyaan anak bila masuk kereta. Padahal baru sahaja bergerak. Sama ada anak tak sabar nak sampai ke destinasi atau mungkin tak suka duduk lama-lama dalam kereta terutamanya bila berjalan jauh.
Kalau dah terlalu lama dalam kereta, mulalah anak buat hal. Gaduh, menangis dan macam-macam ragam. Kalau mak ayah yang tak sabar, ugutan berhenti kereta dan tinggalkan tepi jalan la jawabnya. Barulah diorag diam sekejap.
Ada masa anak-anak diam, bila dia dah letih dan tidur. Barulah tenang sikit mak ayah nak bawa kereta. keadaan ini biasanya berlaku bila nak balik kampung yang berada di negeri lain dan mengambil masa berjam-jam untuk sampai ke kampung.
Perkongsian daripada Dr Redza Zainol mungkin boleh membantu mak ayah dalam menarik perhatian anak terutamanya balik kampung dan perjalanan jauh.
Dalam perjalanan, ada anak yang jenis gelisah dan tak boleh lama-lama duduk terperap dalam kereta. Mulalah tantrum dan buat perangai sampai mak ayah pun boleh jadi geram. Naik angin!
Ada sampai terjerit-jerit nak balik rumah. Ada yang gelisah sampai mengusik adik-adik yang lain pula. Anak kecil boleh jadi gelisah bila tak bergerak untuk satu jangka masa yang lama.
Saya nak kongsikan Teknik 5-4-3-2-1 yang mak ayah boleh guna untuk alih perhatian anak supaya kuranglah rasa gelisah atau anxious masa dalam kereta tu.
Ads
1. Minta anak fokus pada 5 benda yang berada di dalam kereta. Mak ayah boleh pilih benda yang senang untuk dicari.
“Cuba cari 5 benda warna merah dalam kereta.” Kemudian kita minta anak sebut atau tunjuk benda tu.
2. Minta anak fokus pada 4 benda yang dia boleh sentuh dalam kereta. Boleh jadi sentuh anggota badan sendiri, car seat, botol air dan mainan berdekatan.
3. Minta anak fokus pada 3 bunyi yang dia boleh dengar. Boleh juga buat masa singgah di hentian R&R. Contoh : Bunyi adik tengah tidur, bunyi aircond dan lain-lain.
4. Minta anak fokus pada 2 bau yang dia boleh hidu.
5. Minta anak ingat balik 1 rasa yang dia dah minum atau makan pada hari tu.
Percuma dan spontan saja kalau kita guna teknik ni. Sambil tu boleh ajar anak tentang warna, nama benda dan 5 deria asas manusia. Best kan?
Kalau ayah buat game ni dengan anak-anak, lagilah mak seronok. Sebab mak boleh sambung tidur.
MW: Kalau anak ramai dan masing-masing punya ragam, boleh naik angin mak ayah. Bertenang dan hati-hati memandu ye.
Sebagai suami, tak dapat dia bayangkan isterinya bertarung nyawa seorang diri, tak dapat iring ke kubur kerana sedang kuarantin. Namun dia masih ingat pesan isteri jaga anak walau apapun terjadi padanya.
Kehilangan isteri kerana Covid-19 bukanlah sesuatu yang mudah diterima, apatah lagi isteri pergi bersama dengan bayi yang dikandung.
Bukan sehari, dua dapat menerima dan melupakan kesedihan ini apabila kehilangan orang tersayang. Sungguh berat ujian ini. Allahuakbar.
Masih Sedih
“Sehingga hari ini, saya masih sedih dan cuba untuk menerima pemergian isteri serta anak dalam kandungan yang turut meninggal dunia,” kata Mohd Fadli Abd Wahab, 35.
Mohd Fadli berdepan ujian berat apabila isterinya, Umaisarah Azmi, 25, dijemput Ilahi pada 17 Julai lalu selepas dijangkiti Covid-19.
Lebih menyedihkan Umaisarah yang menghembuskan nafas terakhir pada jam 1.28 tengah hari meninggal dunia ketika hamil tujuh bulan dengan anak dalam kandungannya juga gagal diselamatkan.
Hanya Alami Sesak Nafas
Berkongsi kisah pilu itu, Mohd Fadli yang menetap sementara waktu di Ladang Sungai Tekai Naka, Pokok Sena, di sini, berkata, isterinya tidak menunjukkan simptom Covid-19 dan tiada penyakit kronik atau mengalami alahan sepanjang tempoh kehamilan.
