Ibu bapa kita sanggup melakukan apa sahaja agar kita mampu membesar dengan sihat dan cukup makan minum dan pendidikan.
Namun setelah dewasa, sebagai anak, perlulah kita membalas jasa mereka. Tetapi berapa ramai daripada kita yang melakukan perkara sedemikian?
Paling menyedihkan, ada di antara kita ini bukan menyenangkan hidup ibu bapa setelah mereka tua. Ada juga yang menghambakan ibu bapa tanpa sengaja.
Pegawai Pembangunan Masyarakat dan Kaunselor, Puan Nor Azian binti Sharfador Khan menjelaskan jika ada antara kita tidak sengaja menghambakan ibu bapa, perlulah kita melakukan perkara ini untuk mengubahnya.
1.Menguruskan sendiri urusan penjagaan dan mengasuh anak-anak mereka dengan menghantar ke TASKA atau pusat jagaan kanak-kanak.
2.Menyumbang secara tetap setiap bulan atau memberi nafkah tidak kira jumlah yang besar atau kecil tetapi konsisten kepada ibu bapa sebagai penghargaan di atas jasa mereka.
3.Membahagiakan ibu bapa dengan menunaikan impian dan hajat mereka jika kita berkemampuan
Memberi kasih sayang kepada mereka sebagaimana mereka memberikan kasih sayang kepada anak-anak sebagaimana dalil Al-Quran Anak yang baik tidak akan melupai jasa dan kasih sayang kedua ibubapa.
Anak soleh sentiasa berdoa kepada Allah agar ibubapa mereka diberkati dan dicucuri rahmat.
Firman Allah bermaksud: “Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka mencurahkan kasih sayang memelihara dan mendidikku ketika kecil.” (Surah al-Isra, ayat 24).
4.Meluangkan masa bersama-sama ibu bapa seperti berbual, membawa mereka bercuti atau pulang menjenguk mereka di kampong
5.Menghadiahkan atau berkongsi kejayaan yang dicapai dengan kedua ibu bapa sebagai menghargai penat lelah mereka membesarkan kita
6.Mendoakan kesejahteraan mereka setiap hari sebagaimana diajar oleh Al-Quran dan Rasulullah SAW.
7.Bercakap atau bertutur dengan lembut dan sopan santun kerana fitrah naluri dan perasaan ibu bapa pada usia warga emas mudah tersentuh dan sensitif.
Kaunselor Pendidikan Bimbingan dan Kauseling, Puan Mastura Bt Mohd Yusoff pula menasihatkan agar anak melakukan perkara yang dicadangkannya ini.
1-Yang paling penting dan wajib adalah mendoakan kesejahteraan mereka setiap hari terutama selepas solat. Doa adalah hadiah yang terbaik untuk diberikan kerana doa adalah untuk dunia dan akhirat, untuk ibu bapa kita sama ada masih ada atau telah meninggal dunia.
Doakan agar ibu bapa kita sihat sejahtera, selamat dunia akhirat dan beroleh ketenangan selalu. Doa sahaja tidak cukup, kita juga boleh menghargai ibu bapa dengan cara membantu memudahkan urusan seharian ibu bapa kita, sama ada dari segi kewangan atau bantuan tenaga, masa, dan sebagainya.
2-Dari segi emosi, hargailah ibu bapa dengan memenuhi keperluan emosinya untuk sentiasa gembira dan tenang seperti menziarahi ibu bapa di kampung, bertanyakan khabar dan aktiviti terkini dan sebagainya.
Tidak sesuai untuk anak-anak menjadikan alasan sibuk untuk tidak menghubungi ibu bapa kerana kini semuanya canggih dan memudahkan komunikasi kita terutama melalui smart phone. Dalam masa beberapa saat sahaja kita boleh menghubungi ibu bapa untuk bertanya khabar. Biarpun tidak lama bercakap,itu sudah cukup untuk menceriakan hari mereka kerana mereka gembira apabila diambil berat.
3-Dari segi material, anak-anak boleh memberikan hadiah kepada ibu bapa sebagai tanda ingatan sempena hari istimewa mereka, memberikan ibu bapa wang sama ada bulanan atau tidak, mengikut kemampuan kerana mengingati pengorbanan mereka bersusah payah mencari wang untuk kita sewaktu bersekolah, atau sebagainya.
Sekiranya kita boleh bertanggungjawab kepada keluarga sendiri, sudah pasti kita juga boleh bertanggungjawab kepada ibu bapa. Sekiranya tidak berkemampuan, cari lah altenatif lain agar ibu bapa tidak rasa diabaikan oleh anak-anak.
4-Anak-anak boleh menunjukkan kita menghargai ibu bapa dengan menyediakan sokongan kesihatan yang baik kepada mereka seperi mengelakkan stress kepada mereka, membawa mereka menghirup udara segar di tempat-tempat yang diidamkan mereka sekiranya kita berkemampuan, apa salahnya .
Seorang anak seharusnya menghargai dan menyenangkan hati ibu bapa dalam mereka meniti usia tua. Sebagai anak yang baik, alangkah baik sekiranya kita menyokong mereka melakukan hobi-hobi yang sukai mereka yang mana mereka tidak sempat fokus pada hobi sewaktu muda kerana menjaga kita sebagai anak ini.
5-Selain itu, kita perlu memberi mereka ruang yang aman untuk mereka melakukan ibadat dengan khusyuk tanpa memikirkan duniawi atau komitmen yang telah kita galaskan kepada mereka.