Tegur Anak Remaja Kena Ikut Perubahan Zaman, Baru Nasihat ‘Sampai’ Jiwa

Share

Tegur atau menasihati anak-anak penting dalam mendidik mereka. Dengan teguran itulah mereka sedar mana yang betul mana yang tak patut dilakukan. Bahkan proses itu sentiasa berjalan sejak anak kecil lagi.

Tegur Kena Ada Cara

Walau bagaimana pun, saat bila anak-anak mula menginjak remaja, cabaran untuk mendidik anak-anak sangat hebat. Kalau tak kena caranya, anak-anak akan anggap mak ayah umpama ‘musuh’ mereka.

Bagi mereka, mak ayah tak faham situasi yang mereka sedang hadapi. Bila tegur atau dimarahi, dikatakan mak ayah benci mereka sedangkan niat mak ayah hanya nak mendidik.

Belum lagi bab mempercayai rakan sebaya melebihi mak ayah sendiri. Bahaya sebenarnya bila ini yang terjadi. Bayangkan kalau anak-anak mendapat nasihat yang salah daripada raka-rakan sebaya. Sah-sah mereka semua itu masih sama-sama belum matang. Nanti minta nasihat, akhirnya semua ke laut!

Perubahan Zaman Dan Komunikasi

Pada zaman millennium ini, mak ayah dah tak boleh gunakan pendekatan umpama zaman mereka kecil dulu. Anak-anak sekarang memang ‘lain macam’ perangainya. Kalau dulu, mak ayah pukul atau marah sebab buat salah, paling tidak lari sembunyi belakang rumah atau kunci pintu bilik. Tapi sekarang, mereka boleh tekad untuk lari dari rumah ye!

Hasil kajian mendapati bahawa komunikasi baik antara ibu bapa dan anak turut membantu mewujudkan suasana keluarga yang aman tenteram serta remaja bersikap positif.

Berbeza dengan mak ayah yang mengamalkan gaya asuhan dan didikan yang suka mengawal. Anak-anak yang dibentuk dengan gaya asuhan ini cenderung berfikiran negatif, sering memberontak, pendendam, kerap bimbang, cemas, khuatir, pendiam, pemalu, mempunyai konsep kendiri rendah dan kurang motivasi untuk berdikari. Paling utama, mereka mudah bermusuhan sekiranya dikecewakan.

Tegur Cara Menghukum

Apabila anak buat salah, mak ayah memilih pendekatan hukuman dan peraturan ketat serta tidak membenarkan anak-anak mempertikaikannya langsung sedangkan sepatutnya anak-anak diberikan hak untuk mempertahankan diri mereka.

Ibu bapa yang terlalu mengongkong dan mengawal segala pergerakan anak dipercayai akan melahirkan kelompok remaja yang kuat memberontak, emosinya tidak stabil dan sukar bersosial secara positif.

Baca di sini juga:

Ambil Tahu Cara Tuntut Nafkah Anak Lepas Bekas Suami Kahwin Baru

Bila Mak, Ayah Memilih Jalan Berpisah, Tolong Jangan Abaikan Perasaan Anak

https://www.instagram.com/mingguanwanita/

Hati-Hati Pilih Kawan

Salah satu keperluan penting ketika menempuh usia remaja adalah bersosial dan berkawan. Mungkin ia kedengaran biasa, namun ibu bapa wajar memberi lebih perhatian terhadap hal ini.

Mengajar anak memilih kawan mungkin dianggap suatu bentuk diskriminasi atau prejudis oleh sesetengah orang. Namun, realitinya tiada mak ayah yang suka jika anak mereka bergaul dengan kelompok remaj bermasalah kan?

Ketahui bahawa remaja perlu dididik untuk memilih kawan yang baik. Mulakan dengan diri sendiri dan tunjukkan teladan yang baik apabila berkawan. Ini penting kerana jika kita sendiri tidak melayan kawan dengan baik, anak-anak akan terikut sama. Berikan tunjuk ajar secara positif mengenai peranan anak dan rakan-rakan mereka terhadap satu sama lain.

Bukan Diskriminasi

Pastikan mereka boleh menerima sesiapa sahaja sebagai kawan dan bukannya terlalu memilih atau mendiskriminasi. Dalam masa sama, pastikan mereka tahu cara menangani tekanan daripada rakan serta mengelak sebarang pengaruh negatif yang boleh merosakkan diri.

Seeloknya juga, mak ayah kena main peranan untuk kenal dengan rakan-rakan baik anak. Selidik latar belakang mereka agar kita tahu dengan siapa anak-anak kita berkawan.

Tip Bimbing Anak Remaja:

1. Lebihkan perbincangan berbanding arahan. Perbincangan akan merangsang anak-anak berfikir secara matang.
2. Dengar dahulu penjelasan anak sepenuhnya dan elakkan daripada menjatuhkan hukuman melulu. Ini akan membuatkan anak tidak timbul rasa marah pada mak ayah.
3. Hormati pendapat anak walaupun kita tidak bersetuju.
4. Sentiasa cuba fahami situasi mereka dengan jujur dan ikhlas, tanpa ego. Sentiasa ingatkan diri, apa saja teguran adalah demi kebaikan anak-anak.
5. Kena tunjukkan rasa yakin pada anak-anak kerana ini akan membantu tambah keyakinan diri pada anak.
6. Ajak anak-anak menghadiri majlis ceramah dan usrah untuk menyuburkan jiwa mereka dengan agama. Itulah ada benteng terkuat perlu ada dalam diri tiap anak.
6. Wujudkan suasana ‘Rumahku, Syurgaku’ agar anak-anak selesa bila berada di rumah.

Published by
Nurul Azwa