“Bagaimanapun, isteri saya tiba-tiba bangun daripada tidur dan mengadu sesak nafas serta sakit kepala kira-kira jam 4 pagi pada hari dia meninggal dunia.
“Melihat keadaan isteri yang lemah, saya bergegas membawanya ke Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani dan dia kemudian dimasukkan ke zon merah sebaik tiba di situ.
“Tidak lama kemudian, doktor keluar dan beritahu isteri meninggal dunia dan disahkan positif Covid-19,” katanya ketika dihubungi.
Bertarung Nyawa Seorang Diri, Tak Dapat Iring Ke Kubur
Mohd Fadli berkata, dia hilang kata-kata dan terkejut apabila diberitahu isterinya meninggal dunia akibat dijangkiti Covid-19 kerana tiada ahli keluarga mereka dijangkiti wabak itu.
Segalanya berlaku dengan pantas namun Mohd Fadli reda dengan ketentuan Ilahi walaupun sedih kerana tidak dapat menguruskan dan menatap jenazah isterinya buat kali terakhir sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pokok Asam, Sungai Petani.
“Arwah isteri tidak sempat diintubasi kerana meninggal dunia tidak lama selepas dimasukkan ke zon merah.
“Namun, pemergiannya tetap memberi kesan kerana anak dalam kandungan itu adalah zuriat kedua kami dan ketiga buat isteri kerana dia mempunyai seorang anak hasil perkahwinannya yang terdahulu.
“Saya tidak dapat bayangkan saat akhir arwah bertarung nyawa memandangkan tiada di sisinya dan paling menyedihkan apabila tidak dapat mengiringinya ke tanah perkuburan kerana perlu menjalani kuarantin,” katanya.
Meskipun masih berduka, Mohd Fadli bersyukur kerana dia dan dua anak, Muhammad Danish, 6, dan Muhammad Adam Rykal, 3, bebas jangkitan Covid-19.
Katanya, mereka juga sudah selesai menjalani kuarantin pada 31 Julai lalu.
“Buat masa ini, saya tinggal di rumah keluarga dan mereka yang membantu menguruskan anak.
“Sebelum meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital, arwah isteri sempat berpesan supaya saya menjaga anak walau apa pun berlaku terhadapnya.
“Sebagai suami, saya akan cuba tunaikan permintaan terakhirnya untuk menjaga dan membesarkan anak kami selagi hayat dikandung badan,” katanya.
Mingguan Wanita : Al-Fatihah untuk arwah dan kepada suamiya, harapnya dapat meneruskan hidup serta menunaikan amanah allahyarham untuk menjaga anak-anak.
Penulis ini, Dr Othman Talib berkongsi sekeping gambar kertas kerja murid sekolah. Pada bahagian nama, murid menulis namanya sebagai ‘Abang’.
Jelas beliau lagi, murid berkenaan bukanlah dari sekolah luar bandar, sebaliknya pelajar dari sekolah bandar. Sampai ke hari ini, masih ada lagi murid yang tidak pandai menulis nama sendiri.
Bukankah kenyataan ini menyedihkan. Lebih-lebih lagi jika hendak dibandingkan dengan keperluan pendidikan anak-anak di tahap 1 sekarang yang serba mencabar.
Mampukah generasi pelajar yang berdepan permasalahan ‘membaca, menulis dan mengira’ ini mengejar apa yang ditetapkan oleh kehendak pendidikan sekarang ini.
Dr Othman menerangkan sejelasnya apa yang perlu dihadamkan dalam memahami dilema yang sedang dihadapi generasi pelajar ini.
Murid Sekolah Bandar Masih Tersangkut-sangkut Tulis Nama Sendiri
1. Foto adalah tugas helaian kerja murid di sekolah bandar. Walaupun di bandar, bukan semua murid boleh menulis nama sendiri atau masih tersangkut-sangkut.
Jadi pelbagai perkara asas perlu dipastikan terlebih dahulu dikuasai oleh murid khususnya di Tahun 1, melebihi keinginan orang dewasa yang menyediakan silibus yang tinggi dan subjek yg banyak serta deretan buku teks sekolah untuk kumpulan ini.
