Rencah dalam perkahwinan ada pahit manisnya, namun masih tetap saling melengkapi, memerlukan dan menghargai. Untuk apa lagi bertahan jika seringkali hati disakiti dan diri dikasari baik mental mahupun fizikal. Perlu belajar meyayangi diri sendiri. Buat isteri-isteri yang tersakiti dan dikasari, ingat tanpa LELAKI sebagai suami yang berperangai sebegini wanita masih mampu berdiri kerana Allah ada di sisi. Jangan takut untuk terus melangkah pergi..
Saya terbaca sebuah berita mengenai seorang isteri yang ditolak keluar dari kereta oleh suaminya akibat pergaduhan. Ya! Kena tolak keluar dari kereta yang sedang bergerak.
Saya bukan PM, Ahli Parlimen, Adun atau sebagainya. Saya wanita biasa sahaja. Tak mampu nak buat apa-apa dalam hal ini. Tak mampu mengegar daerah jauh sekali dunia. Hanya baca berita dan merasa perit di dada dan kadangkala hampir pecah berderai menahan marah dan perasaan hiba!
Perkahwinan apakah yang dijalani oleh sesetengah wanita kita? Kasih sayang hampir tiada tetapi penuh dengan kebencian yang kesumat di dada.
Ya! Saya bias. Bias membantu kaum hawa. Mahu kaum saya sedar bahawa perkahwinan ini mesti usaha berdua. Bukan satu pihak terhegeh-hegeh menagih kasih sementara satu pihak lagi memperlekeh.
Saya tak mahu menyeru kaum hawa berdikari supaya kononnya suatu hari nanti kalau apa-apa terjadi. Tapi saya mahu kaum hawa tahu yang tanpa lelaki kita masih mampu berdiri kerana Allah ada di sisi.
Suami perlu datang membawa nilai yang murni dan suci. Bukan datang untuk dijadikan isteri sebagai hamba abdi. Bila mahu didatangi bila tak mampu dibuang pergi.
Dan rezeki bukan di tangan suami. Jadi jangan takut untuk berdikari jika merasakan diri mula diketepi. Allah Yang Maha Pemurah.
Serta anak tak perlukan bapa yang menunjukkan contoh gila seperti memukul ibu mereka berkali-kali. Anak tak perlukan contoh bapa yang tak mahu menjadi lelaki. Anak tidak perlu mengira berapa kali bapa keluar masuk pusat serenti. Anak tak perlu juga melihat bagaimana kuatnya ibu mereka mempertahankan lelaki yang mengkianati.
Berilah peluang sekali. Tapi peluang ini untuk dia perbaiki diri bukan untuk mengulangi kesilapan yang sama berkali-kali.
Merdekalah wanita semua dari pemikiran yang memperbodohkan diri sendiri.
Dan tolong jangan komen dengan menyatakan … Ala kita tak berada di kasut mereka.
Ada juga yang bertanya, mesti ada sebab dia diperlakukan begitu!
Please don’t bullshit me!
by NM
Baca Lagi Di Sini:
Sekiranya Failkan Perceraian Adalah Langkah Terakhir, Ini Prosedur Yang Isteri Perlu Lakukan
Ini 7 Hak Yang Boleh Tuntut Di Mahkamah Selepas Perceraian Berlaku, Wanita Sila Take Note!
MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat. Pesanan buat wanita dan para isteri yang berada dalam situasi ini, beranilah buat keputusan untuk melangkah pergi. Tak perlu lagi bertahan mahupun berikan peluang berkali-kali apabila diri disakiti mahupun dikasari.Tanpa LELAKI yang bergelar suami berperangai sebegini, kita masih mampu berdiri kerana Allah ada di sisi.
Sumber: Normaliza Mahadi