Keadaan ekonomi sekarang mak ayah kena lebih bijak merebut peluang yang ditawarkan demi masa depan anak-anak. Tak kiralah daripada Kerajaan Pusat mahupun Kerajaan Negeri.
Jika sebelum ini ADAM 50 akan ditamatkan pada MAC. Khas buat anak-anak Selangor, setelah 10 tahun akhirnya Tabung Warisan Anak Selangor atau singkatannya TAWAS ini juga bakal ditamatkan.
Permohonan baru TAWAS akan DITUTUP sepenuhnya pada 31 JANUARI 2019 jam 11.59 malam dan hanya tertakluk sehingga anak tahun KELAHIRAN 2018 SAHAJA.
Bagi mak ayah yang masih tidak tahu, TAWAS merupakan antara program penting dalam agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) Fasa 1. TAWAS beserta logonya selamat dilancarkan secara rasmi bersempena dengan Sambutan Ambang Merdeka Peringkat Negeri Selangor pada 30 Ogos 2008.
Program ini diuruskan oleh Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) dan ianya terbuka kepada anak-anak kelahiran Negeri Selangor yang memenuhi syarat. Permohonan juga perlu dilakukan SEBELUM anak berusia 3 TAHUN.
Pada 17hb Ogos 2015, menerusi Mesyuarat Kedua Penggal 3 dalam Sidang Dewan Negeri Bahagian Ketiga Belas, satu Enakmen Tabung Amanah Warisan Anak Selangor telah diluluskan bertujuan memastikan Ahli TAWAS menerima RM1, 500.00 apabila mencapai usia 18 tahun kelak. Tabung Amanah berkenaan diuruskan oleh Kerajaan Negeri Selangor.
Bermula dari 1hb Mac 2014, YAWAS telah memperkenalkan Skim Khairat Kematian TAWAS bernilai RM 1,500.00 yang akan diberikan kepada waris Ahli TAWAS sekiranya ahli meninggal dunia sebelum mencapai usia 18 tahun.
Penyata bernilai RM 1500.00 ini dikeluarkan sebaik sahaja permohonan TAWAS telah disahkan lulus. Ibubapa/penjaga adalah dinasihatkan untuk mengambil penyata tersebut di Pejabat YAWAS pada bila-bila masa dengan bawa bersama dokumen seperti:
Mykid;atau
Sijil Kelahiran Anak;atau
Kad SiManja (jika ada)
Ibubapa/penjaga dikehendaki menyimpan penyata ini bagi membolehkan Ahli TAWAS membuat tuntutan bernilai RM 1500.00 apabila mereka mencapai usia 18 tahun. Sebarang kerosakan atau kehilangan hendakalah dilaporkan ke Pejabat YAWAS dan RM 10.00 akan dikenakan sebagai caj gantirugi.
Khairat Kematian TAWAS adalah dibawah Skim Tabung Warisan Anak Selangor yang diberikan oleh Kerajaan Negeri Selangor untuk Ahli TAWAS yang meninggal dunia sebelum mencapai usia 18 tahun.
Ibubapa/penjaga boleh menuntut sumbangan bernilai RM1500.00 di pejabat YAWAS dengan membawa bersama dokumen seperti berikut:
Sijil kematian.
Kad SiManja
Salinan muka buku hadapan akaun bank / salinan penyata akaun (bahagian yang tertera no akaun).
Penyata Simpanan TAWAS (sekiranya ada)
Walaubagaimanapun, khairat ini hanya boleh dituntut oleh waris jika berlaku kematian Ahli TAWAS selepas 1 MAC 2014. Pembayaran sumbangan akan dibuat dalam bentuk cek.
Permohonan untuk menjadi ahli TAWAS boleh dilakukan diantara tiga tempat iaitu;
Pejabat Pusat Khidmat Dun berhampiran
Pejabat Yayasan Warisan Anak Selangor
Permohonan secara online
Mak ayah hanya perlu menyediakan SALINAN DOKUMEN seperti berikut :
MyKad Ibu dan Bapa
MyKid atau Surat Lahir Anak
Surat Pengakuan Anak Angkat ( Jika Perlu )
Sebarang urusan berhubung permohonan TAWAS boleh dilakukan di Pejabat Operasi YAWAS di Shah Alam.
YAYASAN WARISAN ANAK SELANGOR
Aras 5, Kompleks Belia Dan Kebudayaan Negeri Selangor, Lot 4, Jalan Platinum 7/52, Seksyen 7, Persiaran Kayangan, 40000 Shah Alam, Selangor.
MW: Jadi buat mak ayah rebutlah peluang terakhir ini daftarkan segera anak-anak yang berusia 3 tahun ke bawah untuk layak mendapat RM1,500 ketika berusia 18 tahun nanti. Sekurang-kurangnya duit tersebut boleh digunakan untuk tujuan pendidikan mereka dan sebagainya nanti.
Semoga bermanfaat!
Baca Disini: ADAM50 Ditamatkan Mac Ini, Cepat Daftar Untuk Anak Lahir 2018 Dapat RM200 Dalam ASNB