2. Guru Tahap 1 adalah guru yang hebat tetapi perlu sokongan sepenuhnya dari sekolah hingga KPM kerana merekalah barisan hadapan pertama yang menghadapi dan menyediakan murid-murid ini untuk Tahap 2 dan seterusnya.
3. Kini jadual waktu ada yang dicantum untuk kurangkan buku yang dipikul bagi mengatasi beg berat. Tidak tahulah mengapa diperlukan sangat buku sehingga orang dewasa sanggup mencadangkan pelbagai strategi bagi memberi laluan kepada buku-buku teks sekolah berbanding denga kesediaan murid di awal persekolahan.
4. Mujur murid dalam foto ini tidak menulis nama sebagai ‘Abang Bin Ayah’ atau ‘Muhamad Bin Dedi’
5. Aku sendiri kenal ABC dan 123 ketika Darjah 1, maka aku percaya ada orang dewasa yang sekarang ‘gah’ berada dalam rantaian penyumbang polisi pendidikan yang ketika Darjah 1 dulu mungkin sahaja sama seperti kes dua foto tersebut. Mengapakah mereka tiada empati, sebagai salah satu asas pendidikan.
Merujuk laman sesawang The Asian Parent, autisme itu merujuk kepada masalah perkembangan kompleks. Ia melibatkan interaksi sosial seorang kanak-kanak terganggu akibat masalah ketidakmampuan komunikasi, tingkah laku tidak wajar yang berulang, pemencilan diri serta menunjukkan minat terhadap sesuatu perkara pada skala masa terhad.
Hampir 47,000 orang kanak-kanak di Malaysia menghidapi gangguan autisme, atau lebih dikenali sebagai kanak-kanak autistik, namun gagal didiagnosis dengan cepat kerana ibu bapa mungkin tidak arif dengan kriteria autisme lebih terperinci.
Hal yang sama berlaku keatas pasangan suami isteri; Tan Khoon Hoe (35) dan Ooi Siew Khar (36) yang mesra di sapa Avilina apabila melihat perkembangan putera sulung mereka Tan Jia Hao (11). Cerita Avilina menerusi emel, ketika anak-anak kecil lain mula belajar bertutur dan mampu menyusun suku kata, Jian Hao masih gagal menguasai kemahiran bertutur. Hanya gerak badan dan tangannya menjadi ‘suara hati’ Jia Hao apabila inginkan sesuatu.
“Saya dan suami mula menyedari kelainan Jia Hao ketika umurnya tiga tahun. Awalnya kami hanya menganggap mungkin Jia Hao akan mula bercakap sedikit lewat dari kanak-kanak lain seusianya. Walau bagaimanapun situasi yang sama berterusan sehingga usianya tiga tahun.
“Selalunya apabila dia inginkan sesuatu dia akan menyampaikannya menerusi bahasa tubuh ataupun menarik tangan kami ke arah objek yang dia ingini. Perkataan mudah seperti “mama” pun dia tak mampu sebut. Ketika itu kami mula menyedari beliau mempunyai masalah pertuturan (speech delay),”kongsi Avilina mengenai kondisi Jia Hao sebelum didiagnos sebagai anak mild autism.
Berlapang dada
Kanak-kanak berusia tiga tahun ke bawah lazimnya sedang aktif melalui fasa interaksi dan komunikasi. Mereka selalunya aktif bermain, berlari, memanjat dan mengasah kemahiran motor mereka. Jika semuanya tidak berlaku dan anak menunjukkan kelainan dan kecenderungan berbeza, mungkin ada perlunya anak dirujuk kepada mereka yang lebih pakar.
Menyedari kondisi Jia Hao memerlukan sokongan dari mereka yang lebih arif, Avilina dan suami tidak membiarkan diri dari dibalut emosi rendah diri. Selekasnya Jia Hao dirujuk kepada pakar terapi.
“Mula-mula kami hard to accept, tapi saya dengan suami sama-sama sepakat perlu buat sesuatu untuk masa depan anak sulung kami. Langkah seterusnya kami rujuk Jia Hao berjumpa pakar terapi dan doktor berkaitan di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Star, Kedah. Ini adalah langkah sebaiknya untuk kami pandang ke hadapan. Akhirnya setelah hampir tujuh tahun melalui sesi terapi, Jia Hao akhirnya lulus dan tidak perlu lagi mengikuti terapai susulan di hospital sejak tahun lalu,”jelas Avilina mengenai anak sulungnya daripada tiga bersaudara.
Bukan mudah membimbing anak autism, menurut Avilina ada masanya dirinya tidak sekuat selalu. Seperti lilin yang mencair, begitu juga dengan semangat yang ada pada dirinya.
“Kepenatan, tertekan dan terpaksa menguruskan Jia Hao sendirian terutama apabila suami terikat dengan urusan kerja membuatkan ada masanya saya murung. Masa itu saya tak terfikir untuk menyertai mana-mana kumpulan sokongan ibu bapa yang mempunyai anak autism. Sebaliknya segala perasaan tertekan itu dilepaskan menerusi aktiviti kraf yang saya lakukan dan jual menerusi laman instagram saya iaitu @avilina_handmade ,”kongsi suri rumah ini mengenai caranya mengatasi kemurungan.
Pupuk yakin diri Jia Hao
Jia Hao kini bersekolah di SJK (C) Peng Min di Alor Star, Kedah. Menurut ibunya, prestasinya di sekolah biasa-biasa sahaja. Dia kurang fokus apabila belajar, sebaliknya dia cukup bersemangat apabila tibanya subjek pendidikan seni.
“Di sekolah menurut cikgu, ada masanya dia mengelamun. Tidak fokus bila belajar. Tetapi bila tiba subjek pendidikan seni, dia cukup bersemangat. Saya dan suami pernah menghantarnya ke kelas seni, malangnya dia tak selesa. Sebagai ibu bapa kami sentiasa memberi ruang kepada dia mencuba perkara yang dia minat.
“Selalunya kami buat satu perkara bagi rujukan kepada dia. Apabila dia rasa benda tu menarik, dia berminat nak mencuba…kami akan galakkan dia. Sekiranya sebaliknya, kami tak akan paksa. Anak-anak autisme cenderung melakukan sesuatu perkara mengikut moodnya.
“Sebagai ibu saya sering mengulangkaji bersamanya kerana saya sedia maklum dengan kemampuan dia. Jika ada buku latihan, kami akan biarkan dia lakukan sendiri (terutamanya topik yang dia boleh kuasai). Kami juga belikan dia kamus bergambar, bagi memudahkan dia buat rujukan.
“Terkini beliau mula menunjukkan minatnya dalam menguasai bahasa Inggeris. Sekarang kami menghantarnya ke kelas fonik dan dia sudah boleh bertutur dalam bahasa Inggeris sedikit demi sedikit,”kongsi ibu ini kepada Mingguan Wanita.
Harapan untuk Jia Hao
Putera sulung Avilina cukup kreatif dalam menghasilkan produk seni tangan seperti penanda buku dan membuat binaan tanpa perlu mengikut buku panduan. Kesabaran Avilina dan suami dalam membantu Jia Hao mula membuahkan hasil yang membahagiakan.
“Dia suka create things, self built lego car without book instruction. Buat rantai kunci, rantai leher, penanda buku, membina kereta menggunakan kayu aiskrim dan juga boleh meminati bidang bakeri terutamanya memasak kek. Sesekali Jia Hao dan bapanya akan mengayuh basikal untuk jarak yang jauh (sekitar dua jam) untuk beriadah.
“Ada diantara hasil kerja tangannya di jual dan juga di hadiahkan kepada guru-gurunya sempena hari guru di sekolahnya. Saya berterima kasih kepada tenaga pengajar dan guru-guru di sekolahnhya yang tak jemu-jemu membantu mendidiknya. Jia Hao semakin matang dan berdikari. Melaluinya saya belajar erti kesabaran dan dia sentiasa ada perkara baru yang membuatkan kami bangga dengan pencapaiannya.
“Di masa depan saya bercadang mahu membuka sebuah kafe kecil untuknya mengembangkan minatnya dalam dunia bakeri. Mungkin ini medium terbaik untuk memastikan anak kami punya pendapat tetap dan boleh berdikari. Besarlah harapan saya dan suami, dia mampu berdikari apabila dewasa nanti,”cerita ibu muda ini menutup bicara.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Suami terpaksa 'mengemis' nak puaskan nafsu, dah merayu masih tak dapat. Dalam kehidupan berumah tangga, kebahagiaan dan keharmonian bukan sahaja bergantung kepada aspek kewangan, komunikasi, dan tanggungjawab harian, tetapi juga kepada keperluan batin pasangan.